Rejimen penambahan vitamin D untuk wanita semasa hamil

Apakah isunya?

Ulasan ini menilai jika ada kesan bermanfaat menambahkan lebih vitamin D daripada syor semasa (200 unit antarabangsa/hari (IU/d) kepada 600 (IU/d) terhadap kehamilan dan hasil kesihatan neonatal dan menilai jika ada kesan kesihatan negatif apabila menggunakan lebih daripada had atas syor semasa (4000 IU/d).

Mengapa ini penting?

Penambahan vitamin D semasa hamil berbanding tiada penambahan dilihat dapat mengurangkan risiko pra-eklampsia, diabetes gestasi, berat lahir rendah dan boleh mengurangkan risiko perdarahan postpartum yang teruk. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas jika dos yang lebih besar daripada syor semasa ini diperlukan untuk menikmati manfaat-manfaat kesihatan ini, dan jika memberi lebih daripada had atas dikaitkan dengan peristiwa buruk.

Apa yang dikaji di dalam ulasan?

Ulasan ini memasukkan kajian-kajian yang menilai kesan pelbagai rejimen vitamin D (dos, frekuensi, tempoh, dan masa permulaan) untuk membandingkan kesan 601 IU/d atau lebih berbanding 600 IU/d atau kurang dan 4000 IU/d atau lebih berbanding 3999 IU/d atau kurang, vitamin D sahaja atau dengan sebarang nutrien terhadap kehamilan dan hasil kesihatan neonatal.

Apakah bukti yang kami dapati?

Bukti daripada 19 kajian melibatkan 5214 wanita mencadangkan penambahan 601 IU/d atau lebih vitamin D semasa hamil boleh mengurangkan risiko diabetes gestasi tetapi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko pra-eklampsia, kelahiran pramasa atau berat lahir rendah berbanding wanita yang menerima 600 IU/d atau kurang.

Bukti daripada 15 kajian melibatkan 4763 wanita mencadangkan penambahan 4000 IU/d atau lebih vitamin D semasa hamil membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko pra-eklampsia, diabetes gestasi, kelahiran pramasa atau berat lahir rendah berbanding wanita yang menerima 3999 IU/d atau kurang.

Peristiwa buruk dilaporkan berbeza-beza di dalam kebanyakan kajian; secara umum, terdapat sedikit atau tiada kesan sampingan yang dilaporkan atau kes serupa antara kumpulan.

Apakah maknanya?

Menambah vitamin D lebih daripada syor semasa kepada wanita hamil boleh mengurangkan risiko diabetes gestasi; walau bagaimanapun, ia mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko hasil lain. Menambahkan vitamin D bagi wanita hamil dengan lebih daripada had atas semasa dilihat tidak meningkatkan risiko hasil-hasil yang dinilai. Penambahan vitamin D dilihat selamat.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nadiah Abdul Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nadiah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save