Rekonstruksi Roux-en-Y berbanding Billroth-I selepas pembedahan untuk barah gastrik

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti kesan rekonstruksi Roux-en-Y berbanding dengan Billroth-I selepas pembedahan untuk barah gastrik. Kami telah menemui lapan kajian.

Latar belakang

Barah gastrik (perut) adalah salah satu kanser yang paling lazim di dunia. Pada masa ini, kadar pengesanan awal barah gastrik dan teknologi rawatan telah bertambah baik. Akibatnya, pesakit dapat hidup lebih lama selepas pembedahan, dan kepentingan kualiti hidup setelah pembedahan telah dibincangkan. Billroth-I dan Roux-en-Y adalah kedua-duanya pilihan untuk rekonstruksi peyambungan sistem gastrointestinal selepas gastrektomi distal (membuang bahagian bawah perut).

Walau bagaimanapun, tidak ada piawaian bagi memilih prosedur rekonstruktif; garis panduan tidak menerangkan prosedur mana yang harus menjadi keutamaan. Oleh itu, penting untuk melakukan ulasan bukti yang ada bagi membantu mereka yang akan dibedah, pakar bedah, doktor, kakitangan perubatan, dan pembuat dasar membuat keputusan yang terbaik.

Ciri-ciri kajian

Bukti terkini sehingga 4 Mei 2021.

Kami mengenal pasti lapan kajian yang melibatkan 942 peserta dengan barah gastrik dan menjalani gastrektomi distal. Kajian-kajian tersebut dijalankan di empat buah negara. Satu kajian merangkumi pesakit barah dan pesakit dengan penyakit lain (seperti ulser perut). Dua kajian membandingkan rekonstruksi Roux-en-Y, Billroth-I, dan Billroth-II, sementara kajian lain membandingkan Roux-en-Y dan Billroth-I secara langsung. Bagi pendekatan pembedahan, pembedahan terbuka atau laparoskopi (lubang kunci), atau kedua-duanya digunakan dalam semua kajian; pembedahan robot tidak digunakan. Enam skala yang berbeza digunakan untuk mengukur kualiti hidup.

Keputusan utama

Bukti menunjukkan bahawa rekonstruksi Roux-en-Y mungkin menghasilkan sedikit atau tidak ada perbezaan pada kualiti hidup 12 bulan setelah pembedahan. Walau bagaimanapun, penemuan ini mesti ditafsirkan dengan berhati-hati kerana penyelidik kajian mengukur kualiti hidup dengan cara yang berbeza. Bukti adalah sangat tidak pasti untuk kesan intervensi terhadap kebocoran melalui sambungan yang dibuat semula (kebocoran anastomotik).

Rekonstruksi Billroth-I mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan bagi penurunan berat badan; mungkin meningkatkan refluks hempedu ke bahagian perut yang masih ada; dan mungkin boleh mengurangkan komplikasi keseluruhan selepas pembedahan berbanding dengan rekonstruksi Roux-en-Y. Bukti sangat tidak pasti mengenai kesan prosedur terhadap tempoh rawatan di hospital.

Kepastian bukti

Kepastian bukti bagi kualiti hidup adalah rendah kerana keterbatasan terhadap bagaimana kajian dirancang dan dijalankan, dan kerana tiada kajian yang cukup untuk memastikan keputusan bagi hasil tersebut. Kepastian tentang bukti untuk keputusan-keputusan lain adalah sangat rendah hingga sederhana. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk melihat kesan kaedah rekonstruksi untuk jangka masa yang lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information