Intervensi untuk mencegah jangkitan luka selepas pembedahan jantung

Mesej utama

- Kualiti keseluruhan bukti yang menyokong intervensi untuk mengurangkan jangkitan tapak pembedahan dalam pembedahan jantung dewasa adalah lemah. Kajian menggunakan definisi yang berbeza-beza untuk jangkitan luka, yang menyukarkan sebarang perbandingan antara kajian-kajian ini.

- Terdapat jurang pengetahuan yang ketara mengenai pelaksanaan intervensi untuk mengurangkan jangkitan tapak pembedahan dalam kalangan pesakit dewasa yang menjalani pembedahan jantung.

Apakah jangkitan tapak pembedahan?

Jangkitan tapak pembedahan (SSI) atau jangkitan luka seperti yang ditakrifkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit adalah "jangkitan yang berlaku selepas pembedahan di bahagian tubuh di mana pembedahan dilakukan. Jangkitan tapak pembedahan (SSI) boleh menjadi jangkitan permukaan yang melibatkan kulit sahaja atau lebih dalam, yang menjejaskan tisu di bawah kulit, organ, dan/atau bahan implan.”

SSI selepas pembedahan jantung boleh memberikan kesan ketara terhadap kesihatan fizikal dan mental pesakit serta kehidupan penjaga dan saudara-mara mereka. Terdapat pelbagai intervensi yang telah digunakan untuk mengurangkan jangkitan luka, namun strategi ini berbeza antara pakar bedah, hospital, dan negara. Kami berpendapat ini mungkin disebabkan ketiadaan protokol atau garis panduan yang dipersetujui di peringkat nasional atau antarabangsa bagi pembedahan jantung. Ini juga boleh menjelaskan mengapa kadar jangkitan luka berbeza-beza di seluruh hospital di United Kingdom, dengan antara 1 dan 9 daripada 100 orang terjejas oleh jangkitan selepas pembedahan jantung.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui intervensi terbaik untuk mengurangkan SSI selepas pembedahan jantung. Kami merancang untuk menilai keberkesanan intervensi pra-, intra- dan selepas operasi dalam mencegah jangkitan tapak pembedahan (hasil utama) selepas pembedahan jantung, serta kesan intervensi ini terhadap komplikasi, kematian, dan penggunaan sumber (hasil sekunder).

Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian (ujian rawak terkawal) yang menilai intervensi untuk mengurangkan atau mencegah jangkitan tapak pembedahan dalam kalangan pesakit dewasa ( > 18 tahun) yang menjalani pembedahan jantung (pembedahan pada jantung atau salur darah utama). Selepas pemilihan kajian yang sesuai, kajian-kajian tersebut pertama sekali dikategorikan kepada intervensi pra-, intra- dan selepas operasi, kemudian dibahagikan kepada perbandingan yang sesuai berdasarkan apa yang terkandung dalam intervensi tersebut.

Perbandingan kajian dan tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan kaedah kajian dan saiz kajian disediakan untuk setiap perbandingan.

Apakah yang telah kami temui?

Kajian ini merangkumi 118 kajian yang melibatkan 51,854 peserta. Kami mengenalpasti 22 kategori intervensi yang berbeza sepanjang tempoh pra-, intra dan selepas operasi yang diaksanakan untuk mengurangkan SSI dalam pembedahan jantung dewasa. Memandangkan saiz kajian ini dan pelbagai perbezaan dalam metodologi kajian yang menjadikan beberapa perbandingan kurang bermakna, kami mengutamakan perbincangan kami di sekitar empat kategori intervensi.

Dekolonisasi antibakteria pada kulit dan/atau hidung: Terdapat ketidakpastian yang ketara mengenai manfaat dekolonisasi bakteria (menghilangkan atau mengurangkan bakteria) dan kerja lanjut diperlukan untuk menyelidik kesan yang mungkin timbul terhadap ketahanan bakteria.

Kawalan gula darah: Pengawalan gula darah yang ketat dalam kalangan individu dengan diabetes mungkin mengurangkan jangkitan tapak pembedahan (SSI); namun, ketidakpastian masih wujud dalam bukti bagi individu tanpa diabetes. Kajian lanjutan mengenai kawalan gula darah khusus pesakit diperlukan.

Pembalut khusus untuk menerapkan sedutan pada luka: Pembalut khusus (terapi luka tekanan negatif) mungkin dapat mengurangkan jangkitan tapak pembedahan (SSI), tetapi kajian semasa terlalu kecil untuk memberikan keputusan yang muktamad.

Antibiotik topikal pada luka: Span antibiotik yang diletakkan di dada mungkin dapat mengurangkan jangkitan tapak pembedahan (SSI) pada sternum (tulang dada), tetapi masih tidak jelas sama ada, jika diletakkan pada kaki atau lengan, ia dapat mengurangkan SSI di kawasan tersebut. Kesan terhadap rintangan bakteria juga masih tidak diketahui.

Apakah batasan bukti?

Batasan utama bagi bukti adalah kualiti yang rendah dalam kajian-kajian yang dimasukkan. Hanya satu kajian yang dianggap oleh pengarang berada pada ' risiko rendah' ​​bias. Akibat daripada ketidakseragaman dalam takrifan SSI, kajian yang digunakan, dan cara intervensi dilaksanakan, meta-analisis (sintesis data bukti) tidak dapat dilakukan untuk banyak perbandingan. Selain itu, banyak kajian tidak melibatkan bilangan peserta yang mencukupi untuk memberikan kesimpulan yang boleh dipercayai.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok (National Institutes of Health). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information