Apakah ketepatan diagnostik mikroskopi kepantulan konfokal untuk mengesan karsinoma kulit sel basal atau skuamus dalam orang dewasa?

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui seberapa tepat mikroskopi kepantulan konfokal (RCM) sahaja atau dibandingkan dengan pemeriksaan lesi kulit dengan mata kasar sahaja atau menggunakan mikroskop pegangan yang dipanggil dermoskopi untuk mendiagnosis dua bentuk kanser kulit keratinosit yang lazim: karsinoma sel basal (BCC) atau karsinoma sel kulit skuamus (cSCC) dalam orang dewasa. Para penulis ulasan Cochrane menyertakan 10 kajian untuk menjawab soalan ini.

Mengapakah memperbaiki diagnosis BCC atau cSCC penting?

Terdapat beberapa jenis kanser kulit yang berbeza. BCC dan cSCC biasanya adalah kanser kulit setempat. Membuat diagnosis yang betul adalah penting kerana kesilapan menyangka satu kanser kulit dengan yang lain boleh menyebabkan rawatan yang salah digunakan atau melambatkan rawatan yang berkesan. Terlepas diagnosis BCC (dikenali sebagai keputusan negatif palsu) boleh menyebabkan BCC yang terlepas membesar dan menyebabkan kecacatan. Diagnosis cSCC yang terlepas adalah lebih serius kerana ia boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain. Mendiagnosis kanser kulit apabila ia sebenarnya tidak ada (keputusan positif palsu) mungkin menyebabkan biopsi atau rawatan yang tidak perlu dan boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kebimbangan kepada pesakit.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Teknik mikroskopi digunakan oleh pakar kanser kulit untuk memberikan pemeriksaan yang lebih terperinci dan besar bagi lesi kulit yang mencurigakan daripada apa yang boleh dicapai menggunakan mata kasar sahaja. Kini, dermoskopi digunakan oleh doktor sebagai sebahagian daripada pemeriksaan lesi kulit yang mencurigakan. RCM adalah teknik mikroskopi yang baru untuk meningkatkan pembesaran. Ia adalah alat pegangan atau unit statik yang menggunakan cahaya inframerah yang boleh menampakkan lapisan kulit yang lebih dalam apabila dibandingkan dengan dermoskopi. Kedua-dua teknik adalah prosedur yang tidak menyakitkan, tetapi RCM adalah lebih mahal, memakan masa, dan memerlukan latihan khusus tambahan. Dermoskopi boleh digunakan oleh pengamal perubatan umum (GP) sementara RCM berkemungkinan hanya digunakan oleh pakar-pakar di hospital untuk orang yang telah dirujuk dengan lesi kulit yang disyaki merupakan kanser kulit. Kami ingin melihat jika RCM patut digunakan dan bukan, atau juga dengan, pemeriksaan lesi kulit dengan mata kasar sahaja atau menggunakan dermoskopi untuk mendiagnosis BCC atau cSCC. Ketepatan ujian dilihat apabila digunakan pada orang dengan sebarang lesi kulit yang mencurigakan dan juga pada orang dengan lesi kulit yang sukar didiagnosis.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 10 kajian yang menyertakan maklumat mengenai 11 kumpulan orang dengan lesi yang disyaki kanser kulit. Keputusan utama adalah berdasarkan tujuh daripada 11 set data: empat dari sebarang lesi yang disyaki kanser kulit dan tiga dari lesi kulit yang sukar didiagnosis.

Bagi perbandingan RCM berbanding dermoskopi, kami menemui empat set data yang menyertakan 912 lesi kulit yang mencurigakan. Keputusan menunjukkan bahawa dalam sekumpulan 1000 orang dengan sebarang lesi yang mencurigakan, 125 (12.5%) daripadanya benar-benar mempunyai BCC:

- dianggarkan 139 orang akan mendapat keputusan RCM yang menunjukkan kehadiran BCC;

- daripada jumlah ini, 44 (32%) orang tidak akan mempunyai BCC (keputusan positif palsu) termasuk seorang dengan melanoma yang disalah anggap sebagai BCC;

- daripada 861 orang dengan keputusan RCM yang menunjukkan ketiadaan BCC, 30 (3%) akan benar-benar mempunyai BCC.

