Faktor-faktor yang mempengaruhi sama ada pekerja penjagaan kesihatan mengikuti garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan bagi penyakit berjangkit pernafasan

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan ini ialah salah satu daripada siri ulasan pantas yang telah disediakan oleh penyumbang Cochrane untuk memaklumkan mengenai pandemik COVID-19 2020. Tujuan ulasan Cochrane tentang penyelidikan kualitatif (“sintesis bukti kualitatif”) adalah untuk meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi sama ada pekerja penjagaan kesihatan mengikuti garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC) untuk penyakit berjangkit pernafasan. Bagi menjawab soalan ini, kami mencari dan menganalisa kajian kualitatif mengenai topik ini.

Mesej utama

Pekerja penjagaan kesihatan membawa perhatian kepada beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehan dan kesediaan mereka untuk mengikuti garis panduan IPC apabila menguruskan penyakit berjangkit pernafasan. Ini termasuklah faktor-faktor yang dikaitkan dengan garis panduan tersebut dan cara ia disampaikan, sokongan dari pengurus, budaya tempat kerja, latihan, ruang fizikal, akses kepada dan kepercayaan dalam peralatan perlindungan diri (PPE), dan kemahuan untuk memberikan penjagaan yang baik untuk pesakit. Ulasan ini juga menekankan kepentingan untuk melibatkan semua kakitangan fasiliti, termasuk kakitangan sokongan, apabila melaksanakan garis panduan IPC.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Apabila penyakit berjangkit pernafasan merebak, seperti semasa pandemik COVID-19, penggunaan strategi IPC oleh pekerja penjagaan kesihatan menjadi lebih penting. Strategi-strategi ini termasuk penggunaan PPE seperti topeng, pelindung muka, sarung tangan dan gaun; mengasingkan pesakit dengan jangkitan pernafasan daripada yang lain; dan rutin pembersihan yang lebih ketat. Meneliti pandangan pekerja penjagaan kesihatan dan pengalaman mereka dengan strategi-strategi ini boleh membantu pihak berkuasa dan fasiliti penjagaan kesihatan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cara terbaik untuk menyokong pekerja penjagaan kesihatan melaksanakan strategi tersebut.

Apakah penemuan utama ulasan ini?

Kami menemui 36 kajian yang relevan dan mensampel 20 kajian ini untuk dianalisa. Sepuluh kajian adalah dari Asia, empat dari Afrika, empat dari Amerika Utara dan dua dari Australia. Kajian-kajian tersebut meneliti pandangan dan pengalaman jururawat, doktor dan pekerja penjagaan kesihatan yang lain apabila berurusan dengan SARS, H1N1, MERS, tuberkulosis, atau influenza bermusim. Kebanyakan daripada pekerja penjagaan kesihatan ini bekerja di hospital; selebihnya bekerja di persekitaran penjagaan primer dan komuniti.

Ulasan kami membawa perhatian kepada beberapa faktor yang mempengaruhi kepatuhan pekerja penjagaan kesihatan terhadap panduan IPC. Faktor-faktor yang berikut adalah berdasarkan penemuan yang dinilaikan sebagai berkeyakinan sederhana hingga tinggi.

Pekerja penjagaan kesihatan berasa tidak pasti apabila garis panduan tempatan adalah panjang, tidak jelas, atau tidak sepadan dengan garis panduan kebangsaan atau antarabangsa. Mereka boleh merasa tertekan kerana garis panduan tempatan yang sering berubah. Mereka juga menjelaskan bagaimana strategi-strategi IPC membawa kepada peningkatan beban kerja dan keletihan, contohnya mereka perlu menggunakan PPE dan melakukan pembersihan tambahan. Pekerja penjagaan kesihatan menerangkan bagaimana respons mereka terhadap garis panduan IPC dipengaruhi oleh tahap sokongan yang mereka rasa mereka terima daripada pasukan pengurusan mereka.

Komunikasi yang jelas mengenai garis panduan IPC juga dilihat sebagai penting. Tetapi pekerja penjagaan kesihatan membawa perhatian kepada kekurangan latihan mengenai jangkitan tersebut dan bagaimana menggunakan PPE. Mereka juga berfikir bahawa ia adalah satu masalah apabila latihan adalah tidak wajib.

Mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengasingkan pesakit-pesakit dilihat sebagai penting. Bilik pengasingan, ruang antara (bilik kecil yang menuju dari koridor ke dalam bilik pengasingan) dan kemudahan pancuran mandian yang terlalu sedikit adalah satu masalah. Langkah praktikal penting yang lain yang dijelaskan oleh pekerja penjagaan kesihatan termasuklah meminimumkan kesesakan, mempercepatkan kemajuan pesakit yang dijangkiti, mengehadkan pelawat, dan menyediakan akses mudah untuk kemudahan mencuci tangan.

Kekurangan PPE, atau PPE yang rendah kualiti, adalah kerisauan yang serius bagi pekerja penjagaan kesihatan dan para pengurus. Mereka juga menekankan keperluan untuk melaraskan jumlah bekalan ketika wabak jangkitan berterusan.

Pekerja penjagaan kesihatan percaya bahawa mereka mengikuti panduan IPC dengan lebih dekat apabila mereka dapat melihat nilainya. Pekerja penjagaan kesihatan yang lain berasa bermotivasi untuk mengikuti panduan tersebut kerana khuatir akan menjangkiti diri mereka dan keluarga mereka, atau kerana mereka berasa bertanggungjawab terhadap pesakit mereka. Sesetengah pekerja penjagaan kesihatan mendapati kesukaran untuk menggunakan topeng dan peralatan yang lain apabila ia menyebabkan pesakit berasa terasing, ketakutan atau distigma. Pekerja penjagaan kesihatan juga mendapati topeng dan peralatan yang lain tidak selesa untuk digunakan. Budaya tempat kerja juga boleh mempengaruhi sama ada pekerja penjagaan kesihatan mengikuti garis panduan IPC atau tidak.

Merentasi kebanyakan penemuan, pekerja penjagaan kesihatan membawa perhatian kepada kepentingan untuk melibatkan semua kakitangan, termasuk kakitangan pembersihan, porter, pekerja dapur dan kakitangan sokongan yang lain apabila melaksanakan garis panduan IPC.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save