Patutkah kemoterapi dos tunggal diberi kepada pundi kencing selepas buah pinggang dan ureter dibuang untuk rawatan kanser pelvis renal dan kanser ureter?

Soalan ulasan

Bagi orang dengan kanser lapisan dalam buah pinggang dan ureter (tiub yang mengangkut urin dari buah pinggang ke pundi kencing) yang menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang dan ureter, apakah kesan dos kemoterapi tunggal kepada pundi kencing mereka selepas pembedahan?.

Latar belakang

Dalam kalangan orang dengan kanser lapisan dalam pundi kencing, kemoterapi tunggal yang dimasukkan ke dalam pundi kencing (selepas tumor telah dikeluarkan) membantu mengurangkan kemungkinan kanser untuk kembali. Kami tidak tahu sama ada perkara ini benar bagi orang dengan jenis kanser yang sama di lapisan dalam buah pinggang dan ureter. Jika ia benar, ia juga boleh menyebabkan mereka mendapat kesan-kesan yang tidak diingini. Kami menjalankan kajian ini untuk merumus bukti sedia ada yang terbaik tentang kesan dos tunggal kemoterapi dalam kalangan mereka selepas pembuangan buah pinggang dan ureter akibat kanser.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati dua kajian rawak terkawal (RCT), dengan sejumlah 361 peserta yang membandingkan kemoterapi dos tunggal yang dimasukkan ke dalam pundi kencing berbanding tanpa kemoterapi dalam kalangan orang yang mana buah pinggang dan ureter mereka dikeluarkan akibat kanser lapisan dalam buah pinggang atau ureter, atau kedua-duanya. Penemuan ini adalah berdasarkan carian literatur sehingga 15 April 2019.

Keputusan utama

Kami mendapati dos tunggal kemoterapi yang dimasukkan ke dalam pundi kencing selepas pembedahan boleh mengurangkan risiko tumor jenis ini berulang di dalam pundi kencing pada masa depan berbanding tiada kemoterapi. Kami tidak mendapati bukti sama ada ini mempengaruhi masa kematian kanser jenis ini. Kesan serius yang tidak diingini jarang berlaku dan tidak meningkat dengan kemoterapi, tetapi kami tidak pasti tentang penemuan ini.

Kepastian bukti

Keyakinan kami terhadap bukti kesannya ke atas risiko perulangan di dalam pundi kencing adalah rendah. Ini bermakna kesan sebenar mungkin berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh ulasan ini. Kepastian bukti untuk kesan kemoterapi tunggal yang dimasukkan ke dalam pundi kencing yang boleh memberi kesan serius yang tidak diingini adalah sangat rendah. Ini bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save