Jantung mekanikal mengepam untuk membantu jantung yang gagal secara tiba-tiba

Latar belakang

Keadaan-keadaan yang menghalang jantung mengepam dengan berkesan tetap menjadi penyebab utama kematian di peringkat global. Serangan jantung adalah keadaan yang paling kerap berlaku yang menyebabkan jantung gagal mengepam (disebut sebagai renjatan kardiogenik), tetapi penyebab-penyebab lain juga wujud seperti jangkitan virus, penyakit injap jantung dan masalah dengan otot. Apabila otot jantung telah rosak secara meluassehingga ia tidak lagi dapat mengepam secara efektif fungsi harus diperbaiki atau kerosakan organ dan kematian akan berlaku. Walaupun dengan rawatan terbaik yang kita ada pada masa kini, risiko kematian adalah sangat tinggi. Alat bantuan mekanikal yang dapat membantu jantung mengepam dengan lebih berkesan telah dibangunkan sehingga jantung dapat pulih daripada kecederaan.

Walau bagaimanapun, bukti untuk rawatan ini adalah kurang dan tujuan tinjauan ini adalah untuk menilai sama ada alatan ini mampu membantu lebih ramai orang untuk terus hidup. Kami telah menilai ujian kawalan secara rawak (kajian klinikal di mana individu-individu secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) di mana alat-alat ini digunakan untuk membandingkan hasil individu-individu ini dengan mereka yang tidak menerima alat dan menerima rawatan perubatan yang terbaik (dengan ubat-ubatan untuk membantu jantung mengepam).

Hasil kajian

Bukti adalah terkini sehingga 25 November 2019.

Kami telah mengenal pasti lima kajian yang telah menyertakan 162 individu dalam keadaan renjatan kerana kegagalan jantung mereka. Individu-individu ini secara rawak telah menggunakan alat bantuan mekanikal dengan amalan pengurusan terbaik terkini atau pengurusan terkini perubatan terbaik semasa sahaja (yang merangkumi ubat-ubatan untuk membantu jantung mengepam dengan lebih berkesan).

Kualiti bukti adalah sangat rendah, kerana kesukaran dalam mengira faktor berat sebelah (seseorang tidak dapat menyembunyikan fakta bahawa seseorang menerima alat bantuan mekanikal, kesukaran untuk melibatkan peserta, mendapatkan persetujuan rasmi ketika seseorang hampir mati, dan variasi protokol mengenai tetapan masa alatan dan jenis alatan yang digunakan).

Daripada data tersebut, ada sedikit atau tidak ada kesan terhadap kelangsungan hidup pada hari yang ke-30 jika alat digunakan bersama dengan pengurusan perubatan terbaik semasa atau pengurusan perubatan terbaik terkini sahaja. Walau bagaimanapun, kami kurang pasti tentang dapatan-dapatan ini.

Komplikasi seperti sepsis, fenomena tromboembolik, pendarahan dan kejadian gangguan kardiovaskular yang teruk, tidak jarang berlaku dalam kedua-dua MAD dan kumpulan kawalan dalam kajian-kajian yang telah dilakukan, tetapi kejadian-kejadian ini tidak dapat disatukan kerana definisi kejadian dan laporan yang telah dilakukan adalah tidak konsisten.

Kini terdapat empat kajian yang masih berjalan. Mereka sedang menilai jika mereka dapat meningkatkan hasil kajian dengan memilih individu-individu yang berkemungkinan besar akan mendapat manfaat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tinjauan ini tidak dapat menilai sama ada alat bantuan mekanikal membantu orang yang mengalami renjatan kardiogenik kerana jantung menunjukkan gejala kegagalan jantung. Kami masih menunggu hasil kajian-kajian yang masih berjalan, di mana kami jangkakan akan membantu menjelaskan sama ada alatan ini akan membantu individu terus hidup dengan pemulihan sepenuhnya atau tidak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save