Anestesia atau analgesia semasa penyingkiran plasenta kekal secara manual

Kami mencari bukti dari kajian terkawal secara rawak mengenai keberkesanan dan keselamatan pelbagai jenis anestesia (ubat-ubatan yang menghasilkan kehilangan sebahagian atau keseluruhan rasa dan sensasi) dan analgesia (ubat yang mengurangkan kesakitan) semasa penyingkiran plasenta kekal secara manual dalam kalangan wanita yang baru melahirkan secara normal.

Apakah isunya?

Plasenta melekat pada lapisan rahim semasa kehamilan. Selepas bayi dilahirkan, plasenta berpisah, dan kontraksi rahim mendorongnya keluar. Apabila plasenta tidak keluar dalam 60 minit selepas kelahiran normal, ia disebut sebagai plasenta yang kekal.

Anestesia boleh menjadi umum atau serantau, menggunakan laluan tulang belakang atau epidural; untuk sakit dan relaksasi, seperti fentanyl, midazolam, diazepam, atau ketamine, boleh diberikan secara intravena. Kami ingin mengetahui jenis anestesia dan analgesik mana yang paling berkesan dan selamat bagi wanita yang menjalani penyingkiran plasenta kekal secara manual.

Mengapakan hal ini penting?

Kelewatan penyingkiran plasenta mengakibatkan kehilangan darah berlebihan yang boleh mengancam nyawa, dan memerlukan pemindahan darah. Oleh itu, plasenta yang kekal perlu dikeluarkan dengan cepat. Apabila plasenta dikeluarkan dari rahim dengan tangan, ia disebut penyingkiran manual. Ini menyebabkan rasa tidak selesa dan kesakitan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti sehingga September 2019. Kami menemui satu kajian kecil yang terkawal rawak dilakukan di sebuah hospital di Papua New Guinea. Kajian ini melibatkan 30 wanita yang menjalani penyingkiran plasenta yang kekal secara manual. Ia membandingkan suntikan anestetik tempatan, lidokain, di sekitar serviks (sekatan paracervical) dan ubat intravena pethidine dan diazepam, untuk menghilangkan rasa sakit dan relaksasi.

Kajian ini tidak melaporkan intensiti kesakitan atau kejadian buruk.

Kajian melaporkan bahawa tidak ada wanita yang mengalami kehilangan darah selepas bersalin lebih dari 500 mL.

Kami tidak pasti mengenai kepuasan penyedia dengan prosedur (ditakrifkan sebagai persepsi mereka tentang melegakan kesakitan yang baik semasa prosedur), dan kepuasan wanita dengan prosedur tersebut (ditakrifkan sebagai persepsi mereka tentang melegakan kesakitan yang baik semasa prosedur).

Apakah maksudnya?

Kami menjumpai bukti yang tidak mencukupi untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan anestesia atau analgesia semasa penyingkiran plasenta kekal secara manual.

Terdapat keperluan untuk kajian terkawal rawak yang direka dengan lebih baik, yang melaporkan hasil penting seperti yang digariskan dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save