Latihan senaman fleksibiliti untuk orang dewasa yang menghidapi fibromyalgia

Kajian ini merangkumkan kesan senaman fleksibiliti untuk orang dewasa yang menghidapi fibromyalgia.

Apakah masalah yang disebabkan oleh fibromyalgia?

Mereka yang menghidapi fibromyalgia mempunyai kesakitan di seluruh badan secara berterusan. Mereka juga mungkin mengalami keletihan, kebimbangan, kemurungan, dan kesulitan tidur.

Apa itu latihan senaman fleksibiliti?

Latihan senaman fleksibiliti adalah satu jenis senaman yang memberi tumpuan kepada peningkatan atau mengekalkan jumlah pergerakan yang terdapat dalam otot dan struktur sendi dengan memegang atau meregangkan badan dalam kedudukan tertentu.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari literatur sehingga Disember 2017 dan mendapati 12 kajian (743 individu) yang memenuhi kriteria pemilihan kami. Intervensi senaman fleksibiliti dibandingkan dengan kumpulan kawalan (rawatan biasa), intervensi latihan aerobik (cth. berjalan kaki di atas treadmill), intervensi latihan bebanan (cth. menggunakan mesin pemberat yang memberi rintangan pada pergerakan), dan intervensi lain (cth. Pilates). Purata umur peserta adalah 48.6 tahun. Kajian telah dijalankan di tujuh negara, dan kebanyakan kajian (58.3%) hanya melibatkan peserta wanita. Kajian latihan berkisar antara 4 hingga 20 minggu. Program senaman regangan adalah antara 40 hingga 60 minit, 1 hingga 3 kali sehari. Intensiti regangan (contohnya, sejauh mana regangan diambil dalam pelbagai gerakan yang ada) tidak dilaporkan dalam kebanyakan kes. Masa setiap regangan diadakan antara 6 hingga 60 saat. Otot yang disasarkan biasanya dari kedua-dua bahagian atas dan bawah, leher, dan belakang. Latihan fleksibiliti sama ada diselia atau dilakukan di rumah. Perbandingan utama kami adalah senaman fleksibiliti beserta latihan aerobik di darat.

Keputusan utama pada akhir rawatan bagi perbandinganutama kami

Berbanding latihan senaman aerobik di darat, senaman fleksibiliti kurang berfaedah pada 8 hingga 20 minggu susulan.

Setiappengukuran di bawah diukur pada skala dari 0 hingga 100, dengan skor yang lebih rendah lebih baik.

Kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan: Mereka yang menerima latihan senaman fleksibiliti adalah 4% lebih teruk (julat antara 6% lebih baik dan 14% lebih teruk).

• Mereka yang menjalani latihan fleksibiliti menilai kualiti hidup mereka pada 46 mata.

• Mereka yang menjalani latihan aerobik menilai kualiti hidup mereka pada 42 mata.

Kadar kesakitan: Mereka yang menerima latihan senaman fleksibiliti adalah 5% lebih teruk (julat antara 1% lebih baik dan 11% lebih teruk).

• Mereka yang mempunyai latihan fleksibiliti menilai kesakitan mereka pada 57 mata.

• Mereka yang menjalani latihan aerobik menilai kesakitan mereka pada 52 mata.

Keletihan: • Mereka yang menjalani latihan senaman fleksibiliti adalah 4% lebih baik (dari 13% lebih baik kepada 5% lebih buruk).

• Mereka yang menjalani latihan fleksibiliti menilai keletihan mereka pada 67 mata.

• Mereka yang menjalani latihan aerobik menilai keletihan mereka pada 71 mata.

Kekakuan: Mereka yang menerima latihan senaman fleksibiliti adalah 30% lebih baik (dari 8% lebih baik kepada 51% lebih baik).

• Mereka yang menjalani latihan fleksibiliti menilai kekakuan mereka pada 49 mata.

• Mereka yang menjalani latihan aerobik menilai kekakuan mereka pada 79 mata.

Fungsi fizikal: Mereka yang menerima latihan senaman fleksibiliti adalah 6% lebih teruk (julat antara 4% lebih baik dan 16% lebih teruk).

• Mereka yang menjalani latihan fleksibiliti menilai fungsi fizikal mereka pada 23 mata.

• Mereka yang menjalani latihan aerobik menilai fungsi fizikal mereka pada 17 mata.

Penarikan diri dari rawatan

Sebanyak 18 daripada setiap 100 orang keluar dari kumpulan untuk pelbagai sebab berbanding 19 daripada setiap 100 orang dari kumpulan latihan aerobik.

Kemudaratan

Kami tidak mendapat maklumat yang jelas tentang bahaya. Satu kajian melaporkan bahawa seorang peserta telah bengkak (tendinitis) tendon buku lali (Achilles), tetapi tidak jelas apakah ini berkaitan dengan penyertaan dalam senaman fleksibiliti.

Kualiti bukti

Bukti tidak menunjukkan bahawa senaman fleksibiliti berupaya meningkatkan kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan, sakit, keletihan, atau fungsi fizikal. Bilangan orang yang keciciran dari setiap kumpulan adalah sama. Walaupun bukti menunjukkan bahawa senaman fleksibiliti menambah baik masalah kekakuan, perlu berhati-hati dalam mentafsir dapatan ini, kerana peningkatan ini dilihat hanya dalam satu kajian dengan bilangan peserta yang sedikit. Kami menganggap kepastian keseluruhan bukti adalah rendah kepada sangat rendah disebabkan isu berkaitan reka bentuk kajian, bilangan peserta yang kecil, dan kepastian hasil dapatan kajian yang rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information
Share/Save