Terapi radiasi proton berbanding rawatan radiasi konvensional (iaitu sinaran foton) untuk rawatan kordoma

Apakah isunya?
Chordoma adalah tumor yang jarang berlaku yang boleh tumbuh di mana-mana lokasi pada tulang belakang. Oleh kerana beberapa lokasi ini sukar dijangkau, sebahagian tumor mungkin tertinggal, walaupun selepas pembedahan agresif. Apabila ini berlaku, radiasi ke kawasan tersebut selepas pembedahan dapat membantu mengurangkan kemungkinan tumor berulang kembali. Melihat kepada kedekatan dengan saraf tunjang dan organ penting yang lain, teknik penyinaran khas diperlukan untuk memaksimumkan kawalan tumor, sambil meminimumkan bahaya pada tisu normal di dalam badan.

Mengapakah ulasan ini penting?
Pada masa ulasan ini, terdapat kekurangan bukti untuk mengesahkan manfaat terapi proton berbanding dengan rawatan radiasi foton konvensional. Walau bagaimanapun, penting bagi pembaca mengambil perhatian bahawa ulasan ini telah menemui beberapa teknik berbeza kaedah penyampaian untuk terapi proton dan foton. Apabila bukti yang membandingkan teknik terkini untuk terapi proton dan foton muncul, kami akan mengemaskini ulasan ini.

Tujuan ulasan:
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada terapi proton lebih berkesan daripada terapi foton untuk meningkatkan kawalan tempatan, dan mengurangkan kadar kematian, pengulangan semula tumor, dan ketoksikan yang berkaitan dengan rawatan. Kami mengumpul dan meneliti semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Apakah penemuan utama?
Kami menyertakan enam kajian yang mendaftarkan 187 orang dewasa dengan chordoma, empat daripadanya kami sertakan dalam meta-analisis. Kami tidak pasti sama ada terapi radiasi proton berbanding dengan rawatan radiasi foton konvensional meningkatkan kawalan tempatan, kerana keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah (2 kajian pemerhatian, 39 peserta). Kami tidak pasti sama ada terapi proton berbanding terapi foton mengurangkan kematian (4 kajian pemerhatian, 65 peserta), pengulangan semula (4 kajian pemerhatian, 94 peserta), atau ketoksikan yang berkaitan dengan rawatan (1 kajian pemerhatian, 33 peserta).

Kualiti bukti:
Kami menjumpai bukti yang berkepastian sangat rendah untuk semua hasil kerana terdapat risiko berat sebelah yang tinggi dalam semua kajian pemerhatian yang disertakan, saiz sampel yang sangat kecil, dan julat masa yang berbeza-beza bagi rawatan susulan bagi peserta di antara kajian-kajian ini.

Kesimpulan pengarang:
Daripada bukti yang ada sekarang, kami tidak tahu sama ada terapi proton, yang digunakan untuk orang dewasa dengan kordoma, dapat dikaitkan dengan faedah klinikal yang dapat diterima dan juga kesan sampingan yang dapat diterima.

Penyelidikan yang sedia ada bagi menjawab persoalan ini hanya daripada kajian-kajian yang mempunyai rekaan yang tidak rawak, dan tidak cukup kuat, dengan ketidaktepatan yang besar. Sebarang anggaran kesan berdasarkan bukti yang ada adalah sangat tidak pasti dan kemungkinan akan berubah dengan kajian masa depan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information