Bolehkah penanda bio menambahbaik ramalan alat RCRI untuk meramalkan komplikasi berkaitan jantung pada pesakit yang menjalani pembedahan selain daripada pembedahan jantung?

Latar belakang dan soalan ulasan

Walaupun pesakit-pesakit menjalani pembedahan untuk mengekalkan atau meningkatkan jangka hayat atau untuk meningkatkan kualiti hidup, pembedahan bukan tanpa risiko. Sesetengah pesakit akan mengalami komplikasi berkaitan jantung selepas pembedahan selain daripada pembedahan jantung, seperti infarksi jantung. Beberapa alat cuba meramalkan peluang seseorang mengalami komplikasi jantung selepas pembedahan menggunakan maklumat yang dikumpul dalam tempoh sebelum pembedahan. Indeks Risiko Jantung Semakan (RCRI) ialah alat yang cuba menganggarkan peluang untuk mengalami komplikasi jantung semasa kemasukan ke hospital pada pesakit yang menjalani pembedahan selain daripada pembedahan jantung. Ia menggunakan maklumat sama ada pesakit pernah mengalami infarksi jantung, kegagalan jantung dan/atau strok semasa hidupnya, penggunaan insulin untuk rawatan diabetes mellitus, fungsi renal (buah pinggang) terkini mereka dan sama ada dia akan menjalani pembedahan berisiko tinggi atau tidak tinggi. RCRI biasanya digunakan oleh pakar perubatan, tetapi ramalannya tidak selalunya tepat. Oleh itu, beberapa penyelidik telah cuba menambahbaik ramalan tersebut dengan menambahkan maklumat tambahan pada alat ini. Maklumat tersebut boleh diperoleh daripada apa yang dipanggil penanda bio, iaitu, sebagai contoh, pengukuran daripada darah, teknik pengimejan atau ciri-ciri lain, seperti umur, status merokok atau keadaan fizikal pesakit.

Matlamat ulasan sistematik ini adalah untuk menyiasat sama ada penambahan penanda bio sedemikian pada RCRI menambahbaik ramalan komplikasi berkaitan jantung semasa kemasukan ke hospital pada pesakit yang menjalani pembedahan selain daripada pembedahan jantung. Di samping itu, kami menyiasat sama ada penanda bio dan alat ramalan yang lain menghasilkan ramalan yang lebih baik mengenai komplikasi berkaitan jantung semasa kemasukan ke hospital berbanding ramalan dengan RCRI pada pesakit yang menjalani pembedahan selain daripada pembedahan jantung.

Keputusan utama

Kami mengenal pasti 69 peramal berbeza yang telah ditambahkan pada alat RCRI untuk menambahbaik ramalan komplikasi berkaitan jantung tersebut. Bukti adalah terkini hingga 25 Jun 2020. Ramalan kelihatan bertambah baik dengan penambahan beberapa penanda bio diperoleh daripada darah. Ia adalah ialah troponin (yang mengukur kerosakan otot jantung), peptida natriuretik otak (BNP) dan (NT-pro) peptida natriuretik otak (NT-proBNP) (yang kedua-duanya mengukur keterukan kegagalan jantung).

Di samping itu, terdapat 60 penanda bio yang dikaji untuk membandingkan ramalan mereka dengan RCRI. Kajian lain yang termasuk dalam ulasan ini mencadangkan BNP dan NT-proBNP sahaja boleh meramalkan komplikasi berkaitan jantung dengan lebih baik daripada RCRI. Enam puluh lima alat ramalan selain daripada RCRI cuba menambahbaik ramalannya. Alat skor risiko pembedahan American College of Surgeons National Surgical Quality Improvement (ACS-NSQIP) dan ACS-NSQIP-MICA (myocardial infarction or cardiac arrest) boleh membuat ramalan yang lebih baik daripada RCRI, tetapi ini hanya benar untuk hasil tertentu dan bukan untuk komplikasi berkaitan jantung. Walau bagaimanapun, untuk semua persoalan kajian, kami tidak yakin dengan keputusannya kerana variasi yang besar dalam kaedah-kaedah penyelidikan yang digunakan dan tanda-tanda pendekatan kajian yang kurang tepat telah digunakan.

Kesimpulan pengarang

Troponin, BNP dan NT-proBNP boleh menambahbaik keupayaan RCRI untuk meramalkan komplikasi berkaitan jantung. Alat skor risiko pembedahan ACS-NSQOP-MICA dan ACS-NSQIP kelihatan lebih baik dalam meramalkan komplikasi selepas pembedahan daripada RCRI, tetapi bukan komplikasi berkaitan jantung. Walau bagaimanapun, disebabkan kekurangan dalam cara kajian dijalankan, kami tidak pasti sama ada keputusan yang kami jumpai terpakai kepada semua pesakit yang menjalani pembedahan selain pembedahan jantung. Kami memerlukan kajian yang lebih banyak dan baik tentang penanda bio dengan prestasi ramalan yang berpotensi dalam persekitaran yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information