Terapi sistemik untuk mencegah atau merawat gejala muskuloskeletal yang disebabkan oleh perencat aromatase dalam fasa awal kanser payudara

Apakah matlamat ulasan ini?

Terapi hormon dengan perencat aromatase digunakan untuk merawat sejenis kanser payudara fasa awal (positif reseptor hormon) payu pada wanita selepas menopaus. AI menyebabkan kesan-kesan sampingan termasuk sakit sendi dan otot serta kekakuan (perencat aromatase simptom muskuloskeletal, atau dipanggil AIMSS), yang mungkin menyebabkan sesetengah wanita berhenti mengambil perencat aromatase mereka, dan berpotensi memburukkan kelangsungan hidup. Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengkaji sama ada terapi sistemik (rawatan yang mencapai sel-sel di seluruh badan melalui aliran darah) boleh mencegah atau merawat AIMSS. Para penulis mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Ia adalah sangat tidak jelas sama ada terapi sistemik bertambah baik, bertambah buruk atau tidak memberi sebarang perbezaan kepada kesakitan atau kualiti hidup kepada wanita yang mengambil perencat aromatase. Kebanyakan bukti adalah berkualiti sangat rendah. Ia sangat tidak jelas sama ada terapi sistemik untuk AIMSS selamat.

Apakah yang dikaji ulasan ini?

Kami melihat kepada kajian penyelidikan terapi sistemik, yang termasuk ubat-ubatan, vitamin, serta ubat pelengkap dan alternatif, untuk melihat sama ada ini boleh mencegah atau merawat kesakitan sendi dan otot serta kekakuan pada wanita yang mengambil perencat aromatase. Kami melibatkan kajian terapi sistemik yang berbanding dengan plasebo (rawatan dummy), atau dengan rawatan standard. Wanita yang dirawat dengan perencat aromatase untuk kanser payudara positif reseptor hormon fasa awal telah dirangkumkan. Kebanyakan kajian adalah untuk rawatan AIMSS.

Hasil yang dikaji termasuk perubahan dalam kesakitan, kekakuan, kekuatan tangan (kekuatan cengkaman), keselamatan dan kesan sampingan rawatan kajian, bilangan wanita yang menerusi pengambilan perencat aromatase, kualiti hidup wanita, jumlah wanita yang mengalami sakit otot dan sendi akibat perencat aromatase, serta kelangsungan hidup.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Selepas mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan, kami mendapati 17 kajian dengan 2034 wanita. Bilangan wanita yang berbeza terlibat dalam kajian-kajian ini, antara daripada 37 hingga 299. Empat kajian melihat terapi sistemik untuk mencegah sakit sendi dan otot daripada perencat aromatase; 13 kajian menyiasat terapi sistemik untuk merawat simptom-simptom ini. Sepuluh kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, tiga di China, dua di Australia, satu di Itali dan satu di Brazil. Kebanyakkan kajian mempunyai bilangan wanita yang rendah dan ini mungkin menyukarkan untuk mendapati perbezaan kecil. Terdapat masalah dengan beberapa kajian yang mendapati berisiko berat sebelah. Masalah lain adalah kerana beberapa kajian tidak menerbitkan maklumat sepenuhnya tentang ramuan rawatannya atau keputusannya, oleh itu terdapat data yang tidak tersedia untuk diulas atau dianalisis. Di samping itu, kajian menggunakan pelbagai jenis rawatan, dan tidak sesuai untuk menggabungkan keputusan mereka dalam analisis.

Kajian pencegahan AIMSS

Ia adalah tidak jelas sama ada mana-mana kajian ini menemui kesan positif atau negatif terhadap kesakitan, dan pada bilangan wanita yang mendapati AIMSS kerana kualiti bukti yang sangat rendah. Terapi sistemik mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kekuatan cengkaman, kualiti hidup atau pada wanita yang menerusi mengambil perencat aromatase mereka (bukti berkualiti rendah). Tiada kajian yang melihat kepada kekakuan.

Kajian rawatan AIMSS

Ia adalah tidak jelas sama ada kajian-kajian ini menemui kesan positif atau negatif terhadap kesakitan, kekakuan dan kualiti hidup wanita kerana kualiti bukti yang sangat rendah. Terapi sistemik berkemungkinan mengakibatkan sedikit atau tiada perubahan terhadap kekuatan cengkaman pada wanita dengan AIMSS (bukti berkualiti rendah). Tidak ada kajian yang melihat kepada bilangan wanita yang menerusi pengambilan perencat aromatase atau yang mendapati AIMSS, atau kelangsungan hidup mereka.

Keselamatan

Kami tidak tahu sama ada terapi sistemik untuk AIMSS adalah selamat kerana ketidakpastian tentang buktinya. Tiada kesan sampingan yang serius ditemui. Satu rawatan, duloxetine, mengakibatkan peningkatan dalam kesan sampingan terhadap wanita, serta satu rawatan, etoricoxib, mempunyai amaran keselamatan semasa percubaan. Tempoh pemantauan wanita untuk kebanyakkan kajian adalah pendek. Data keselamatan harus ditafsirkan dengan berhati-hati.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Carian terakhir untuk kajian (diterbitkan dan berterusan) dalam ulasan ini adalah pada September 2020 dalam pangkalan data yang ditentukan dan pada Mac 2021 dalam Daftar Khusus Kanser Payudara Cochrane.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information