Ulasan ini juga menyertakan tiga set data mengenai orang yang mempunyai 668 lesi kulit yang sukar didiagnosis, satu membandingkan RCM dengan dermoskopi. Keputusan menunjukkan bahawa jika RCM digunakan oleh pakar kulit dalam sekumpulan 1000 orang, 150 (15%) daripadanya benar-benar mempunyai BCC:

- dianggarkan 269 orang akan mendapat keputusan RCM yang menunjukkan kehadiran BCC;

- daripada jumlah ini, 128 (48%) orang tidak akan mempunyai BCC (dikenali sebagai keputusan positif palsu), termasuk sebanyak 19 orang dengan melanoma disalah anggap sebagai BCC;

- daripada 732 orang dengan keputusan RCM menunjukkan ketiadaan BCC, sembilan (1%) akan benar-benar mempunyai BCC.

Bukti adalah tidak mencukupi untuk menentukan ketepatan RCM untuk pengesanan cSCC dalam kedua-dua kumpulan populasi.

Bolehkah keputusan kajian dalam ulasan ini dipercayai?

Terdapat banyak variasi dalam keputusan kajian dalam ulasan ini. Pelaporan tentang perlaksanaan kajian yang lemah menjadikan penilaian kebolehpercayaan kajian adalah sukar. Adalah tidak jelas sama ada kajian-kajian mewakili populasi yang layak untuk ujian dengan RCM, dan tafsiran ujian sering dilakukan menggunakan gambar, dari jarak jauh dengan pesakit dan jurubahasa yang dibutakan dari maklumat klinikal yang biasanya tersedia dalam amalan. Hanya satu kajian yang membandingkan ketepatan dermoskopi dan RCM. Kebanyakan kajian dijalankan oleh pasukan penyelidikan pakar dengan tahap latihan dan pengalaman yang tinggi dengan RCM, bermakna RCM mungkin kelihatan lebih baik daripada yang sebenarnya apabila digunakan dalam amalan harian. Kebanyakan kajian melaporkan diagnosis berdasarkan pandangan subjektif pemerhati, yang berkemungkinan tidak sama untuk orang yang menggunakan teknik ini dalam amalan seharian. Dalam sembilan kajian, diagnosis kanser kulit dibuat dengan biopsi kulit atau dengan mengikuti orang-orang itu dari masa ke masa bagi memastikan mereka kekal negatif untuk kanser kulit*. Ini berkemungkinan merupakan kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai kanser kulit. Dalam satu kajian, ketiadaan kanser kulit dibuat oleh pakar yang melihat kulit, kaedah yang mungkin kurang dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai kanser kulit.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?

Lima kajian dijalankan di Eropah (61%), dan selebihnya di Asia, Oceania, Amerika Utara, atau lebih dari satu benua. Purata usia orang yang mengambil bahagian adalah antara 41 hingga 65 tahun. Peratusan orang dengan BCC dalam kajian-kajian ini adalah antara 6% hingga 83% (nilai pertengahan 12% untuk sebarang lesi yang mencurigakan dan 15% untuk lesi kulit yang sukar didiagnosis). Untuk kajian -kajian yang menggunakan RCM untuk cSCC, peratusan orang dengan cSCC antara 4% dan 13%. Dalam kebanyakan kajian adalah tidak jelas ujian apa yang diterima orang yang mengambil bahagian sebelum RCM.

Apakah implikasi ulasan ini?

Bukti yang baik adalah tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan RCM untuk mendiagnosis BCC atau cSCC di luar kajian penyelidikan. Terdapat banyak variasi dan ketidakpastian dalam keputusan dan dalam cara kajian dijalankan, yang mengurangkan kebolehpercayaan penemuan. Menggunakan RCM mungkin mengelakkan keperluan untuk biopsi diagnostik dalam orang yang berjumpa dengan doktor dengan kecurigaan tinggi bagi lesi BCC, tetapi lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk mengesahkan perkara ini. Penyelidikan seperti ini perlu membandingkan RCM dengan dermoskopi dalam kumpulan jelas orang yang mengalami lesi kulit yang mencurigakan dan mereka mesti menyatakan sama ada kanser kulit yang lain akhirnya terlepas atau salah diklasifikasikan sebagai BCC.

Seberapa kemas kinikah ulasan ini?

Penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang telah diterbitkan sehingga Ogos 2016.

*Dalam kajian-kajian ini, biopsi atau susulan klinikal adalah rujukan piawai (cara menentukan diagnosis terakhir).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save