Penghentian antidepresan jangka panjang dalam kalangan orang dengan depresi atau keresahan

Soalan ulasan

Kami ingin tahu jika ianya berkesan dan selamat untuk menghentikan antidepresan bagi orang dengan depresi atau keresahan yang telah mengambilnya selama enam bulan atau lebih.

Kami membandingkan pendekatan yang berbeza untuk menghentikan antidepresan jangka panjang berbanding sambungan. Kami melihat manfaat (contohnya kadar penghentian yang berjaya) dan mudarat, misalnya perulangan episod depresi atau keresahan (relaps), kesan sampingan, dan simptom penarikan (iaitu simptom yang dialami orang apabila menghentikan antidepresan).

Latar belakang

Antidepresan banyak diguna untuk depresi dan keresahan. Garis panduan mengesyorkan antidepresan harus disambung sekurang-kurangnya enam bulan selepas orang mula merasa lebih baik, dan sekurang-kurangnya dua tahun jika mereka alami dua atau lebih tempoh depresi. Ramai orang mengambil antidepresan untuk lebih lama, dan ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan, penggunaan jangka panjang membuat orang berisiko bahaya yang mungkin melebihi manfaatnya.

Ciri-ciri kajian

Carian kami hingga Januari 2020 menemui 33 kajian, yang melibatkan 4995 peserta dewasa. Kebanyakan orang dalam kajian-kajian tersebut mengalami depresi berulang (dua atau lebih episod depresi sebelum berhenti antidepresan), dan kebanyakan direkrut dari perkhidmatan penjagaan kesihatan mental pakar. Di dalam 13 kajian, antidepresan dihentikan mendadak; dalam 18 kajian, antidepresan dihentikan beransur-ansur selama beberapa minggu ("menirus"); dalam empat kajian, sokongan terapi psikologi juga ditawarkan; dan dalam satu kajian, penghentian didorong oleh panduan menirus ubat. Kebanyakan skim menirus ubat berlangsung selama empat minggu atau kurang.

Keputusan utama

Kami menemui bukti kepastian sangat rendah yang mencadangkan berhenti mendadak boleh menyebabkan lebih risiko relaps dan tiada cukup bukti kesan sampingan berbanding sambungan antidepresan.

Kami mendapati bukti kepastian yang sangat rendah mencadangkan "menirus" selama beberapa minggu boleh menyebabkan lebih risiko ulangan dan mungkin sedikit atau tiada kesan sampingan berbanding sambungan.

Kami mendapati bukti kepastian sangat rendah hingga rendah yang mencadangkan penghentian antidepresan dalam kombinasi terapi kognitif pencegahan (PCT), atau MBCT, adalah mungkin bagi 40% hingga 75% peserta dalam kumpulan menirus antidepresan dan mungkin tidak menunjukkan perbezaan kesan relaps.

Kami mendapati bukti kepastian rendah yang mencadangkan surat dan panduan menirus ubat kepada GP mungkin tiada kesan terhadap bilangan orang yang menghentikan antidepresan mereka.

Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang simptom penarikan setelah penghentian mendadak atau beransur-ansur antidepresan, kerana ini secara amnya tidak dinilai.

Tiada kajian yang menggunakan skim menirus yang sangat perlahan melebihi beberapa minggu, menirus antidepresan cecair, atau mengguna jalur menirus (untuk menirus dos yang sangat rendah).

Tiada kajian yang dikenal pasti menyiasat penghentian dengan gabungan memberi terapi sokongan seperti sokongan dalam talian atau terapi bantu diri.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan, kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah. Ini bermakna kami mempunyai keyakinan yang terhad atau sedikit dalam keputusan-keputusan, dan penyelidikan baharu cenderung mengubah kesimpulan kami. Tujuan utama menilai kepastian bukti ini adalah kerana kajian-kajian tidak membezakan antara simptom relaps depresi dan siptom penarikan. Kebanyakan kajian juga tidak menggunakan jadual menirus atau jadual menirus "ringkas” (empat minggu atau kurang), dan hampir semua kajian melibatkan orang dengan depresi berulang (lebih dari dua episod).

Kesimpulan

Kami menemui sedikit kajian yang mengkaji penghentian antidepresan jangka panjang. Kami tidak pasti jika pendekatan untuk menghentikan antidepresan jangka panjang yang dikaji sehingga kini berkesan dan selamat dalam kalangan orang dengan depresi berulang. Orang harus berbincang dengan doktor apabila mereka mahu menghentikan antidepresan.

Kajian masa depan harus melibatkan orang dalam penjagaan primer dengan hanya satu atau tiada episod depresi, orang tua, dan orang yang mengambil antidepresan kerana keresahan. Kajian harus menirus antidepresan secara perlahan sambil berhati-hati membezakan simptom penarikan berbanding relaps.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save