Suntikan endometrium supernatan kultur embrio untuk wanita tidak subur dalam reproduksi dibantu

Soalan ulasan:

Para penyelidik Kolaborasi Cochrane mengulas bukti tentang keberkesanan dan keselamatan suntikan endometrium supernatan kultur embrio sebelum pemindahan embrio dalam kalangan wanita yang menjalani reproduksi dibantu.

Latar belakang:

Teknik reproduksi dibantu (ART) termasuk teknik-teknik yang diguna untuk merawat ketidaksuburan, dan persenyawaan in vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) adalah yang paling lazim. Walaupun kedua-dua usaha klinikal dan makmal serta peningkatan kejayaan rawatan-rawatan ini, kadar kehamilan secara relatifnya masih rendah. Dalam IVF, telur diambil dari ovari wanita dan diletak dalam piring dengan sperma dari pasangannya atau dari penderma, dalam cecair yang disebut medium kultur embrio. Dalam ICSI, sel sperma tunggal disuntik ke dalam telur wanita, dan telur kemudiannya diletak dalam medium kultur.

Pelbagai faktor membolehkan komunikasi antara embrio dengan tisu-tisu maternal. Ini boleh mempengaruhi kesediaan lapisan rahim (endometrium). Para penyelidik mengusulkan suntikan lapisan atas cecair kultur embrio, yang dipanggil supernatan, ke dalam rahim sebelum pemindahan embrio, dapat merangsang lapisan rahim dan mempermudah atakmen embrio. Ini dapat memperbaiki kadar kelahiran hidup dan hasil ART lain.

Walaupun suntikan sebelum pemindahan embrio dilihat sebagai prosedur yang menggalakkan, keberkesanan dan keselamatannya kekal kontroversial, kerana tidak banyak bukti sedia ada tentang hasilnya. Dalam Ulasan Cochrane ini, kami meringkaskan bukti yang relevan. Kami ingin kesimpulan kami menjadi sekuat mungkin, dan juga untuk mengenal pasti batasan-batasan bukti.

Ciri-ciri kajian

Dalam perundingan dengan Pakar Maklumat Kumpulan Ginekologi dan Kesuburan Cochrane, kami melakukan carian literatur komprehensif pangkalan data perubatan standard, dari catatan awal setiap pangkalan data hingga Disember 2019. Kami mencari semua kajian rawak terkawal (RCT) (kajian di mana peserta diletakkan kepada kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang menyiasat keberkesanan suntikan endometrium supernatan kultur embrio sebelum pemindahan embrio, semasa kitaran dengan IVF atau ICSI, berbanding sebarang intervensi lain atau tiada intervensi (penjagaan biasa). IVF dan ICSI adalah dua modaliti utama ART. Kami mencari kajian-kajian tanpa mengira bahasa dan negara asalnya. Dua penulis ulasan secara berasingan memilih dan menilai kajian-kajian, mengekstrak data, dan cuba menghubungi penulis-penulis kajian bagi data yang tidak lengkap. Lima kajian melibatkan 526 wanita memenuhi kriteria kemasukan bagi ulasan kami. Kami tidak menemui kajian yang sedang berlangsung.

Keputusan utama:

Kami tidak pasti sama ada penggunaan rutin suntikan endometrium supernatan kultur embrio sebelum pemindahan embrio memberi kesan positif dalam kalangan wanita yang menjalani reproduksi dibantu, berbanding penjagaan biasa, untuk memperbaik kadar kelahiran hidup atau kehamilan dan kadar keguguran. Kami mendapati kelahiran hidup atau kadar kehamilan yang sedang berlangsung melalui rawatan biasa adalah 42%, tetapi ia berbeza antara 35% dan 55% apabila supernatan disuntik. Risiko keguguran adalah 9% untuk penjagaan biasa, dan antara 4% hingga 15% dengan suntikan. Kami menemui kesimpulan yang serupa untuk kadar kehamilan klinikal, kehamilan multipel dan kehamilan ektopik, serta untuk kelahiran pramasa dan keabnormalan janin. Tiada ukuran hasil tunggal dalam RCT yang disertakan dalam ulasan kami menunjukkan manfaat jelas penggunaannya. Tiada cukup bukti untuk menyokong penggunaan rutin suntikan endometrium supernatan kultur embrio berbanding media kultur sebelum pemindahan embrio.

Kualiti bukti:

Kualiti bukti adalah sangat rendah bagi hampir semua hasil. Kualiti bukti adalah rendah untuk keabnormalan janin. Batasan utama bagi RCT yang disertakan adalah kaedah-kaedah kajian yang tidak dilapor dengan baik, variasi yang luas dalam ciri-ciri kajian yang disertakan dan ketidaktentuan statistik kerana bilangan kajian yang kecil dan bilangan kecil peristiwa yang dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save