Intervensi perubatan untuk keradangan hidung kronik dan sinus dalam fibrosis sistik

Soalan ulasan

Apakah kesan intervensi perubatan untuk rhinosinusitis kronik pada pesakit fibrosis sistik?

Latar belakang

Rhinosinusitis kronik adalah jangkitan jangka panjang dan keradangan rongga hidung serta ruang udara di sekitar mata dan hidung. Fibrosis sistik adalah keadaan genetik yang membuat rembesan dalam badan menjadi tebal, dan juga stagnan. Apabila ini berlaku di dalam dan sekitar hidung, ia menyebabkan rhinosinusitis kronik. Penjagaan yang lebih baik untuk pesakit fibrosis sistik telah menyebabkan mereka hidup lebih lama, meningkatkan peluang untuk menjadi rhinosinusitis kronik. Intervensi awal dan berkesan dengan antibiotik, steroid, ubat-ubatan yang menipiskan mukus (contohnya dornase alfa) dan ubat-ubatan untuk memperbaiki fungsi saluran membran sel (modulator CFTR) dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dan mencegah kejadian penyakit saluran bawah laluan udara. Pada masa ini, tiada garis panduan berdasarkan kajian-kajian untuk mengetahui cara terbaik untuk merawat rhinosinusitis kronik dalam pesakit fibrosis sistik.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 09 September 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak menjumpai kajian dalam carian kami yang menepati kriteria kemasukan kami. Kami telah menyenaraikan 12 percubaan sebagai dikecualikan dan satu percubaan sedang berjalan dalam ulasan semasa.

Keputusan utama

Walaupun rhinosinusitis kronik adalah biasa dalam kalangan pesakit fibrosis sistik, tidak terdapat bukti yang mencukupi tentang pengurusannya. Ulasan ini menyerlahkan keperluan untuk kajian yang direka dengan baik menilai rawatan yang terbaik untuk menguruskan rinosinusitis kronik, mencegah penyakit saluran pernafasan yang lebih rendah dan meningkatkan kualiti hidup pada penghidap cystic fibrosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information