Terapi sel-T CAR untuk orang dengan limfoma sel-B besar meresap yang kembali semula selepas rawatan atau tidak lagi bertindak balas kepada rawatan

Latar belakang

Limfoma sel-B besar meresap (DLBCL) ialah kanser sistem limfa yang berkembang dengan cepat, satu bahagian penting sistem imun. Ia mempengaruhi sel darah yang menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan.

DLBCL berpotensi boleh dirawat. Kebanyakan orang dengan DLBCL memberi tindak balas yang baik terhadap terapi awal seperti kemoterapi. Bagi sesetengah orang, penyakit ini menjadi refraktori, yang bermaksud ia tidak lagi bertindak balas terhadap rawatan, atau ia berulang, yang bermakna ia kembali selepas rawatan. Sebagai rawatan barisan kedua, orang dengan DLBCL boleh menerima kemoterapi ditambah dengan pemindahan sel stem, tetapi bukan semua orang adalah calon untuk terapi ini. Daripada mereka sebagai calon, sekitar 50% mengalami relaps selepas rawatan. Orang yang relaps atau refraktori pada rawatan barisan lanjutan dan mereka yang bukan calon untuk pemindahan sel stem mempunyai prognosis yang sangat tidak bagus: Hanya separuh daripada mereka hidup lebih daripada enam hingga 12 bulan.

Rawatan yang berpotensi untuk mereka ialah terapi sel-T ‘reseptor antigen chimeric’ (CAR), yang menggunakan sel imun (sel-T) badan sendiri untuk melawan DLBCL. Sel-T dikeluarkan daripada darah seseorang, dilengkapi dengan sesuatu yang dipanggil ‘reseptor antigen chimeric’ (CAR), yang membantu untuk mengenali dan memusnahkan sel-sel kanser, di dalam makmal dan kemudian dihantar semula ke dalam darah orang tersebut.

Apakah matlamat kami?

Kami ingin meneroka sama ada sel-T CAR ialah rawatan yang berkesan untuk orang dengan DLBCL yang berulang selepas rawatan (relaps) atau tidak lagi bertindak balas pada rawatan (refraktori). Kami juga ingin meneroka kekerapan berlakunya kesan tidak diingini yang berkaitan dengan terapi sel-T CAR.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari semua kajian klinikal yang tersedia mengenai rawatan dengan sel-T CAR untuk orang dengan DLBCL yang relaps atau refraktori untuk merumuskan bukti semasa. Kami juga menilai risiko berat sebelah dalam kajian yang disertakan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 13 kajian dengan maklumat mengenai 679 peserta (yang pernah menerima beberapa baris terapi terdahulu) yang menerima terapi sel-T CAR. Tiada kajian yang mempunyai kumpulan kawalan. Ini bermakna sel-T CAR tidak dibandingkan dengan rawatan lain. Kami membuat keputusan untuk tidak menganalisis keputusan kajian secara meta dan melaporkan semua keputusan secara naratif. Kami juga menemui 38 kajian yang sedang berlangsung.

Apakah keputusan utama?

Lapan kajian dengan 567 peserta menilai kelangsungan hidup keseluruhan. Selepas 12 bulan, kira-kira separuh daripada peserta masih hidup dalam empat kajian. Dalam satu kajian, kira-kira separuh peserta masih hidup selepas 24 bulan. Buktinya adalah sangat tidak pasti tentang kesan sel-T CAR terhadap kelangsungan hidup.

Dua kajian (294 peserta pada permulaan kajian; 59 peserta pada akhir kajian) melaporkan bahawa kualiti hidup bertambah baik dari semasa ke semasa. Buktinya adalah sangat tidak pasti tentang kesan sel-T CAR terhadap kualiti hidup.

Kematian yang berkaitan dengan terapi tidak dilaporkan.

Lima kajian (550 peserta) melaporkan kejadian buruk. Hampir semua peserta (99% hingga 100%) mengalami beberapa kesan sampingan (termasuk kejadian ringan). Antara 68% dan 98% peserta mengalami kejadian buruk yang teruk. Sel-T CAR boleh meningkatkan risiko kejadian buruk tetapi kepastian bukti tentang risiko yang tepat adalah sangat rendah.

Dalam tiga kajian (253 peserta), 56% hingga 68% peserta mengalami kejadian buruk yang serius, manakala dalam satu kajian (28 peserta), peserta tidak mengalami kejadian buruk yang serius. Sel-T CAR mungkin meningkatkan risiko kejadian buruk yang serius tetapi kepastian bukti tentang ketepatan risiko adalah sangat rendah.

Sebelas kajian (675 peserta) melaporkan tentang kekerapan ‘sindrom pelepasan sitokin’ (CRS), tindak balas berlebihan sistem imun yang biasanya dilihat dalam terapi sel-T CAR. Ia termasuk demam dan boleh termasuk gejala seperti menggigil, sakit otot atau pening. Beberapa skala telah digunakan dalam kajian-kajian untuk menerangkan CRS. Dalam lima kajian menggunakan skala yang sama, antara 42% dan 100% peserta mempunyai CRS. Sel-T CAR boleh meningkatkan risiko CRS tetapi bukti tentang ketepatan risiko adalah sangat tidak pasti.

Sembilan kajian (575 peserta) melaporkan apabila DLBCL relaps (kembali) atau berkembang (menjadi lebih teruk). Empat kajian melaporkan bahawa, pada 12 bulan, DLBCL tidak berkembang dalam 44% hingga 75% peserta. Dalam satu kajian, 64% peserta tidak mengalami relaps pada kedua-dua 12, dan 18 bulan. Buktinya adalah sangat tidak pasti tentang kesan sel-T CAR terhadap relaps atau perkembangan DLBCL.

Tiga belas kajian (620 peserta) melaporkan bilangan peserta yang mempunyai tindak balas lengkap (semua tanda kanser hilang). Dalam tiga kajian, antara 40% dan 45% peserta mengalami tindak balas lengkap pada enam bulan. Buktinya adalah sangat tidak pasti tentang kesan sel-T CAR terhadap tindak balas lengkap.

Apakah maksudnya?

Bukti mengenai sel-T CAR dalam rawatan DLBCL yang relaps atau refraktori adalah sangat tidak pasti. Ini terutamanya kerana, kini, tidak ada perbandingan langsung antara sel-T CAR dengan rawatan lain. Orang yang menerima sel-T CAR boleh mengalami kejadian buruk teruk yang memerlukan rawatan tambahan. Kami mengenal pasti banyak kajian yang sedang berlangsung dan sebahagian daripadanya membandingkan sel-T CAR dengan penjagaan standard. Kami akan terus menilai bukti mengenai terapi baru ini.

Adakah ulasan ini muktahir?

Bukti adalah terkini sehingga September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information