Terapi berasaskan sel stem untuk pendarahan pada otak (perdarahan intraventrikular-matriks germinal) pada bayi yang dilahirkan pramatang

Soalan ulasan

Adakah terapi berasaskan sel stem menyelamatkan nyawa atau meningkatkan perkembangan jangka panjang bayi baru lahir pramatang yang mengalami atau mungkin mengalami pendarahan pada otak ("pendarahan intraventrikular-matriks germinal")?

Latar belakang

Bayi yang lahir terlalu awal ("pramatang"), terutamanya bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke-28 kehamilan, kadang-kadang mengalami pendarahan pada otak. Bayi dengan pendarahan yang kurang teruk mungkin pulih sepenuhnya atau hanya mengalami masalah yang ringan. Untuk bayi-bayi lain dengan pendarahan yang lebih serius, kematian atau masalah-masalah lain boleh terjadi pada kemudian hari. Contohnya, sebilangan bayi ini mengalami palsi serebral, kecacatan intelektual, atau masalah-masalah lain. Pada masa ini tidak ada pendekatan yang tersedia untuk mencegah atau merawat keadaan ini.

Ulasan ini bertujuan untuk menilai jika terapi berasaskan sel stem dapat mengurangkan kematian dan meningkatkan perkembangan jangka panjang bagi bayi yang dilahirkan terlalu awal. Sewaktu terapi berasaskan sel stem dijalankan, sel stem diberikan kepada bayi, misalnya melalui suntikan. Sel stem ini mungkin berasal dari manusia atau haiwan dan mungkin diambil dari darah tali pusat, sumsum tulang atau bahagian badan yang lain. Sel-sel ini kemudiannya memperbaiki sel-sel otak yang rosak akibat pendarahan.

Keputusan utama

Kami tidak dapat memasukkan apa-apa kajian dalam ulasan kami. Kami ada mengenal pasti lima kajian, tetapi kami telah mengecualikannya disebabkan cara ianya direka, yang bermaksud keputusan-keputusannya tidak dapat menjawab persoalan ulasan kami (semuanya kajian fasa 1).

Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 7 Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (International Islamic University Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save