Rawatan untuk pendarahan dari salur darah vena yang membesar di esofagus (saluran makanan) bagi mereka yang mempunyai hati dengan parut yang teruk

Apakah matlamat Ulasan Cochrane ini?
Untuk mengetahui rawatan terbaik bagi pendarahan dari varises esophageal (pembesaran saluran darah di esofagus) bagi mereka yang mempunya parut hati yang teruk (sirosis hati, atau parut hati tahap akhir dengan komplikasi). Pendarahan dari varises esofagus bagi mereka yang mempunyai sirosis hati adalah hal kecemasan yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, adalah penting untuk merawat mereka yang mempunyai masalah ini bila perkara tersebut berlaku, tetapi manfaat dan kemudaratan rawatan yang berbeza yang ada sekarang masih tidak jelas. Penulis kajian mengumpulkan dan menganalisis semua ujian klinikal rawak yang relevan (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan tujuan untuk mengetahui apakah rawatan terbaik. Mereka menemui 52 ujian klinikal secara rawak. Semasa analisis data, penulis menggunakan kaedah piawai Cochrane, yang membenarkan perbandingan diantara dua rawatan sahaja pada satu masa. Penulis juga menggunakan teknik termaju yang memungkinkan perbandingan beberapa rawatan pada masa yang sama (biasanya disebut sebagai 'rangkaian meta-analisis (atau tidak langsung)').

Tarikh carian literatur 17 Disember 2019

Apa yang dikaji dalam tinjauan?
Ulasan ini meninjau orang dewasa dari mana-mana jantina, umur, dan etnik, dengan penyakit hati yang teruk kerana pelbagai sebab dan mengalami pendarahan dari varises oesophageal. Peserta diberi rawatan yang berbeza sebagai rawatan bagi pendarahan varises esophageal. Penulis mengecualikan kajian pada orang yang mengalami pendarahan dari perut, rawatan yang gagal dengan kaedah lain sebelum masuk kajian, mereka yang pendarahannya dikendalikan dengan kaedah lain sebelum mengambil bahagian dalam kajian ini, dan mereka yang mempunyai sejarah pemindahan hati. Umur purata bagi peserta, ketika dilaporkan, adalah diantara 39 hingga 62 tahun. Rawatan yang digunakan di dalam ujian termasuklah skleroterapi endoskopi (menyuntikkan cecair pembentuk parut ke dalam saluran darah yang membesar (parut menyekat saluran darah sehingga mengecilkan laluan) dengan melihat melalui tiub yang dimasukkan melalui mulut), ligasi pita variceal (memasukkan tali di sekitar saluran darah yang melebar dengan melihat melalui tiub yang dimasukkan melalui mulut), analog somatostatin (ubat yang menyerupai hormon usus dan saluran darah yang sempit), analog vasopressin (ubat yang menyerupai hormon otak yang boleh menyempitkan saluran darah), dan tamponade belon (memasukkan tiub melalui hidung atau mulut dan mengembungkan belon di sekitar tiub dengan harapan dapat memberikan tekanan pada saluran vena yang berdarah). Penulis kajian ingin mengumpulkan dan menganalisis data mengenai kematian (peratusan peserta yang meninggal dalam masa enam minggu setelah menerima rawatan), kualiti hidup, kejadian buruk yang serius dan kejadian buruk yang tidak serius (iaitu komplikasi serius dan tidak serius), pendarahan berulang, dan perkembangan komplikasi penyakit hati yang teruk.

Apa hasil utama kajian ini?
52 kajian ini merangkumi sebilangan kecil peserta (4580 peserta). Data untuk di analisis diambil dari empat puluh lapan penyelidikan dengan 4042 peserta. Tempoh pemantauan peserta kajian diantara kurang dari satu minggu hingga enam minggu. Sumber pembiayaan untuk penyelidikan ini tidak jelas dalam 31 kajian; sementara 11 kajian dibiayai oleh organisasi komersial. Tidak ada sebarang keraguan mengenai sumber pembiayaan untuk baki 10 kajian. Ulasan ini menunjukkan keputusan yang berikut.

- Tidak ada kajian yang dilakukan tanpa kelemahan, oleh sebab ini, terdapat ketidakpastian sederhana hingga sangat tinggi di dalam penemuan-penemuan berikut. - Kira-kira satu dari enam orang dengan sirosis dan pendarahan varises oesofagus yang menerima rawatan standard skleroterapi meninggal dalam masa enam minggu. - Analog Somatostatin sahaja dan analog vasopressin sahaja mungkin menyebabkan peningkatan kematian, berbanding dengan skleroterapi. - Analog vasopressin sahaja dan ligasi pita sahaja mungkin mengakibatkan kejadian buruk (komplikasi) yang lebih sedikit, berbanding dengan skleroterapi. - Belon tamponade dan skleroterapi boleh mengakibatkan peningkatan besar dalam kejadian buruk berbanding dengan skleroterapi sahaja. - Skleroterapi ditambah analog somatostatin dapat mengakibatkan penurunan besar pada gejala perdarahan ulangan dibandingkan dengan skleroterapi. - Bukti menunjukkan ketidakpastian yang besar mengenai kesan intervensi dalam perbandingan yang tinggal. - Tidak ada ujian yang melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. - Ujian klinikal rawak yang dirancang dengan baik di masa hadapan diperlukan untuk mengetahui rawatan terbaik bagi penghidap sirosis dan pendarahan varises esofagus.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information