Clonazepam digunakan sebagai ubat antiepileptik tunggal untuk merawat pesakit dengan epilepsi yang baru didiagnosis

Latar Belakang

Monoterapi (rawatan dengan ubatan tunggal) adalah pilihan terbaik untuk merawat pesakit dengan epilepsi yang baru didiagnosis. Clonazepam adalah sejenis ubatan yang dapat mengurangkan jumlah epilepsi sawan; ia adalah dari kumpulan ubat-ubatan yang dikenali sebagai benzodiazepin. Kami mencari pangkalan data elektronik, dengan tujuan untuk menggabungkan hasil dari semua kajian yang dijalankan dengan baik mengenai topik tersebut untuk menentukan keberkesanan clonazepam dalam mengurangkan jumlah sawan dalam kalangan pesakit yang baru didiagnosis dengan epilepsi.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti hanya dua kajian kecil yang membandingkan clonazepam dengan ubat yang berbeza dalam dua gejala epileptik yang berbeza, epilepsi lobular temporal mesial (epilepsi fokal yang paling biasa dan jelas dengan kejang yang berasal dari bahagian dalaman lobus temporal otak) dan sawan absens (kejang umum yang menyebabkan hilang kesedaran). Dalam kajian yang dijalankan di epilepsi lobular temporal mesial, clonazepam dibandingkan dengan carbamazepine (ubat antiepileptik yang digunakan untuk merawat epilepsi fokal). Dalam kajian tentang sawan absens, clonazepam dibandingkan dengan etosuximide (ubat yang digunakan untuk merawat sawan absens).

Keputusan utama

Kami menilai kedua-dua kajian sebagai kurang berkualiti. Kajian tidak menyusul peserta dengan tempoh yang lama, dan jumlah peserta terlalu rendah untuk membuat kesimpulan yang pasti tentang peranan clonazepam yang digunakan dalam monoterapi. Keputusan mengenai toleransi tidak dilaporkan secara konsisten merentasi kajian.

Tidak ada perbezaan yang ditemui antara clonazepam dan carbamazepine dalam perkadaran peserta yang bebas sawan; namun, ini tidak bermakna bahawa clonazepam dan carbamazepine mempunyai kesan yang sama dalam mengawal sawan,, kerana kekurangan perbezaan boleh disebabkan oleh bilangan kecil peserta yang dimasukkan.

Kajian yang membandingkan clonazepam dengan etosuximide tidak memberikan hasil tentang kesan dalam mengawal sawan. Tiada perbezaan yang ditemui antara kedua-dua ubatan dari segi toleransi. Namun, perkadaran peserta yang keluar atau menarik diri daripada kajian akibat kesan sampingan, kekurangan keberkesanan atau sebab lain adalah lebih tinggi dalam kumpulan clonazepam berbanding dengan kumpulan etosuximide.

Kepastian bukti

Setakat ini, bukti mengenai keberkesanan dalam mengawal sawan dan toleransi clonazepam yang digunakan sebagai ubat tunggal antiepileptik untuk rawatan epilepsi adalah terhad dan kepastian adalah sangat rendah. Oleh itu, tidak ada maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan mengenai penggunaan clonazepam dalam monoterapi.

Bukti adalah terkini sehingga September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information