Intervensi senaman untuk dewasa selepas transplantasi hati

Latar belakang

Tahap-tahap aktiviti fizikal cenderung untuk menurun dalam kalangan orang yang menerima transplan hati. Manfaat dan mudarat intervensi senaman untuk melindungi daripada perkembangan penyakit-penyakit jantung dan paru-paru, hipertensi, diabetes jenis II, demensia, penyakit hati berlemak bukan alkohol (keadaan yang disebabkan oleh pengumpulan lemak di dalam hati), kanser, atau penyakit lain yang mengancam nyawa yang mungkin berkembang pantas masih belum dikaji dengan baik.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tentukan manfaat dan mudarat senaman dalam kalangan dewasa selepas transplantasi hati.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian klinikal yang direka dengan baik dalam kalangan penerima transplantasi hati membandingkan sebarang jenis senaman dengan tanpa senaman, intervensi sham, atau sebarang jenis senaman lain.

Apakah yang kami temui?

Kami temui tiga kajian klinikal rawak dengan 241 peserta, di mana 199 pesertal kekal sehingga selesai kajian tersebut. Kajian rawak klinikal ialah kajian di mana peserta diperuntukkan secara rawak (hanya kerana kebetulan sahaja) kepada kumpulan eksperimen atau kawalan. Kajian-kajian tersebut dilaksana di Amerika Syarikat, Sepanyol dan Turki. Tempoh latihan adalah selama dua, enam, dan 10 bulan dalam kajian-kajian yang berlainan. Semua kajian membandingkan intervensi berdasarkan senaman dengan penjagaan biasa. Semua kajian menyertakan orang dewasa yang telah menerima transplantasi hati. Ketiga-tiga kajian menilai pelbagai intervensi senaman (seperti senaman aerobik atau senaman berdasarkan rintangan, atau kedua-duanya), dan dengan pelbagai jenis penyeliaan dan format (seperti diselia atau tidak, senaman berasaskan individu atau berkumpulan). Senaman aerobik merujuk kepada jenis aktiviti fizikal yang berulang, berstruktur yang memerlukan sistem metabolisme badan menggunakan oksigen bagi menghasilkan tenaga. Senaman aerobik ialah senaman berterusan yang meningkatkan aliran darah ke otot, menguatkan sistem kardiovaskular dan paru-paru. Latihan rintangan atau latihan kekuatan ialah sejenis aktiviti fizikal yang direka untuk memperbaik kecergasan otot dengan melatih otot atau sekumpulan otot terhadap rintangan eksternal. Pelbagai jenis latihan rintangan termasuklah penggunaan pemberat bebas, mesin pemberat, jalur rintangan, dan berat badan seseorang. Penjagaan biasa terdiri daripadai intervensi perubatan secara tradisional dengan atau tanpa cadangan untuk kekal aktif. Lokasi kajian adalah di hospital atau di rumah.

Dua kajian menerima dana; satu daripada Pusat Kebangsaan Sumber Penyelidikan dan satu lagi daripada Instituto de Salud Carlos III . Kajian yang lain tidak menerima sebarang dana.

Kami juga mengenalpasti tiga kajian yang sedang berlangsung.

Keputusan utama

Kami amat tidak pasti samada senaman berbanding penjagaan biasa mempunyai kesan manfaat atau mudarat terhadap kematian daripada sebarang punca. Dua kajian melaporkan lapan kematian, yang lebih kerap dalam kumpulan senaman. Kami sangat tidak pasti samada senaman berbanding penjagaan biasa mempunyai manfaat atau mudarat terhadap kualiti hidup terhadap kesihatan di penghujung intervensi. Kami amat tidak pasti samada terdapat perbezaan dalam kesan di antara senaman berbanding penjagaan biasa terhadap kapasiti aerobik (yang menunjukkan tahap kecergasan kardiovaskular (salur darah dan jantung) di akhir intervensi. Kami amat tidak pasti samada senaman mempunyai kesan terhadap kekuatan otot dalam kalangan orang selepas transplantatsi hati. Satu kajian telah melaporkan persepsi kelesuan yang lebih tinggi dalam kumpulan senaman.

Kajian-kajian tidak melaporkan sebarang data tentang kesan-kesan sampingan serius dan tidak serius. Walau bagaimanapun, kesemua kajian melaporkan tiada kesan-kesan sampingan bagi peserta yang melakukan senaman. Tiada kajian melaporkan data tentang ukuran kardiovaskular lain.

Apakah batasan bukti?

Dapatan ulasan perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana bilangan kajian amat terhad dan kurang data yang disediakan. Kami sedikit yakin terhadap bukti kerana kemungkinan besar kesemua kajian membentangkan subset keputusan kajian dan mengabaikan hasil yang lengkap,dan dua kajian hanya membentangkan keciciran terpilih daripada beberapa peserta yang berbeza daripada yang kekal dalam kajian. Kami juga mendapati kurangnya data tentang hasil klinikal yang penting. Kami tidak yakin dengan bukti tentang kesan latihan senaman yang merangkumi senaman aerobik, senaman berasaskan rintangan, atau kombinasi kedua-dua fungsi fizikal (iaitu, kapasiti aerobik dan kekuatan otot) dalam kalangan penerima-penerima transplantasi hati akibat ketidakpastian yang tinggi. Kami perlukan kajian-kajian lebih besar dengan penilaian hasil yang dibutakan (proses untuk menyembunyikan identiti kumpulan yang dirawat daripada penilai hasil), direka mengikut panduan protokol kajian klinikal dan cadangan-cadangan pelaporan kajian secara rawak.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini merangkumi kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 2 September 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Clinical Research, NIH). Di sunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information