Pengubahsuaian gaya hidup untuk pesakit dengan penyakit hati berlemak bukan alkohol

Apakah matlamat Ulasan Cochrane ini?
Untuk mengetahui sama ada pengubahsuaian gaya hidup mengurangkan kesan penyakit hati berlemak bukan alkohol pada jangka hayat, kualiti hidup berkaitan kesihatan, penyakit hati kronik dan komplikasinya, dan sama ada ia merbahaya.

Penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD) adalah pengumpulan lemak di hati orang yang tidak mempunyai sejarah pengambilan alkohol yang signifikan, penggunaan ubat-ubatan, penyakit seperti jangkitan virus hepatitis C, atau keadaan lain seperti kebuluran yang dapat merosakkan hati. Hati berlemak boleh menyebabkan kerosakan hati yang mengakibatkan keradangan (steatohepatitis bukan alkohol (NASH)) atau parut hati (sirosis hati). Pelbagai rawatan perubatan telah dicuba untuk rawatan NAFLD. Namun demikian, pada masa ini tiada bukti yang salah satu daripadanya berfungsi. Pengubahsuaian gaya hidup berpotensi untuk mengurangkan kerosakan hati, tetapi tidak jelas adakah ia dapat dicapai pada masa ini. Penulis ulasan ini telah mengumpul dan menganalisis kajian rawak klinikal berkaitan untuk mencari rawatan terbaik.

Kami menemui 59 kajian rawak klinikal (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada salah satu daripada dua kumpulan rawatan). Semasa menganalisis data, penulis ulasan menggunakan kaedah Cochrane standard, yang membenarkan perbandingan antara dua rawatan sahaja pada satu masa. Kami juga menggunakan teknik canggih yang membolehkan perbandingan beberapa rawatan pada masa yang sama (biasanya disebut sebagai 'rangkaian (atau tidak langsung) meta-analisis’.

Tarikh carian
Februari 2021.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Ulasan ini melihat kepada orang dengan NAFLD daripada mana-mana jantina, umur (termasuk kanak-kanak), dan asal etnik. Kami mengecualikan kajian kepada orang yang sebelumnya menjalani pemindahan hati. Purata umur peserta, ketika dilaporkan, adalah antara 13 hingga 65 tahun. Peserta diberi rawatan yang berbeza, daripada nasihat hingga senaman yang diselia dan diet khusus, atau kombinasi antara ini dan tiada intervensi, selain nasihat kesihatan awam. Kami ingin mengumpul dan menganalisis data kematian, kualiti hidup, kejadian buruk yang serius dan tidak serius, kerosakan hati yang teruk, komplikasi akibat kerosakan hati yang teruk, barah hati, dan kematian akibat kerosakan hati ('hasil klinikal').

Apakah hasil utama ulasan ini?
59 kajian yang disertakan melibatkan bilangan peserta yang kecil (3631 peserta). Data kajian adalah sedikit. Dua puluh lapan kajian dengan 1942 peserta menyediakan data untuk analisis. Tempoh susulan peserta kajian adalah dari 1 bulan hingga 24 bulan. Untuk kajian yang melaporkan hasil klinikal, tempoh susulan adalah 2 bulan hingga 24 bulan. Hanya dua kajian kecil tidak menimbulkan kebimbangan besar terhadap bias (penyimpangan dari kebenaran kerana cara kajian dijalankan), dan oleh kerana ini, terdapat banyak ketidakpastian mengenai penemuan ulasan ini.
Ulasan ini menunjukkan:
- Dalam tempoh susulan 2 hingga 24 bulan, hasil klinikal penting berkaitan NAFLD seperti kematian adalah jarang berlaku dan tiada peserta mengalami komplikasi berkaitan hati seperti sirosis hati (parut hati), dekompensasi hati (komplikasi kerana parut hati), pemindahan hati, barah hati, atau kematian akibat penyakit hati. Ini mungkin kerana peserta kajian disusuli pada jangka masa terlalu pendek.
- Bukti menunjukkan ketidakpastian yang besar mengenai kesan intervensi terhadap mana-mana hasil klinikal.
- Kajian rawak klinikal yang dirancang dengan baik pada masa hadapan diperlukan untuk mengetahui pengubahsuaian gaya hidup terbaik bagi pesakit yang menghidapi NAFLD. Komplikasi yang berkaitan dengan hati boleh timbul dalam jangka masa 8 hingga 28 tahun. Oleh itu, tidak mungkin perbezaan hasil klinikal akan menjadi jelas dalam kajian dengan tempoh susulan kurang dari 5 tahun hingga 10 tahun. Saiz sampel juga perlu lebih besar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information