Betapa tepatkah ultrasonografi dada berbanding dengan radiografi dada terlentang untuk diagnosis pneumotoraks trauma di jabatan kecemasan?

Mengapakah ia penting untuk menambahbaik diagnosis pneumotoraks trauma?

Udara yang berkumpul di antara paru-paru dan dada dinding digambarkan sebagai pneumotoraks. Pneumotoraks boleh menyebabkan keruntuhan paru-paru, mengubah posisi jantung dan struktur-struktur lain dalam dada, mengurangkan aliran darah kembali ke jantung, dan menyebabkan kejutan yang boleh mengancam nyawa. Doktor boleh melakukan torakostomi tiub - satu prosedur dengan risiko komplikasi seperti pendarahan, kecederaan organ, dan jangkitan - untuk mengosongkan udara yang terperangkap. Tidak mengenali pneumotoraks (negatif salah (FN)) boleh membawa kepada kegagalan jantung dan paru-paru serta kematian. Diagnosis pneumotoraks yang salah (positif salah (FP)) boleh membawa kepada torakostomi tiub yang tidak sepatutnya.

Apakah tujuan ulasan ini?

Untuk menentukan betapa tepat ultrasonografi dada (CUS) ada berbanding dengan X-ray dada (CXR) dalam membuat diagnosis pneumotoraks dalam pesakit trauma di jabatan kecemasan (ED). Para penyelidik telah menyertakan 13 kajian untuk menjawab soalan ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami telah membandingkan ketepatan diagnostik dua ujian, CUS dan CXR. Kemudiannya kami membandingkan kedua-dua ujian ini dengan tomografi berkomputer (CT) atau, jika diperlukan secara klinikal, torakostomi tiub sebagai rujukan standard.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Analisis tersebut telah menyertakan keputusan dari 1271 pesakit trauma, di mana 410 mengalami pneumotoraks trauma.

Keputusan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa, secara teori, jika CUS digunakan pada sekumpulan 100 pesakit di mana 30 (30%) mengalami pneumotoraks trauma, dijangka 28 akan mempunyai keputusan positif untuk pneumotoraks (TP) dan dalam kalangan ini satu (3.6%) akan salah diklasifikasikan sebagai mempunyai pneumotoraks (FP); daripada 72 pesakit dengan keputusan negatif untuk pneumotoraks, tiga (4.2%) sebenarnya akan mempunyai pneumotoraks (FN).

Secara teori, jika CXR digunakan ke atas sekumpulan 100 pesakit di mana 30 (30%) mengalami pneumotoraks trauma, dijangka 14 akan mempunyai keputusan CXR yang positif untuk pneumotoraks (TP) dan dalam kalangan mereka tiada (0%) yang akan salah diklasifikasikan mempunyai pneumotoraks (FP); daripada 86 pesakit dengan keputusan negatif untuk pneumotoraks, 16 (18.6%) akan sebenarnya mempunyai pneumotoraks (FN).

Sejauh manakah keputusan kajian-kajian dalan ulasan ini boleh dipercayai?

Jumlah yang ditunjukkan dalam keputusan tersebut adalah purata semua kajian dalm ulasan ini. Walaupun keputusan CUS cukup konsisten, keputusan CXR agak berbeza; oleh itu, kami tidak pasti bahawa CXR akan sentiasa menghasilkan keputusan yang sama. Dalam kajian-kajian yang disertakan, diagnosis pneumotoraks trauma telah disahkan melalui CT atau torakostomi tiub. Walaupun terdapat beberapa masalah dengan bagaimana sesetengah kajian telah dilakukan, keputusan mereka tidak berbeza dengan kajian-kajian lain yang lebih boleh diharap.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?

Keputusannya mungkin tidak mewakili pesakit-pesakit dalam keadaan yang berbeza atau dengan pneumotoraks dari etiologi lain. Kajian-kajian yang dirangkumkan dalam ulasan ini telah memberi tumpuan kepada membuat diagnosis pneumotoraks trauma dalam ED, dilakukan dalam tiga benua. Prevalens purata pneumotoraks trauma adalah 30% dan berkisar dari 21% sehingga 52%.

Apakah implikasi-implikasi ulasan ini?

Kajian-kajian dalam ulasan ini menunjukkan bahawa CUS adalah lebih tepat daripada CXR dalam mendiagnosis pneumotoraks dalam pesakit trauma ED, yang boleh membawa kepada rawatan dengan lebih segera dengan torakostomi tiub, mengurangkan komplikasi berkaitan dengan pneumotoraks, dan meningkatkan hasil. Risiko terlepas diagnosis dengan CUS adalah rendah (4.2% daripada CUS yang menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai pneumotoraks) menunjukkan bahawa hanya beberapa pesakit yang mungkin tidak akan menerima torakostomi tiub dengan segera. Risiko salah membuat diagnosis pneumotoraks trauma menggunakan CUS adal rendah (3.6% daripada CUS yang menunjukkan bahawa mereka mempunyai pneumotoraks) dan ia mungkin mengakibatkan torakostomi tiub yang tidak diperlukan.

Sebagai perbandingan, risiko terlepas pneumotoraks trauma dengan CXR adalah tinggi (18.6% daripada CXR yang menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai pneumotoraks) mencadangkan bahawa terdapat sejumlah pesakit yang besar yang mungkin tidak akan menerima torakostomi tiub dengan segera. Risiko salah membuat diagnosis pneumotoraks trauma dengan CXR adalah rendah (0% daripda CUS yang menunjukkan bahawa mereka mempunyai pneumotoraks).

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan ini telah membuat pencarian dan menggunakan kajian yang diterbitkan dari 1900 sehingga 10 April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information