Terapi penyingkiran cecair dalam kegagalan jantung akut

Soalan ulasan

Apakah kesan ultrafiltrasi (UF), terapi penyingkiran cecair, dalam kegagalan jantung akut (AHF)?

Latar belakang

AHF adalah keadaan biasa di mana jantung tidak boleh mengepam secara berkesan, menyebabkan cecair berkumpul di dalam paru-paru dan badan. Ini menyebabkan kesukaran bernafas, kerosakan pada jantung dan buah pinggang, kadar kemasukan semula ke hospital dan kadar kematian yang tinggi. Penjagaan biasa melibatkan ubat yang dipanggil diuretik untuk mengeluarkan cecair berlebihan, tetapi sesetengah orang mungkin mengalami rintangan terhadap ubat ini. UF membolehkan terapi alternatif untuk mengeluarkan cecair dengan cepat. Satu litar mengeluarkan darah daripada pesakit, yang kemudiannya ditapis dalam mesin sebelum dikembalikan kepada pesakit. Ia memerlukan pemantauan, kanula sentral yang besar (tiub ke dalam saluran darah) dan ubat penipisan darah. Adalah tidak jelas sama ada UF berkesan atau selamat dalam AHF.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang membandingkan UF dengan penjagaan biasa bagi orang yang penghidap AHF. Kami mencari semua kajian yang berkaitan sehingga Jun 2021 dan menemui 14 kajian dengan kira-kira 1200 orang. Orang yang sangat sakit dan lemah, seperti mereka yang mengalami serangan jantung dan jangkitan, sering tidak dikaji.

Kepastian bukti

Kami menggunakan alat yang disahkan (GRADE) untuk menilai sejauh mana kami yakin dengan keputusan kami. Secara keseluruhannya, terdapat bukti berkepastian rendah daripada kajian ini kerana kebolehubahan dalam tetapan kajian, hasil yang bercanggah antara kajian dan batasan dalam cara kajian direka bentuk.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada UF mempunyai kesan ke atas kadar kematian pada susulan jangka pendek, kerana data tidak mencukupi. Pada masa susulan yang paling lama, UF mungkin mempunyai sedikit kesan ke atas kadar kematian.

UF boleh mengurangkan kadar kemasukan semula ke hospital dalam jangka pendek dan panjang. Khususnya, kadar kemasukan semula ke hospital akibat kegagalan jantung mungkin berkurang sebanyak 31% apabila disusuli dalam jangka masa yang lebih lama (sehingga satu tahun). Faedah mengurangkan kemasukan semula ke hospital diakibatkan oleh kegagalan jantung dilihat dalam 1 daripada 10 orang yang dirawat dengan UF.

UF boleh meningkatkan risiko keperluan dialisis jangka panjang. Adalah tidak jelas sama ada UF mempengaruhi fungsi buah pinggang pada 30 hari selepas pelepasan dari hospital, atau jika risiko komplikasi saluran pusat lebih besar dengan UF. Tiada kajian yang menyelidik kesan UF memerlukan sokongan pernafasan mekanikal, atau kesannya terhadap ekonomi kos dan kesihatan.

Kajian yang lebih mantap melihat UF bersamaan dengan terapi semasa adalah diperlukan. Ini harus memberi tumpuan kepada hasil yang penting kepada pesakit, seperti kadar kemasukan semula hospital berkaitan kegagalan jantung, kadar kematian jantung dan kerosakan buah pinggang pada jangka sederhana sehingga jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rscsiucd.edu.my

Tools
Information