Penyekat beta untuk mencegah kematian atau peristiwa serius selepas pembedahan jantung

Ulasan ini menilai bukti sama ada perencat beta yang diberi di sekitar masa pembedahan boleh mengurangkan kematian atau peristiwa serius lain untuk orang yang menjalani pembedahan jantung.

Latar belakang

Orang yang menjalani pembedahan jantung lebih berisiko untuk komplikasi dan kematian. Pembedahan jantung meningkatkan tekanan dalam badan, menyebabkan pembebasan hormon adrenalin dan noradrenalin. Tekanan ini boleh mengakibatkan peristiwa serius termasuk kematian, serangan jantung, strok, atau denyut jantung tak regular. Penyekat beta adalah ubat yang menyekat tindakan adrenalin dan noradrenalin pada jantung. Penyekat beta boleh melambatkan jantung dan mengurangkan tekanan darah, dan kesan ini dapat mengurangkan risiko peristiwa serius. Walau bagaimanapun, ia juga boleh membawa kepada kadar jantung atau tekanan darah yang sangat rendah, dan kesan ini boleh meningkatkan risiko kematian atau strok. Pencegahan komplikasi di sekitar masa pembedahan adalah pertimbangan keselamatan penting bagi orang yang menjalani pembedahan jantung.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 28 Jun 2019. Kami termasuk 63 kajian dengan 7768 orang dewasa yang menjalani pembedahan jantung, termasuk pembedahan pintasan koronari arteri koronari dan penggantian injap. Kebanyakan kajian adalah kajian rawak terkawal, dan enam adalah separa rawak (peserta diperuntukkan kepada kumpulan dengan kaedah seperti menggunakan nombor rekod hospital atau tarikh lahir). Jenis penyekat beta ialah: propranolol, metoprolol, sotalol, esmolol, landiolol, acebutolol, timolol, carvedilol, nadolol, dan atenolol. Penyekat-penyekat beta ini dibandingkan sama ada dengan plasebo (disamarkan seperti penyekat beta tetapi tidak mengandungi ubat) atau dengan penjagaan standard. Penyekat beta dimulakan sebelum pembedahan, semasa pembedahan atau paling lewat di akhir hari pertama selepas pembedahan. Tempoh penyekat beta diberi adalah berbeza di antara kajian. Di dalam kebanyakan kajian, sekurang-kurangnya beberapa orang telah mengambil penyekat beta, yang dijangka dalam kalangan orang yang memerlukan pembedahan jantung.

Keputusan-keputusan utama

Penyekat beta mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang mati (29 kajian, 4099 peserta) atau mengalami serangan jantung (25 kajian, 3946 peserta) dalam tempoh 30 hari pembedahan. Ini disokong oleh bukti kepastian rendah. Beberapa kajian melaporkan orang yang mengalami strok, dan kami tidak pasti sama ada penyekat beta mengurangkan strok atau tidak kerana kepastian bukti adalah sangat rendah (5 kajian, 1471 peserta). Penyekat beta mungkin mengurangkan pemfibrilan atrium, yang merupakan denyut jantung tak regular yang bermula di ruang atrium di jantung yang meningkatkan risiko strok jika tidak dirawat (40 kajian, 5650 peserta; bukti kepastian rendah). Penyekat beta juga mungkin mengurangkan aritmia ventrikel, iaitu ritma denyut jantung tak regular yang berpotensi mengancam nyawa yang bermula di ruang utama jantung, dan memerlukan rawatan perubatan segera (12 kajian, 2296 peserta). Kami mendapati penyekat beta mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada orang yang mengalami kadar jantung atau tekanan darah yang sangat rendah.

Kami tidak pasti sama ada penyekat beta membuat perbezaan kepada bilangan kematian sehingga setahun selepas pembedahan (3 kajian, 511 peserta), kematian akibat jantung (4 kajian, 320 peserta), atau kepada orang yang ada kegagalan jantung (3 kajian, 311 peserta). Kepastian bukti ini adalah sangat rendah. Orang yang mengambil penyenkt beta mempunyai tempoh inap di hospital yang lebih pendek sekitar setengah hari (14 kajian, 2450 peserta, bukti kepastian rendah).

Tiada kajian menilai sama ada orang yang mengambil penyekat beta mempunyai kualiti hidup lebih baik selepas pembedahan jantung.

Kepastian bukti

Kepastian bukti di dalam ulasan ini kebanyakannya rendah. Kami dapati banyak kajian melaporkan kaedah yang kami percaya boleh mempengaruhi keputusan. Sebagai contoh, banyak kajian tidak menggunakan kawalan plasebo, oleh itu doktor mungkin merawat orang berbeza-beza di dalam setiap kumpulan. Kami tidak dapat menerangkan beberapa perbezaan yang kami dapati dalam data untuk pemfibrilan atrium. Kami juga perlukan bukti daripada bilangan peserta yang lebih besar untuk meyakini penemuan kami.

Kesimpulan

Penyekat beta mungkin bermanfaat bagi orang yang menjalani pembedahan jantung kerana ia dapat mengurangkan bilangan orang mengalami pemfibrilan atriim dan aritmia ventrikel. Penyekat beta mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada hasil lain dalam ulasan ini, termasuk kematian, serangan jantung atau strok.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information