Agen pengubahsuaian tulang untuk lelaki dengan kanser prostat dan metastasis tulang

Soalan ulasan

Dalam ulasan sistematik ini, kami berhasrat membandingkan pelbagai agen untuk mencegah komplikasi skeletal dalam kalangan lelaki dengan kanser prostat dan metastasis tulang dan menyediakan pemeringkatan opsyen rawatan. Kami melihat pelbagai hasil seperti pengurangan sakit, pencegahan kejadian berkaitan skeletal, kejadian peristiwa buruk, dan kualiti hidup. Kami ingin tahu agen pengubahsuaian tulang yang paling berkesan disamping menyebabkan paling sedikit kejadian buruk apabila diberi sebagai rawatan sokongan kepada lelaki dengan kanser prostat dan metastasis tulang.

Latar belakang

Prostat adalah kelenjar dalam sistem reproduktif lelaki. Kanser prostat boleh merebak ke bahagian lain badan (dipanggil metastasis) termasuk tulang. Metastasis tulang dalam kalangan lelaki dengan kanser prostat boleh menyebabkan komplikasi skeletal seperti fraktur atau sakit. Pelbagai agen pengubahsuaian tulang diguna sebagai rawatan sokongan untuk mencegah komplikasi skeletal melalui pembentukan jisim tulang baharu. Sehingga kini tiada syor jelas tentang agen mana yang paling berkesan dan juga menyebabkan paling sedikit peristiwa buruk. Kami menggunakan kaedah statistik untuk membandingkan semua agen antara satu sama lain berdasarkan maklumat sedia ada.

Ciri-ciri kajian

Kami melakukan carian menyeluruh di pelbagai pangkalan data sehingga 23 Mac 2020. Kami menyertakan 25 kajian yang membandingkan pelbagai agen pengubahsuaian tulang atau tiada rawatan lanjut atau rawatan plasebo (rawatan ‘dummy’) dalam kalangan lelaki dengan kanser prostat dan metastasis tulang.

Keputusan utama

Dua puluh satu daripada 25 kajian yang disertakan melaporkan data untuk hasil berkaitan pesakit yang ditetapkan. Sejumlah tujuh agen berbeza disertakan, enam bifosfonat (asid zoledronik, risedronate, pamidronate, alendronate, etidronate, dan clodronate) dan satu agen lain, denosumab. Analisis hanya mungkin bagi setiap hasil secara berasingan. Dalam peristiwa berkaitan skeletal, asid zoledronik dan denosumab dilihat paling berkesan, tetapi juga menyebabkan paling banyak peristiwa buruk yang teruk (seperti gangguan ginjal untuk rawatan dengan asid zoledronik dan osteonekrosis rahang untuk denosumab). Kebanyakan kajian yang disertakan tidak melaporkan data tentang kualiti hidup atau melaporkannya dengan buruk, sehingga kami tidak dapat menganalisis hasil apabila menggabung informasi dari kajian-kajian. Keputusan-keputusan dijelaskan dengan perkataan.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti yang tinggi hingga rendah untuk pelbagai agen dan hasil. Pembatasan ulasan ini adalah tiada kemungkinan untuk membuat pemeringkatan keseluruhan hasil pada masa yang sama. Untuk membuat keputusan termaklum opsyen rawatan mana yang harus diguna, seseorang harus melihat semua hasil dan mengimbang kebaikan dan keburukan untuk setiap opsyen.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Meaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save