Potongan melintang dan menegak di kawasan inguinal (pangkal paha) untuk pendekatan arteri femoral

Latar belakang

Akses ke saluran femoral adalah penting untuk pelbagai prosedur vaskular, termasuk rawatan penyakit tromboemboli, graf arteri, pembaikan endovaskular bagi aneurisma aorta abdomen, pembaikan aneurisma endovaskular toraks dan implantasi injap aorta transkateter. Teknik pembedahan yang digunakan untuk mengakses arteri femoral mungkin menjadi faktor berlakunya komplikasi pasca pembedahan; ini adalah fokus ulasan kami.

Kami membandingkan teknik pembedahan melintang (potongan yang dibuat selari dengan lipatan pangkal paha) dengan potongan pangkal paha secara menegak di kawasan inguinal (teknik pembedahan klasik: potongan yang melintasi lipatan pangkal paha) untuk mengakses arteri femoral, dalam usaha untuk menentukan teknik mana yang mempunyai kadar komplikasi yang lebih rendah, lebih selamat dan lebih berkesan.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Tinjauan sistematik ini merangkumi dua kajian (carian terbaru Februari 2020): satu kajian terkawal rawak dan satu kajian klinikal kuasi-rawak. Kedua-duanya membandingkan pendekatan inguinal melintang dan menegak. Satu kajian melibatkan 149 peserta (167 pangkal paha) sementara kajian kedua melibatkan 88 peserta (116 pangkal paha), menjalani pembedahan inguinal untuk mengakses arteri femoral.

Hasil 'luka atau jangkitan tapak pembedahan' dinilai dalam kedua-dua kajian. Analisis gabungan menunjukkan kadar jangkitan luka yang lebih rendah untuk potongan inguinal melintang berbanding dengan potongan inguinal menegak. Satu kajian menilai komplikasi limfatik dan tidak menemukan bukti tentang perbezaan antara kedua teknik potongan. Hasil lain seperti jangkitan pada graf, kemasukan ke hospital, kematian dan kesakitan selepas pembedahan tidak dilaporkan oleh kedua-dua kajian tersebut

Kepastian bukti

Kami mengklasifikasikan kepastian bukti sebagai rendah untuk jangkitan tapak pembedahan disebabkan oleh risiko berat sebelah yang tinggi kerana masalah dengan perawakan dan pembutaan orang yang menilai hasil dan bilangan peserta yang kecil dalam kajian yang dirangkumkan. Kami menganggap komplikasi limfa sebagai bukti kepastian yang sangat rendah disebabkan oleh risiko berat sebelah yang tinggi kerana masalah dengan perawakan dan pembutaan orang yang menilai hasilnya, dan kerana hanya ada satu kajian yang dirangkumkan yang menilai komplikasi limfatik dengan bilangan peserta yang kecil.

Kesimpulan

Bukti kepastian yang rendah menunjukkan bahawa jangkitan luka pembedahan dalam tempoh 28 hari selepas pembedahan berlaku lebih jarang dalam potongan melintang berbanding potongan menegak untuk mengakses arteri femoral. Bukti kepastian yang sangat rendah menunjukkan bahawa tidak ada bukti tentang perbezaan antara dua teknik pembedahan yang berkaitan dengan hasil komplikasi limfatik untuk akses ke arteri femoral dalam tempoh 28 hari selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.y

Tools
Information