Pengguguran secara perubatan yang ditawarkan di farmasi berbanding dengan pengguguran di klinik

Kenapa ulasan ini penting

Pengguguran secara perubatan ditawarkan secara rutin di klinik dan hospital, tetapi dapat ditawarkan di tempat lain seperti farmasi. Di kebanyakkan negara, farmasi adalah tempat akses yang pertama dan umum bagi wanita yang mencari maklumat dan perkhidmatan kesihatan reproduktif, termasuk pengguguran. Memperluaskan akses kepada pengguguran secara perubatan melalui farmasi adalah strategi yang berpotensi untuk mempromosikan penkhidmatan pengguguran yang selamat.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Kami menjalankan pencarian di tujuh pangkalan data penyelidikan perubatan untuk ujian terkawal secara rawak, dan laman web untuk literatur kelabu (iaitu penyelidikan yang dihasilkan oleh organisasi di luar saluran penerbitan dan pengedaran komersil dan tradisional akademik). Di samping itu, kami mencari bahan rujukan utama dan menghubungi pengarang untuk mencari kajian atau kajian yang belum diterbitkan yang tidak dapat dikenalpasti melalui carian pangkalan data.

Kami mengenalpasti kajian yang membandingkan wanita yang menerima ubat dan dos yang sama untuk pengguguran secara perubatan atau rawatan selepas pengguguran sama ada dilakukan di klinik atau farmasi. Kami menyertakan kajian yang diterbitkan dalam mana-mana bahasa, termasuk yang mempunyai reka bentuk yang berikut: ujian secara rawak dan kajian bukan rawak yang menyertakan kumpulan perbandingan.

Kami membaca dan menilai semua abstrak dan artikel teks penuh, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 2030 kajian. Kami menyaring abstrak yang diperoleh, dan meletakkan kriteria pengecualian. Kami menilai sejumlah 89 artikel teks penuh untuk menentukan kelayakan. Satu kajian kohort prospektif memenuhi kriteria penyertaan kami. Dalam kajian ini, 605 wanita di Nepal menerima pengguguran secara perubatan daripada pengamal penjagaan kesihatan yang sama (bidan jururawat auksiliari) di klinik atau di farmasi. Tidak ada perbezaan dalam kadar pengguguran lengkap antara dua tempat pengguguran yang berbeza. Kami juga memeriksa kadar pemindahan darah dan jangkitan kuman dalam masa 30 hari selepas pengguguran secara perubatan. Hasil-hasil ini jarang berlaku dan bukti yang ada adalah terhad untuk membuat kesimpulan mengenai perbezaan mengikut tempat. Hasil sekunder tambahan termasuk kemasukan ke hospital untuk kejadian yang berkaitan dengan pengguguran, intervensi pembedahan tambahan diperlukan (selain sedutan dalam rahim), dan hasil kualiti penjagaan. Tidak ada kemasukan ke hospital atau prosedur pembedahan tambahan yang berlaku dalam kedua-dua kumpulan, dan maklumat mengenai kualiti rawatan adalah terhad.

Apakah maksudnya?

Satu kajian bukan rawak memberikan sati kepastian yang rendah bahawa keberkesanan pengguguran secara perubatan mungkin tidak berbeza sama ada di farmasi ataupun klinik apabila rawatan yang diberikan oleh pengamal perubatan yang sama. Tiga kajian yang sedang berlangsung berpotensi untuk disertakan dalam kemaskini tinjauan ini. Kesimpulan mengenai keberkesanan, keselamatan dan kualiti penyediaan penjagaan pengguguran secara perubatan oleh ahli farmasi dibatasi oleh kekurangan kajian perbandingan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan kerana penyediaan oleh farmasi dapat memperluas akses ke pengguguran secara perubatan tepat pada masanya, terutamanya di tempat di mana perkhidmatan klinik mungkin lebih sukar untuk diperolehi.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam Cochrane Review ini adalah terkini hingga November 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information