Apakah ketepatan diagnostik teledermatologi untuk diagnosis kanser kulit antara orang dewasa?

Mengapakah peningkatan diagnosis kanser kulit penting?

Terdapat pelbagai jenis kanser kulit. Melanoma adalah salah satu jenis kanser kulit yang paling berbahaya dan adalah penting untuk mengenalpastinya lebih awal supaya ia boleh dibuangkan. Jika ia tidak dikenalpasti apabila pertama kalinya dibawa kepada perhatian doktor (juga dikenali sebagai keputusan ujian negatif palsu) rawatan boleh ditangguhkan sehingga melanoma menyebar ke organ lain dalam badan dan mungkin menyebabkan kematian awal. Karsinoma sel skuamus kutaneus (cSCC) dan karsinoma sel basal (BCC) biasanya kanser kulit lokalize, walaupun cSCC boleh merebak ke bahagian badan yang lain dan BCC boleh menyebabkan kecacatan jika tidak dikenali awal. Pemanggilan sesuatu lesi sebagai kanser kulit apabila ia tidak benar-benar kanser kulit (keputusan palsu positif) boleh menyebabkan pembedahan yang tidak diperlukan dan penyiasatan lain yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan pesakit. Oleh itu, diagnosis yang betul adalah penting. Kanser kulit yang disilapkan sebagai lesi lain boleh membawa rawatan yang salah atau kelewatan untuk mendapati rawatan yang berkesan.

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan kajian Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada teledermatologi adalah tepat untuk mengenalpasti sesiapa yang mempunyai lesi kulit yang perlu dirujuk kepada pakar dermatologi (seorang doktor yang berkaitan dengan penyakit kulit) dan sesiapa yang yakin bahawa lesi mereka (kerosakan atau perubahan kulit) tidak malignan. Kami telah mengenalpasti 22 kajian untuk menjawab soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Teledermatologi bermaksud menghantar gambar lesi kulit atau ruam kepada pakar untuk mendapatkan nasihat tentang diagnosis atau pengurusan. Ini adalah satu cara untuk doktor penjagaan primer (pengamal am (GPs)) untuk mendapatkan pendapat daripada pakar dermatologi tanpa perlu merujuk pesakit melalui laluan rujukan biasa. Teledermatologi boleh melibatkan penghantaran gambar atau imej yang diperbesarkan daripada lesi kulit yang diambil dengan kamera khas (dermatoskop) kepada pakar kulit untuk dilihat atau ia mungkin melibatkan perbincangan segera tentang lesi kulit antara GP dan pakar kulit yang menggunakan sidang video.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kajian ini termasuk 22 kajian, 16 kajian membandingkan diagnosis teledermatologi kepada diagnosis lesi terakhir (ketepatan diagnostik) bagi 4057 lesi dan 879 kes malignan dan lima kajian membandingkan keputusan teledermatologi kepada keputusan yang akan dibuat untuk pesakit yang hadir (ketepatan rujukan) untuk 1449 lesi dan 270 kes ‘positif’.

Kajian-kajian ini sangat berbeza antara satu sama lain dari segi jenis orang yang mempunyai lesi kanser kulit yang mencurigakan dan jenis teledermatologi yang digunakan. Satu anggaran yang boleh dipercayai tentang ketepatan teledermatologi tidak dapat dibuat. Untuk diagnosis yang betul bagi lesi untuk menjadi kanser kulit, data mencadangkan bahawa kurang daripada 7% lesi kulit malignan terlepas oleh teledermatologi. Keputusan kajian tidak tepat untuk memberitahu kami bilangan orang yang akan dirujuk tanpa keperluan kepada pakar kulit selepas konsultasi teledermatologi. Namum, tanpa akses kepada perkhidmatan teledermatologi, kebanyakan lesi yang termasuk dalam kajian ini mungkin dirujuk kepada ahli dermatologi.

Sejauh tepat keputusan daripada kajian-kajian dalam ulasan ini?

Dalam kajian yang termasuk, diagnosis akhir kanser kulit dibuat daripada lesi biopsi (mengambil sampel kecil daripada lesi supaya ia boleh diperiksa di bawah mikroskop) dan ketiadaan kanser kulit telah disahkan oleh biopsi atau melalui susulan dari masa ke masa untuk memastikan lesi kulit kekal negatif bagi melanoma. Ini mungkin merupakan kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai kanser kulit. Dalam beberapa kajian, diagnosis tiada kanser kulit telah dibuat oleh pakar kulit berbanding dengan biopsi. Ini kurang mungkin merupakan kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai kanser kulit. Laporan yang kurang memuaskan dari pihak penyelidik berkenaan apa-apa yang dilakukan dalam kajian menyukarkan kami untuk mengatakan betapa boleh dipercayainya keputusan kajian. Pemilihan sesetengah pesakit dari klinik pakar dan bukannya penjagaan primer berserta dengan cara yang berbeza untuk melakukan teledermatologi adalah masalah biasa.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat digunakan?

Kajian-kajian dijalankan di: Eropah (64%), Amerika Utara (18%), Amerika Selatan (9%) atau Oceania (9%). Umur purata orang yang telah dikaji adalah 52 tahun; Walau bagaimanapun, beberapa kajian termasuk sekurang-kurangnya beberapa orang di bawah umur 16 tahun. Peratusan orang yang mempunyai kanser kulit adalah antara 2% dan 88% dengan purata 30%, iaitu jauh lebih tinggi daripada yang akan diperhatikan di bawah penjagaan primer di UK.

Apakah implikasi ulasan ini?

Teledermatologi mungkin adalah cara yang baik untuk membantu GP untuk mengenalpasti lesi kulit perlu dilihat oleh pakar kulit. Kajian kami menunjukkan bahawa penggunaan imej yang diperbesarkan, sebagai tambahan kepada gambar lesi, meningkatkan ketepatan. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan cara terbaik untuk memberi perkhidmatan teledermatologi.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis kajian menyelidik dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2016.

*Dalam kajian-kajian ini, biopsi, susulan klinikal atau diagnosis doktor pakar adalah perbandingan rujukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tessa Lim Li Chyin (Monash University Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi tessalim1@gmail.com

Tools
Information