Rawatan antibiotik untuk peritonitis bakteria spontan dalam kalangan orang dengan penyakit hati lanjutan

Apakah matlamat Ulasan Cochrane ini?

Untuk mengetahui antibiotik sedia ada terbaik bagi peritonitis bakteria spontan (pengumpulan cecair di perut (abdomen), dijangkiti bakteria) dalam kalangan orang dengan penyakit hati lanjutan (sirosis hati, atau parut hati peringkat lewat dengan komplikasi). Pengumpulan cecair abnormal dalam kalangan orang dengan sirosis hati dipanggil asites. Kadangkala, cecair ini mungkin dijangkiti bakteria, tanpa punca jangkitan yang jelas. Ini dipanggil 'peritonitis bakteria spontan'. Rawatan utama peritonitis bakteria spontan adalah antibiotik, tetapi adalah tidak jelas antibiotik yang terbaik untuk merawatnya. Penulis mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 12 kajian klinikal rawak (peserta menerima rawatan berdasarkan kaedah yang serupa dengan melambung duit syiling, untuk memastikan orang yang menerima rawatan yang berbeza adalah serupa dalam semua aspek kecuali rawatan, supaya sebarang perbezaan keputusan di antara rawatan boleh dikaitkan dengan rawatan dan bukannya perbezaan orang yang menerima rawatan). Semasa analisis data, penulis menggunakan teknik Cochrane standard, yang membolehkan perbandingan dua rawatan pada satu masa. Penulis juga menggunakan teknik lanjutan, yang membolehkan perbandingan banyak rawatan pada masa yang sama (biasanya dirujuk sebagai 'meta-analisis rangkaian' atau 'perbandingan rawatan multipel'). Matlamatnya adalah untuk mengumpul bukti boleh percaya manfaat dan mudarat antibiotik yang berbeza.

Tarikh carian literatur
November 2018.

Mesej-mesej utama
Tiada di antara kajian-kajian tersebut tanpa kelemahan, dan kerana kepastian yang sangat rendah dalam keputusan, penulis tidak dapat mencadangkan antibiotik mana, diberi secara tunggal atau dalam kombinasi untuk membunuh bakteria dari perut seseorang, lebih baik atau lebih buruk berbanding antibiotik lain dalam rawatan peritonitis bakteria spontan.

Sumber pembiayaan adalah tidak jelas di dalam 10 kajian; organisasi industri membiaya dua kajian.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulasan ini mengkaji orang, tidak kira jantina, umur, dan asal, dengan penyakit hati lanjutan akibat pelbagai sebab, yang telah menghidap peritonitis bakteria spontan. Orang-orang diberi pelbagai antibiotik untuk rawatan peritonitis bakteria spontan. Penulis mengecualikan kajian-kajian peserta pemindahan hati dan peritonitis bakteria akibat sebab-sebab lain. Umur peserta semasa pelaporan adalah di antara 42 hingga 60 tahun. Bilangan wanita semasa pelaporan adalah di antara 18 hingga 42 daripada 100. Kumpulan antibiotik yang diberi adalah cephalosporin, penicilin, dan quinolone. Pengarang ulasan ingin mengumpulkan dan menganalisis data tentang kematian, kualiti hidup, komplikasi serius dan tidak serius, masa hingga pemindahan hati (penggantian hati berpenyakit dengan yang sihat), masa hingga hilangnya peritonitis bakteria spontan, dan hilangnya gejala.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

12 kajian-kajian tersebut memasukkan sebilangan kecil peserta (1278 peserta). Data kajian tidaklah banyak; 10 kajian dengan 893 peserta menyediakan data untuk analisis. Julat susulan di dalam kajian-kajian adalah dari satu minggu hingga tiga bulan. Ulasan menunjukkan yang berikut.

- Daripada 13 antibiotik yang dibanding di dalam kajian-kajian, ceftriaxone dan cefotaxime yang diberi melalui vena paling lazim digunakan.

- Jenis antibiotik yang disediakan mungkin tidak membezakan bilangan atau peratusan orang dengan komplikasi serius atau dengan sebarang komplikasi; bilangan (sebarang) komplikasi setiap orang; peratusan orang yang menjalani pemindahan hati; atau yang pulih daripada peritonitis bakteria spontan seperti ujian makmal, atau komplikasi lain sirosis hati.

- Dua puluh lima daripada setiap 100 orang mati dalam tempoh tiga bulan, dan 75 daripada setiap 100 orang pulih daripada peritonitis bakteria spontan.

- Tiada kajian yang melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan, bilangan peristiwa buruk yang serius, atau pemulihan simptomatik daripada peritonitis bakteria spontan.

- Keyakinan kami dalam keputusan keseluruhan adalah sangat rendah. Sama ada beberapa antibiotik boleh menyebabkan manfaat atau mudarat penting atau kurang penting berbanding yang lain apabila diberi kepada orang-orang dengan penyakit hati lanjutan dan peritonitis bakteria spontan adalah diragui.

- Kami memerlukan data dari kajian dengan reka bentuk dan kualiti yang tepat untuk menjelaskan antibiotik terbaik bagi peritonitis bakteria spontan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save