Suapan enteral lengkap awal untuk bayi pramasa atau berat lahir rendah

Soalan ulasan: adakah bayi pramasa atau berat lahir rendah (bayi yang lahir awal atau kecil) berkembang lebih cepat dan kurang masalah apabila mereka menerima semua nutrien penyusuan sejurus selepas lahir (berbanding memperkenal penyusuan secara beransur sambil memberi cecair atau nutrien melalui tetesan intravena (proses aliran cecair yang lambat ke dalam aliran darah melalui vena))?

Latar belakang: 'Suapan enteral lengkap awal' bermaksud bayi pramasa atau berat lahir rendah menerima semua nutrisi sebagai penyusuan sejurus selepas lahir, dan tidak menerima sebarang cecair atau nutrisi tambahan melalui tetesan intravena. Menilai sama ada pendekatan ini selamat dan bermanfaat adalah relevan bagi memberi makan bayi pramasa atau berat lahir rendah (lahir sebelum 32 minggu, atau berat lahir kurang dari 1500 g).

Ciri-ciri kajian: kami menyertakan enam kajian, semuanya dilakukan di unit rawatan neonatal di India pada 2010. Kajian-kajian umumnya berkualiti baik walaupun kebanyakannya kecil (melibatkan sejumlah 526 bayi). Peserta kajian adalah bayi lahir pramasa dengan berat lahir 1000 g hingga 1500 g.

Carian adalah terkini sehingga Julai 2020.

Keputusan utama: tiada cukup data untuk menunjukkan sama ada bayi yang menerima makanan secara penyusuan penuh sejak lahir menambah berat badan dan berkembang lebih cepat berbanding bayi yang diberi makan secara beransur pada minggu pertama atau kedua selepas lahir. Kajian-kajian tersebut tidak melapor maklumat tentang kesan-kesan makanan enteral lengkap awal terhadap perkembangan dan pertumbuhan bayi dalam kehidupan bayi di kemudian hari. Kajian-kajian yang disertakan tidak menunjukkan bukti potensi manfaat atau mudarat pemakanan awal, termasuk sebarang kesan masalah usus atau memberi makan.

Kesimpulan: tiada cukup bukti untuk menentukan sama ada memberi penyusuan penuh awal bermanfaat kepada bayi pramasa atau berat lahir rendah. Kajian-kajian baharu diperlukan untuk merungkai ketidakpastian ini.

Kualiti bukti: kami menilai bukti ini sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah kerana kajian-kajian yang disertakan adalah kecil dan ada beberapa kelemahan metodologi dan penemuan kajian-kajian tidak konsisten antara satu sama lain. Ini bermakna kajian lanjutan cenderung membawa impak penting dalam anggaran kesan dan keyakinan kami dalam penemuan-penemuan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save