Risiko jangkitan selepas pembedahan bagi orang yang menggunakan ubat untuk penyakit radang usus

Latar belakang

Lebih daripada 1.2 juta individu di Amerika Utara mengalami penyakit radang usus (IBD). IBD termasuk penyakit Crohn dan kolitis ulseratif. IBD adalah keadaan yang melibatkan keradangan pada usus besar atau usus kecil atau kedua-duanya, yang mengakibatkan gejala seperti cirit-birit dan sakit perut. Pelbagai jenis ubat tersedia untuk merawat IBD. Sebilangan besar ubat yang digunakan untuk merawat IBD menindas sistem imun. Akibatnya, penggunaan ubat-ubatan ini mungkin meningkatkan risiko jangkitan. Potensi peningkatan risiko jangkitan ini adalah sangat membimbangkan terutamanya dalam kalangan orang yang menjalani pembedahan.

Soalan ulasan

Ulasan sistematik ini mengkaji data gabungan dari 68 kajian yang telah diterbitkan untuk menentukan sama ada orang yang menggunakan ubat IBD sekitar waktu pembedahan mengalami lebih banyak jangkitan berbanding dengan mereka yang tidak menggunakan ubat yang sama.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini sehingga 29 Oktober 2019. Ia merangkumi 68 kajian mengenai orang dengan diagnosis IBD yang menjalani pembedahan. Jumlah orang yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian ini adalah tidak diketahui kerana beberapa kajian tidak melaporkan jumlah orang yang disertakan. Sebilangan besar peserta berumur 18 tahun ke atas dan menyertakan lelaki dan wanita. Kami memeriksa lima kumpulan ubat IBD dalam ulasan kami: aminosalicylates (5-ASA), kortikosteroid, imunomodulator, ubat anti-TNF dan ubat anti-integrin. Jangkitan dikesan sehingga 30 hari selepas pembedahan.

Keputusan utama

Analisa dari sekumpulan besar data ini menunjukkan bahawa risiko jangkitan pada waktu pembedahan adalah pelbagai, bergantung kepada jenis ubat IBD yang digunakan oleh para peserta. Mereka yang dirawat dengan kortikosteroid atau agen anti-TNF nampaknya mengalami lebih banyak jangkitan selepas pembedahan, sementara mereka yang menggunakan aminosalicylates, immunomodulator atau agen anti-integrin nampaknya tidak mengalami banyak jangkitan selepas pembedahan. Penemuan ini harus dipertimbangkan dengan berhati-hati, kerana ulasan kami menyertakan kajian yang berkualiti rendah, dan oleh itu kami tidak dapat membuat kesimpulan yang tegas.

Penemuan ini dapat membantu doktor memilih ubat untuk digunakan bagi orang yang menghidap IBD sebelum pembedahan. Keputusan harus disesuaikan dengan keperluan kesihatan unik setiap orang. Di samping itu, ulasan kami menunjukkan perlunya memantau dengan teliti jangkitan selepas pembedahan bagi orang yang menggunakan jenis ubat IBD tertentu.

Batasan

Satu batasan ulasan kami adalah kebergantungannya pada data dari pelbagai kajian yang telah diterbitkan, dengan pelbagai pendekatan dan piawai kawalan kualiti. Sebilangan besar kajian yang kami teliti mempunyai kesimpulan yang berkepastian sangat rendah. Ulasan ini menggambarkan perlunya penyelidikan berkualiti tinggi pada masa depan yang mengkaji kesan risiko jangkitan setelah pembedahan bagi ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat IBD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save