Terapi berasaskan air untuk ketidakcukupan vena kronik

Mesej utama

• Berbanding tanpa rawatan, balneoterapi (terapi berasaskan air) mungkin sedikit menambahbaik keterukan penyakit, dan boleh menambahbaik kesakitan dan perubahan warna kulit, pada orang yang mengalami ketidakcukupan vena kronik (apabila darah tidak dapat mengalir kembali ke jantung dengan betul dan berkumpul di dalam kaki).

• Balneoterapi berbanding tanpa rawatan boleh meningkatkan kualiti hidup, tetapi kami sangat tidak pasti tentang hasilnya. Kami mendapati sedikit atau tiada bukti tentang perbezaan kesan sampingan, ulser kaki atau edema (bengkak kaki).

• Bukti membandingkan balneoterapi dengan pilihan rawatan lain adalah sangat terhad. Berbanding dengan ubat-ubatan yang dikenali sebagai phlebotonics, kami tidak menemui bukti perbezaan dalam bilangan orang yang mengalami sakit atau edema. Berbanding dengan senaman di tanah kering, balneoterapi mungkin sedikit menambahbaik kualiti hidup dan edema, tetapi buktinya sangat tidak pasti untuk kualiti hidup.

Apakah ketidakcukupan vena kronik?

Ketidakcukupan vena kronik adalah penyakit yang disebabkan oleh pengangkutan darah yang tidak normal ke vena kaki, bermaksud vena tidak dapat mengepam darah yang mencukupi kembali ke jantung. Orang yang mengalami keadaan ini selalunya mempunyai urat berkerut dan membesar. Daripada banyak gejala yang mungkin, yang paling serius ialah ulser vena.

Bagaimanakah ketidakcukupan vena kronik dirawat?

Terdapat pelbagai pilihan pengurusan atau terapi untuk ketidakcukupan vena kronik, termasuk mampatan (menggunakan daya), fisioterapi, perubatan dan pembedahan. Balneoterapi adalah salah satu cara untuk menyampaikan fisioterapi kepada orang yang mengalami ketidakcukupan vena yang kronik. Balneoterapi adalah teknik perubatan tradisional yang melibatkan air dan biasanya diamalkan di spa. Ia terdiri daripada rendaman dalam air terma atau mineral atau lumpur yang sarat dengan mineral. Ia mungkin atau tidak melibatkan senaman.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada balneoterapi lebih bermanfaat daripada penjagaan biasa atau rawatan lain pada orang yang mengalami ketidakcukupan vena yang kronik.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji balneoterapi berbanding tanpa rawatan atau rawatan lain pada orang yang mengalami ketidakcukupan vena yang kronik. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti sembilan kajian rawak terkawal. Dalam kajian rawak terkawal, peserta diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan rawatan mereka; akibatnya, kajian ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan. Tujuh kajian membandingkan balneoterapi dengan tiada rawatan, satu kajian membandingkan balneoterapi dengan ubat yang dipanggil melilotus officinalis, dan kajian lain membandingkan balneoterapi dengan senaman tanah kering. Kajian menggunakan pelbagai jenis balneoterapi dan tempoh rawatan yang berbeza.

Keputusan utama

Berbanding tanpa rawatan, balneoterapi mungkin memperbaiki sedikit keterukan penyakit, dan boleh memperbaiki kesakitan dan perubahan warna kulit. Ia juga mungkin menambahbaik kualiti hidup, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Balneoterapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada berlakunya kesan berbahaya (jangkitan dan pembekuan darah di kaki). Tiada kajian melaporkan sebarang kesan berbahaya yang serius. Bukti menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan dalam ulser dan edema kaki (bengkak disebabkan apabila cecair bocor keluar dari saluran darah kecil badan) antara orang yang menerima balneoterapi dan mereka yang tidak menerima rawatan.

Kami tidak tahu sama ada balneoterapi berbanding melilotus officinalis mempunyai sebarang kesan terhadap kesakitan atau edema. Tiada maklumat tentang hasil lain yang menarik (keparahan penyakit, kualiti hidup, kesan berbahaya, ulser kaki atau perubahan warna kulit).

Balneoterapi berbanding senaman tanah kering mungkin sedikit menambahbaik kualiti hidup dan edema selepas lima sesi, tetapi kami tidak pasti tentang keputusan untuk kualiti hidup. Tiada maklumat tentang hasil lain yang menarik (keparahan penyakit, kualiti hidup, kesan berbahaya, ulser kaki atau perubahan warna kulit).

Apakah batasan bukti?

Kami agak yakin dengan bukti tentang keterukan penyakit, kerana kebimbangan tentang peserta dan profesional penjagaan kesihatan mengetahui kumpulan rawatan setiap peserta (kekurangan pembutaan). Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap bukti yang lain kerana kebimbangan tentang kekurangan pembutaan, kerana bilangan orang dan bilangan acara terlalu kecil untuk analisis yang kukuh, dan kerana peserta sendiri melaporkan beberapa keputusan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information