Tahap gula yang rendah untuk mencegah penyakit kardiovaskular

Latar belakang

Penyakit kardiovaskular (CVD) ialah sekumpulan penyakit ataupun masalah yang menjejaskan jantung dan saluran darah dan merupakan punca kematian nombor satu di seluruh dunia. Adalah penting untuk mengesan faktor risiko yang boleh diubah suai dan mencari strategi untuk mencegah CVD. Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh diubah suai yang telah diketahui yang menyebabkan CVD, salah satunya ialah pemakanan diet yang tidak sihat yang tinggi kandungan gula. Gula boleh dibahagikan kepada dua kategori; gula yang terdapat secara semulajadi dalam makanan dan gula yang ditambah kepada makanan. Pengambilan gula tambahan yang tinggi didapati menyebabkan penambahan berat badan dan menjejaskan kandungan lipid di dalam darah,perkara ini meningkatkan risiko CVD. Ulasan ini menilai kadar gula tambahan yang berbeza dalam pemakanan dan kesan ke atas kejadian kardiovaskular (cth serangan jantung atau strok), kematian dan faktor risiko CVD di dalam kalangan orang dewasa yang sihat.

Ciri-ciri kajian

Pangkalan data untuk percubaan rawak terkawal (ujian klinikal yang mana peserta dibahagikan secara rawak sama ada untuk rawatan eksperimen atau kawalan) telah dicari. Percubaan yang disertakan membandingkan tahap pengambilan gula tambahan yang berbeza dan kesannya ke atas faktor risiko CVD pada orang dewasa yang sihat. Orang yang mempunyai CVD atau diabetes sebelumnya tidak dimasukkan di dalam ulasan ini.

Hasil-hasil utama

Dua puluh satu kajian ditemui dengan 1110 peserta. Tiada satu pun kajian melihat kejadian kardiovaskular atau kematian. Kajian-kajian melaporkan bacaan tekanan darah, tahap lipid darah dan tahap gula darah. Ulasan mendapati tahap pengambilan gula tambahan yang rendah menyebabkan pengurangan kecil dalam tekanan darah dan paras lipid darah, tetapi tiada kesan yang dilihat pada bacaan gula darah. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2021.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan memberikan bukti berkualiti rendah bahawa tahap gula tambahan yang rendah dalam pemakanan secara tidak langsung mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Lebih banyak kajian jangka panjang berkualiti tinggi yang menilai kesan tahap gula yang berbeza pada faktor risiko CVD, kejadian kardiovaskular dan kematian diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi scochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information