Ivabradine sebagai rawatan tambahan untuk kegagalan jantung kronik

Apakah tujuan ulasan ini?

Kami menyiasat kesan ivabradine (sama ada sebagai rawatan jangka pendek (<6 bulan) atau rawatan jangka panjang (≥ 6 bulan) pada orang yang mengalami kegagalan jantung dan pecahan ejeksi yang dipelihara (HFpEF, pecahan ejeksi ventrikel kiri 50% atau lebih tinggi) atau berkurang (HFrEF, pecahan ejeksi ventrikel kiri kurang daripada 40%).

Mesej utama

Kami mendapati bahawa pengambilan ivabradine jangka panjang tidak mempengaruhi kematian yang berakibat daripada sebab kardiovaskular pada orang dengan HFrEF. Kami juga mendapati bahawa tidak ada perbezaan antara penggunaan ivabradine jangka panjang dan plasebo (rawatan palsu), rawatan biasa, atau tidak ada rawatan dalam kadar kejadian buruk yang serius pada orang dengan HFrEF.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kegagalan jantung adalah keadaan biasa yang berlaku apabila otot jantung terlalu lemah untuk mengepam darah dengan mencukupi ke badan, yang menyebabkan gejala seperti sesak nafas, keletihan, bengkak kaki, dan keupayaan bersenam yang terhad. Kira-kira separuh daripada orang yang mengalami kegagalan jantung meninggal dunia dalam tempoh lima tahun selepas didiagnosis. Beberapa ubat diketahui berkesan untuk merawat kegagalan jantung; namun, kami ingin mengetahui jika ivabradine dapat meningkatkan kelangsungan hidup. Tujuh kajian berfokus pada rawatan jangka pendek (<6 bulan) dengan ivabradine, dan sebelas kajian berfokus pada rawatan jangka panjang (≥ 6 bulan) dengan ivabradine. Satu kajian tidak memberikan maklumat mengenai tempoh pemberian ivabradine.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 19 kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang menyiasat penggunaan ivabradine dengan sejumlah 19,628 peserta. Sebelas kajian berfokus pada HFrEF, tiga kajian mengenai HFpEF, dan satu kajian mengenai kegagalan jantung dengan pecahan ejeksi pertengahan (HFmrEF); tidak ada perincian mengenai kegagalan jantung dalam baki kajian.

Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information