Suntikan kortikosteroid untuk rawatan sciatica

Apa itu sciatica?

Kesakitan radikular lumbosacral, sering disebut sebagai sciatica, adalah sejenis kesakitan yang timbul akibat kerengsaan atau keradangan saraf tulang belakang. Orang biasanya mengalami kesakitan yang merebak ke kaki, kadang-kadang dengan sensasi yang berubah-ubah dan kelemahan otot kaki. Dalam ringkasan bahasa mudah ini, istilah 'sciatica' akan digunakan untuk menggambarkan kesakitan radikular lumbosacral.

Bagaimana suntikan steroid anti-radang terus ke kawasan tulang belakang mungkin berfungsi

Untuk melegakan gejala sciatica, sebilangan pengamal perubatan merawat pesakit mereka dengan suntikan kortikosteroid (ubat anti-radang) terus ke kawasan tulang belakang. Suntikan dipercayai berfungsi dengan mengurangkan keradangan di sekitar saraf tunjang.

Apakah tujuan ulasan ini?

Kami bertujuan untuk menyiasat sama ada suntikan steroid anti-radang ke tulang belakang bawah berkesan dan selamat berbanding dengan suntikan plasebo (iaitu suntikan bahan lengai (tidak aktif) atau tidak berbahaya (seperti air garam)) pada orang dengan sciatica.

Tarikh carian

Ulasan ini merangkumi semua kajian yang memenuhi syarat hingga 25 September 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 25 kajian klinikal (dilaporkan dalam 29 penerbitan) yang mendaftarkan sejumlah 2470 orang dengan sciatica membandingkan suntikan steroid anti-radang ke suntikan tulang belakang dan plasebo. Kami mengenal pasti satu kajian yang sedang dijalankan dalam daftar protokol kajian. Sebilangan besar kajian merangkumi peserta dengan sciatica yang dikesan melalui penemuan klinikal dan kebanyakan kajian merangkumi peserta dengan tempoh gejala yang bercampur. Kajian yang disertakan dilakukan terutamanya di Amerika Utara dan Eropah. Lima belas kajian tidak melaporkan maklumat yang berkaitan dengan dana, lima kajian melaporkan tidak menerima dana untuk menjalankan kajian, dan lima kajian melaporkan menerima dana dari sumber bukan keuntungan (seperti institut penyelidikan, universiti) atau dari sumber kerajaan. Lapan kajian melaporkan data mengenai sakit kaki, 12 kajian melaporkan data mengenai kecacatan, dan lapan kajian melaporkan data mengenai kejadian buruk. Tempoh penilaian susulan antara 12 jam hingga 1 tahun. Kami menganggap hanya lapan kajian yang berisiko rendah terhadap berat sebelah.

Mesej utama

Kami memberikan ringkasan hasil utama ulasan di bahagian 'Jadual tambahan'.

Suntikan steroid anti-radang ke tulang belakang bawah mungkin sedikit lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan sakit kaki dan kecacatan pada tempoh susulan jangka pendek. Walau bagaimanapun, kesan rawatannya kecil dan mungkin tidak dianggap penting secara klinikal oleh pesakit dan doktor (iaitu kurang dari 10 mata pada skala 0 hingga 100).

Kejadian buruk mungkin berlaku selepas suntikan steroid anti-radang ke tulang belakang bawah untuk sciatica. Sebilangan besar kajian memberikan maklumat yang tidak mencukupi mengenai cara atau bila kejadian buruk dinilai (tempoh susulan segera atau jangka pendek) dan hanya melaporkan kejadian buruk ubat (kejadian tidak dijangka yang penulis berikan kepada rawatan kajian). Kami sangat tidak pasti bahawa kekerapan kejadian buruk kecil adalah berbeza berikutan suntikan steroid anti-radang berbanding dengan suntikan plasebo. Kejadian buruk termasuk kesakitan yang meningkat semasa atau selepas suntikan, sakit kepala yang tidak spesifik, sakit kepala selepas tusukan tulang belakang yang tidak disengajakan, haid yang tidak teratur, tusukan tulang belakang yang tidak disengajakan, sakit toraks, ruam bukan setempat, sinusitis, tindak balas vasovagal (kehilangan kesedaran singkat), hipotensi, loya, dan tinitus. Satu kajian melaporkan reaksi ubat utama: seorang pesakit yang menjalani terapi antikoagulan mengalami hematoma retroperitoneal (pendarahan di ruang perut) sebagai komplikasi suntikan steroid anti-radang.

Walaupun ulasan terkini mengenal pasti kajian tambahan, bukti yang ada masih memberikan sokongan terhad untuk penggunaan suntikan steroid anti-radang ke tulang belakang bawah untuk sciatica kerana faedah rawatannya kecil, terutamanya terbukti pada tempoh susulan jangka pendek, dan mungkin tidak dianggap penting secara klinikal oleh pesakit dan doktor.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana, menunjukkan bahawa kajian lanjutan dapat mengubah kesimpulan kami. Ketidakpastian kebanyakannya disebabkan oleh masalah dengan reka bentuk kajian dan tak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save