Apakah faedah dan risiko penitis mata yang meluaskan pupil sebagai rawatan tambahan untuk keradangan selepas kecederaan mata?

Mengapakah soalan ini penting
Jabatan kecemasan hospital sering merawat orang dengan kecederaan mata. Terdapat dua jenis kecederaan mata yang utama:

• kecederaan trauma tumpul, apabila sesuatu objek atau daya terkena mata. Penyebab umum trauma tumpul pada mata termasuklah kemalangan kenderaan bermotor, kemalangan yang berkaitan dengan sukan atau pekerjaan, atau pergaduhan;

• kecederaan trauma yang menembusi, apabila objek tajam atau objek yang bergerak dengan kelajuan tinggi (misalnya, dari pelet yang ditembak oleh senapang kuasa udara) menembusi mata.

Trauma tumpul adalah bentuk kecederaan mata yang lebih lazim. Orang yang mengalami kecederaan ini sering mengalami iridosiklitis traumatik, iaitu radang pada iris (bahagian mata berwarna yang mengelilingi pupil hitam) dan badan siliari (otot dan tisu di sekitar iris). Iridosiklitis traumatik boleh terjadi selepas trauma tumpul major dan minor, dan boleh mempengaruhi kanak-kanak serta orang dewasa. Gejala-gejala yang berkaitan dengan kerosakan iris dan badan siliari termasuklah sakit mata dan sensitiviti kepada cahaya. Jika keradangan tidak disedari atau tidak dirawat dengan baik, ia boleh menyebabkan hilang penglihatan.

Rawatan standard untuk iridosiklitis traumatik adalah ubat titis mata anti-radang (kortikosteroid). Ubat titis mata yang meluaskan pupil (midriatik) biasanya diguna sebagai rawatan tambahan, untuk mengurangkan sakit mata dan ketidakselesaan, dan untuk memendekkan tempoh gejala.

Kami ingin tahu sama ada penggunaan midriatik dan kostikosteroid untuk merawat iridosiklitis traumatik bermanfaat atau menyebabkan lebih kesan yang tidak diingini berbanding kortikosteroid sahaja dengan mengulas bukti-bukti penyelidikan. Khususnya, kami ingin tahu jika midriatik dapat melegakan sakit mata dan keradangan dan memperbaik penglihatan. Kami juga ingin tahu jika midriatik menyebabkan komplikasi seperti sakit kronik, dan jika ia mempunyai kesan negatif serius kepada penglihatan (termasuk kebutaan).

Bagaimana kami mencari bukti
Pasukan penyelidik kami telah mencari sastera perubatan untuk:

• kajian rawak terkawal: kajian-kajian perubatan yang mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling bolehpercaya tentang sama ada rawatan menghasilkan perbezaan;

• kajian ke atas orang-orang dari semua peringkat umur dengan iridosiklitis traumatik;

• kajian yang membandingkan kesan midriatik dan kortikosteroid berbanding kortikosteroid sahaja.

Apa yang kami temui
Kami tidak menemui kajian rawak terkawal untuk membantu menjawab soalan ini. Oleh itu, kami tidak tahu sama ada penambahan midriatik ke kortikosteroid bermanfaat atau menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini daripada kortikosteroid sahaja dalam rawatan iridosiklitis traumatik. Kami memerlukan penyelidik untuk menjalankan kajian pada masa depan yang membandingkan midriatik dan kortikosteroid dengan kortikosteroid, supaya kami dapat menilai manfaat dan risiko midriatik sebagai rawatan penunjang untuk iridosiklitis traumatik.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Carian bukti terakhir adalah pada 12 Jun 2019. Ulasan ini merangkumi penyelidikan sedia ada sehingga tarikh tersebut, tetapi tidak mempertimbangkan bukti yang mungkin dihasilkan sejak itu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz(Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save