Setepat manakah pengimejan ultrabunyi dupleks (DUS) boleh mendiagnosis stenosis arteri karotid pada pesakit bergejala?

Stenosis arteri karotid (CAS) ialah penyempitan lumen (ruang dalam) arteri karotid (biasanya disebabkan oleh himpunan kolesterol yang dipanggil plak). CAS merupakan punca kepada 8% semua strok yang disebabkan oleh penyumbatan saluran darah (strok iskemia) dan dikaitkan dengan kebarangkalian tinggi untuk berulang. Dalam keadaan sedemikian, rawatan adalah untuk mewujudkan semula aliran darah yang mencukupi (melalui pembedahan atau pendekatan yang lain untuk membuka saluran darah) untuk mencegah episod neurologi selanjutnya. Ultrabunyi dupleks (DUS) boleh membantu mengenal pasti pesakit bersesuaian yang akan bermanfaat daripada rawatan yang lebih invasif dan mereka yang patut menggunakan ubat sahaja.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menentukan berapa tepatkah DUS mendiagnosis gred CAS yang berbeza pada individu yang mempunyai gejala neurologi.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

DUS digunakan dalam amalan klinikal sebagai ujian pertama untuk mengesan stenosis arteri karotid, biasanya keputusan tersebut disahkan oleh ujian yang lebih mahal dan invasif, seperti computed tomography angiography (CTA), magnetic resonance angiography (MRA), atau digital subtraction angiography (DSA). Kelebihan DUS adalah ianya lebih murah dan membantu mengurangkan masa yang diperlukan untuk memilih pesakit untuk rawatan. Kami menyertakan kajian yang menilai ketepatan DUS berbanding dengan DSA, MRA, atau CTA pada pesakit dengan gejala strok terkini. Kami mengelaskan keputusan daripada kajian yang menggunakan kaedah dan ambang yang lebih kurang sama untuk menilai ketepatan dalam kategori stenosis arteri karotid berikut: <50%, 50% hingga 99%, 50% hingga 69%, 70% hingga 99%, dan tersumbat (penyumbatan saluran darah).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini menyertakan 22 kajian (4957 arteri karotid diuji). Pencarian dilakukan sehingga 15 Februari 2021. Keputusan menunjukkan perkara berikut: Sekiranya DUS digunakan dalam kohort piawai yang terdiri daripada 1000 pesakit:

Untuk DUS berbanding DSA

< 50% CAS (4 kajian, 1495 arteri karotid): Dianggarkan 299 pesakit akan mendapat keputusan DUS yang menunjukkan kewujudan CAS yang tidak ketara, daripadanya lapan (2.7%) akan salah dikelaskan. Daripada 701 orang dengan keputusan yang menunjukkan tiada stenosis karotid <50%, 169 (24.1%) akan salah dikelaskan.

50% hingga 99% CAS (5 kajian, 1536 arteri karotid): Dianggarkan 642 pesakit akan mendapat keputusan DUS yang menunjukkan kewujudan CAS 50% hingga 99%; daripada ini, 147 (22.8%) akan salah dikelaskan. Daripada 358 orang dengan keputusan yang menunjukkan tiada stenosis karotid 50% hingga 99%, 15 (4.2%) akan salah dikelaskan.

70% hingga 99% CAS (9 kajian, 2770 arteri karotid): Dianggarkan 390 pesakit akan mandapat keputusan DUS yang menunjukkan kewujudan CAS 70% hingga 99%; daripada ini, lapan (2%) akan salah dikelaskan. Daripada 610 orang dengan keputusan yang menunjukkan tiada stenosis karotid 70% hingga 99%, 68 (11%) akan salah dikelaskan.

Tersumbat (7 kajian, 1212 arteri karotid): Dianggarkan 205 pesakit akan mendapat keputusan DUS yang menunjukkan penyumbatan arteri karotid; daripada ini, 41 (20%) akan salah dikelaskan. Daripada 795 orang dengan keputusan yang menunjukkan tiada penyumbatan karotid, 16 (2%) akan salah dikelaskan.

Untuk DUS berbanding CTA

Tersumbat (3 kajian, 833 arteri karotid): Dianggarkan 606 pesakit akan mendapat keputusan DUS yang menunjukkan penyumbatan karotid arteri; daripada ini, 36 (6%) akan salah dikelaskan. Daripada 394 orang dengan keputusan yang menunjukkan tiada karotid tersumbat, 30 (8%) akan salah dikelaskan.

Untuk DUS berbanding MRA

Meta-analisis tidak dilakukan.

Sejauh manakah keputusan kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?

Terdapat beberapa masalah dengan cara kajian tersebut dijalankan yang boleh menjejaskan anggaran ketepatan diagnostik yang betul. Kebanyakan kajian adalah berkualiti rendah atau tidak jelas.

Kepada siapa keputusan ulasan ini digunakan?

Keputusan adalah relevan untuk pesakit dengan gejala neurologi yang disyaki mengalami stenosis arteri karotid.

Apakah implikasi ulasan ini?

Ketepatan diagnostik DUS adalah tinggi, terutamanya dalam membezakan antara kehadiran atau ketiadaan stenosis arteri karotid yang ketara. Bukti ini, ditambah dengan sifatnya yang kurang invasif, menyokong penggunaan awal DUS untuk pengesanan stenosis arteri karotid.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information