Adakah berhenti merokok memperbaiki kesihatan mental?

Merokok dan kesihatan mental

Beberapa penyedia kesihatan dan orang yang merokok percaya bahawa merokok membantu mengurangkan tekanan dan gejala-gejala kesihatan mental lain, seperti kemurungan dan kegelisahan. Mereka bimbang berhenti merokok boleh membuat gejala-gejala kesihatan mental menjadi lebih teruk. Walau bagaimanapun, kajian-kajian telah menunjukkan bahawa merokok mungkin mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan mental seseorang, dan berhenti merokok dapat mengurangkan kemurungan dan kegelisahan.

Mengapakah kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui bagaimana berhenti merokok mempengaruhi kesihatan mental seseorang. Jika berhenti merokok memperbaiki gejala-gejala kesihatan mental, bukan memburukkannya, maka ini dapat menggalakkan lebih banyak orang untuk cuba berhenti merokok dan lebih banyak profesional kesihatan membantu pesakit-pesakit mereka untuk berhenti merokok. Ia juga boleh menggalakkan orang untuk tidak memulakan merokok tembakau.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang berjalan selama sekurang-kurangnya enam minggu yang menyertakan orang yang merokok pada permulaan kajian. Untuk disertakan, kajian juga perlu mengukur sama ada orang berhenti merokok atau tidak dan sebarang perubahan dalam kesihatan mental semasa kajian.

Kami berminat dengan bagaimana berhenti merokok mempengaruhi:

- gejala-gejala kegelisahan;

- gejala-gejala kemurungan;

- gejala-gejala kegelisahan dan kemurungan bersama;

- gejala-gejala tekanan;

- kesejahteraan keseluruhan;

- masalah-masalah kesihatan mental;

- kesejahteraan sosial, hubungan peribadi, pengasingan dan kesunyian.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 7 Januari 2020.

Apa yang kami temui

Kami menemui 102 kajian dengan lebih daripada 169,500 orang: beberapa kajian tidak melaporkan dengan jelas berapa banyak orang yang mengambil bahagian. Kajian-kajian itu menggunakan pelbagai skala penilaian yang berbeza untuk mengukur gejala-gejala kesihatan mental seseorang.

Kebanyakan kajian menyertakan orang dari populasi umum (53 kajian); 23 kajian menyertakan orang dengan keadaan kesihatan mental; kajian-kajian lain menyertakan orang dengan keadaan kesihatan fizikal atau mental, atau keadaan fizikal yang berpanjangan, yang baru menjalani pembedahan, atau yang hamil.

Kami menggabungkan dan membandingkan keputusan-keputusan dari 63 kajian yang mengukur perubahan gejala-gejala kesihatan mental, dan dari 10 kajian yang mengukur berapa banyak orang mengalami gangguan kesihatan mental semasa kajian.

Apakah keputusan ulasan kami?

Berbanding dengan orang yang terus merokok, orang yang berhenti merokok menunjukkan penurunan yang lebih besar dalam:

- kegelisahan (bukti dari 3141 orang dalam 15 kajian);

- kemurungan (7156 orang dalam 34 kajian); dan

- campuran kegelisahan dan kemurungan (2829 orang dalam 8 kajian).

Keyakinan kami terhadap keputusan kami adalah sangat rendah (untuk kemurungan), rendah (untuk kegelisahan), dan sederhana (untuk campuran kegelisahan dan kemurungan). Keyakinan kami berkurang kerana kami menemui batasan dalam cara-cara kajian-kajian itu dirancang dan dijalankan.

Berbanding dengan orang yang terus merokok, orang yang berhenti merokok menunjukkan penambahbaikan yang lebih besar dalam:

- gejala-gejala tekanan (bukti dari 4 kajian dalam 1792 orang);

- perasaan positif (13 kajian dalam 4880 orang); dan

- kesejahteraan mental (19 kajian dalam 18,034 orang).

Terdapat juga bukti bahawa orang yang berhenti merokok tidak mengalami penurunan dalam kesejahteraan sosial mereka, dan kesejahteraan sosial mereka mungkin meningkat sedikit (9 kajian dalam 14,673 orang).

Dalam orang yang berhenti merokok, kes-kes baru campuran kegelisahan dan kemurungan adalah kurang daripada mereka yang terus merokok (bukti dari 3 kajian dalam 8685 orang). Kes-kes kegelisahan baru juga adalah kurang (2 kajian dalam 2293 orang). Kami tidak dapat membuat keputusan mengenai jumlah kes-kes kemurungan baru, kerana keputusan dari pelbagai kajian adalah terlalu berbeza.

Mesej utama

Orang yang berhenti merokok tidak cenderung untuk mengalami keterukan perasaan mereka dalam jangka masa panjang, sama ada mereka mempunyai keadaan kesihatan mental atau tidak. Mereka juga mungkin mengalami penambahbaikan kesihatan mental mereka, seperti pengurangan gejala-gejala kegelisahan dan kemurungan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save