Intervensi untuk lymphangioma orbit

Apakah matlamat ulasan ini?
Kami merancang ulasan Cochrane ini untuk menganalisa keberkesanan, kadar berulang, dan kesan sampingan dari empat intervensi utama yang digunakan untuk merawat lymphangioma orbit termasuk: pemerhatian (melihat tanpa intervensi sehingga lymphangioma boleh menyebabkan masalah seperti kekurangan penglihatan atau ketidakupayaan untuk menutup mata); scleroterapi (suntikan ke dalam luka supaya luka menjadi lebih kecil); ubat-ubatan yang diambil melalui mulut; dan pembedahan. Matlamatnya adalah untuk membuktikan keberkesanan relatif rawatan yang diukur dengan penambahbaikan gejala (seperti kelopak mata atau pembengkakan), penurunan saiz barah, dan peningkatan kualiti hidup.

Mesej utama
Pada masa ini, tiada kajian rawak terkawal yang layak (RCTs) yang membandingkan pilihan rawatan untuk lymphangioma orbit. Oleh itu, keberkesanan, kadar kambuh penyakit, dan kesan sampingan daripada empat intervensi utama yang digunakan untuk merawat lymphangioma orbit masih tidak menentu.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Lymphangioma adalah kecacatan setempat sistem vaskular dan limfa yang paling biasa berlaku di bahagian kepala dan leher kanak-kanak. Lymphangioma orbit (soket mata) biasanya didapati pada kanak-kanak 16 tahun ke bawah dengan ptosis (kelopak mata), bengkak di sekitar kawasan mata, atau pendarahan barah dari kecederaan kecil. Orang yang mempunyai keadaan ini juga mempunyai gejala lain seperti kecacatan kosmetik, proptosis (penonjolan mata), sekatan pergerakan mata (mata yang kelihatan seperti bergerak-gerak dan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan pada kanak-kanak), pemampatan saraf optik (sejenis kehilangan penglihatan), dan amblyopia (satu lagi jenis kehilangan penglihatan) pada kanak-kanak. Disebabkan komplikasi ini yang mengancam penglihatan, rawatan awal dan berkesan adalah penting untuk mencegah kecacatan kosmetik, sakit, dan kecacatan visual.

Lymphangioma orbital terkenal dengan kesukaran rawatan kerana berdekatan dengan mata dan struktur penting dalam soket mata, yang kesemuanya perlu untuk penglihatan yang baik. Jenis rawatan juga bergantung kepada saiz lymphangioma, jenis sista, dan lokasinya. Satu pilihan adalah dipanggil pemerhatian. Ini bermakna memerhati pesakit tanpa melakukan apa-apa rawatan. Ini kerana sesetengah barah adalah kecil atau di lokasi yang sukar dijangkau dan tidak mengancam penglihatan. Ini mungkin pilihan yang baik kerana setiap pilihan rawatan mempunyai risiko kesan sampingan. Contohnya, pembedahan boleh merosakkan struktur berhampiran, sementara ubat-ubatan yang dimakan boleh menyebabkan demam, cirit-birit, sakit kepala, dan tekanan darah tinggi, selain masalah-masalah yang lain. Pilihan pembedahan biasanya ditangguh sehingga ia sangat diperlukan kerana terdapat kadar yang tinggi untuk ia berulang. Selain itu, terdapat risiko tinggi terhadap tisu sekitar (seperti mata, saraf optik, otot mata), dan kesulitan untuk mengeluarkan keseluruhan barah. Di samping pemerhatian dan pembedahan, pilihan rawatan lain adalah menyuntik agen yang dipanggil sclerosant ke dalam barah dengan matlamat mengurangkan saiz barah tersebut. Akhir sekali, dalam barah yang sukar untuk diakses melalui pembedahan atau suntikan, ubat yang dimakan (dipanggil 'ubatan sistemik') juga telah digunakan untuk mengurangkan saiz dan gejala. Matlamat terapi ini adalah untuk mengurangkan kecacatan kosmetik dan kesakitan yang disebabkan oleh barah ini, selain mengelakkan komplikasi yang mengancam penglihatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Pencarian litratur dan penyelidikan terkini mengenai topik ini menjumpai 5258 artikel jurnal tetapi tidak ada RCT yang membandingkan dua jenis rawatan lymphangioma orbit dijumpai. Oleh itu, tidak ada kesimpulan tentang keberkesanan empat intervensi yang menarik untuk merawat pesakit yang mempunyai lymphangioma orbit. Adalah jelas dari ulasan ini bahawa kajian lanjut diperlukan untuk membahagi peserta dengan pelbagai jenis rawatan secara rawak. Nota: terdapat satu kajian yang sedang berlangsung yang mungkin boleh memenuhi kriteria ini. Kajian ini dijangka selesai pada tahun 2021.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskinikan?
Penulis ulasan ini mencari kajian yang diterbitkan sehingga 22 Mei 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save