Penambahan pembalut perut (fundoplikasi) di sekeliling salur makanan (esofagus) dalam pembedahan lubang kunci (laparoskopi) untuk merawat akalasia

Soalan ulasan

1) Adakah penambahan pembalut perut di sekeliling salur makanan (esofagus) mengurangkan pengaliran balik/semula makanan dan asid dari perut ke salur makanan (regurgitasi) apabila digunakan dengan pembedahan lubang kunci untuk merawat akalasia?

2) Apakah jenis pembalut perut (sebahagian atau keseluruhan) di sekeliling salur makanan yang lebih baik untuk mengawal regurgitasi tanpa menyebabkan kesukaran menelan (disfagia) apabila digunakan dengan pembedahan lubang kunci untuk merawat akalasia?

Latar belakang

Akalasia adalah penyakit yang agak jarang terjadi, ianya disebabkan oleh kontraksi kekal injap (sfinkter esofagus bawah) di hujung bawah salur makanan. Ia menyebabkan kesukaran menelan yang boleh dilegakan dengan pembedahan lubang kunci yang memotong otot (kardiomiotomi Heller) injap ini. Fungsi injap ini adalah untuk menghentikan regurgitasi makanan dan asid (refluk) dari perut ke saluran makanan. Memotong otot injap ini, sebagai rawatan untuk akalasia, boleh membawa kepada peningkatan regurgitasi asid. Untuk mengelakkan regurgitasi daripada berlaku, sesetengah pakar bedah akan membalut bahagian atas perut di sekeliling hujung bawah salur makanan tersebut. Balutan perut ini akan bertindak sebagai sfinkter atau injap tiruan yang boleh menghalang regurgitasi asid. Peranan balutan perut ini dalam mengawal regurgitasi tidak diterima secara universal oleh semua pakar bedah, dan terdapat juga perselisihan pendapat mengenai jenis balutan yang perlu dilakukan sama ada (sebahagiannya dilekatkan pada bahagian depan (anterior) atau belakang (posterior) perut, atau sepenuhnya mengelilingi perut (total) yang paling baik untuk mengawal regurgitasi, tanpa memburukkan lagi kesukaran untuk menelan.

Ciri-ciri kajian

Kami hanya menyertakan kajian di mana orang dewasa dengan akalasia dirawat dengan pembedahan lubang kunci bagi memotong otot injap di hujung bawah salur makanan; kajian-kajian menggunakan pelbagai jenis pembalut perut yang berlainan atau tiada pembalut langsung. Dalam semua kajian ini, para peserta telah diagihkan kepada kumpulan rawatan secara rawak (kajian rawak terkawal) untuk memastikan peserta mempunya peluang yang serupa untuk berada di dalam mana mana kumpulan rawatan dan mengurangkan sebarang kesilapan akibat bias (berat sebelah). Membandingkan hasil teknik yang berbeza ini, kami telah cuba untuk mengetahui sama ada penambahan pembalut perut membantu untuk mengelakkan regurgitasi asid, dan juga apakah jenis pembalut yang lebih baik untuk mengawal regurgitasi. Kami telah mencari dalam tiga pangkalan data (CENTRAL, MEDLINE, Embase) pada 31 Oktober 2021 dan bukti yang diberikan adalah terkini hingga Oktober 2021. Kami menyertakan lapan kajian dalam ulasan ini (sejumlah 571 peserta). Semua peserta menjalani pembedahan lubang kunci untuk memotong otot injap di hujung bawah salur makanan. Di samping itu, 298 peserta mempunyai pembalut perut separa anterior (Dor), 81 mempunyai pembalut separa posterior (Toupet), 72 mempunyai balutan total (Nissen), dan 55 mempunyai perut yang diikat pada salur makanan (pembesaran sudut His) dengan jahitan, dan 65 tidak mempunyai prosedur tambahan.

Keputusan utama

Buktinya sangat tidak pasti sama ada penambahan balutan separa anterior (Dor) menghasilkan sebarang perubahan kepada hasil regurgitasi asid dan adalah tidak pasti bagi kesukaran menelan dalam kalangan peserta-peserta ini. Nampaknya tiada perbezaan dalam hasil antara balutan separa anterior (Dor) dan separa posterior (Toupet) dari segi regurgitasi asid dan kesukaran untuk menelan, tetapi terdapat ketidakpastian tentang bukti. Balutan total (Nissen) menyebabkan peningkatan kesukaran menelan jika dibandingkan dengan balutan separa anterior (Dor). Kajian yang membandingkan balutan separa anterior (Dor) dengan prosedur di mana perut hanya disambungkan ke salur makanan dengan beberapa jahitan tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam kesukaran menelan selepas pembedahan, tetapi tidak melaporkan tentang kejadian regurgitasi asid.

Kepastian bukti

Semua kajian yang disertakan dalam ulasan direka dengan baik. Walau bagaimanapun, satu kajian hanya diterbitkan sebagai abstrak, cuma memberikan kami maklumat yang terhad. Batasan lain ulasan ini adalah bilangan peserta yang kecil dan tempoh susulan yang singkat dalam kajian-kajian. Terdapat juga perbezaan dalam mentakrif, mengukur dan menilai hasil atau keputusan klinikal dalam kajian ini. Kami telah menilai kepastian keseluruhan bukti dalam ulasan ini sebagai rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information