Soalan
Adakah terapi endovaskular (ET) ditambah rawatan perubatan konvensional (CMT) bermanfaat untuk stenosis aterosklerotik intrakranium simptomatik berbanding dengan CMT sahaja?
Latar belakang
Penyempitan saluran darah dalam otak (stenosis aterosklerotik intrakranium: ICAS) adalah penyebab strok yang lazim di seluruh dunia. Pilihan rawatan utama adalah rawatan kateter (terapi endovaskular: ET) dan rawatan perubatan konvensional (CMT). Namun, adalah tidak jelas rawatan mana yang terbaik. Kami mengulas kajian-kajian yang membandingkan ET dan CMT untuk ICAS yang baru-baru ini menyebabkan simptom strok.
Tarikh carian
Pencarian selesai pada 30 Ogos 2019.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan tiga kajian rawak terkawal (kajian yang mana peserta dibahagikan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) dengan jumlah 632 peserta yang mengalami simptom ICAS baru-baru ini. Dua kajian dijalankan di beberapa pusat dan membandingkan ET dengan alat logam (sten) dengan CMT sahaja. Satu kajian berjalan di satu pusat di Cina dan membandingkan pelbagai jenis ET dengan CMT sahaja.
Keputusan utama
ET dikaitkan dengan kadar kematian atau strok lebih lanjut yang lebih tinggi pada tinjauan awal dan lewat. Tiada perbezaan yang besar dalam kadar strok mini dan kematian atau kebergantungan dalam jangka panjang.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah rendah ke sederhana kerana bias prestasi dan penghentian kajian yang awal.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norsarwany Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my