Menggunakan teknologi mudah alih untuk mempromosi komunikasi dan pengurusan penjagaan di antara profesional penjagaan kesihatan

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami ingin tahu jika pekerja penjagaan kesihatan yang menggunakan perkhidmatan mHealth melalui telefon bimbit mereka atau peranti mudah alih lain untuk berkomunikasi dengan pekerja penjagaan kesihatan lain memberi akses lebih cepat kepada penjagaan kesihatan dan memperbaik hasil kesihatan pesakit. Kami mengumpul dan menganalisis semua penyelidikan yang relevan dan menemui 19 kajian.

Mesej utama

Teknologi mudah alih mungkin mengurangkan sedikit masa untuk menyampaikan penjagaan kesihatan, serta bilangan temu janji bersemuka, apabila dibandingkan dengan penjagaan biasa, dan mungkin meningkatkan bilangan orang yang mendapat pemeriksaan klinikal untuk beberapa keadaan, termasuk pemeriksaan mata untuk orang dengan diabetes. Teknologi mudah alih mungkin memberi sedikit atau tiada impak terhadap kepuasan, status kesihatan atau kesejahteraan pekerja penjagaan kesihatan dan para peserta.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Ramai pekerja penjagaan kesihatan bekerja bersendirian atau mempunyai sedikit akses kepada rakan sekerja dan pakar. Ini adalah masalah lazim untuk pekerja penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar atau negara berpendapatan rendah.

Satu kemungkinan penyelesaian untuk masalah ini adalah menawarkan pekerja penjagaan kesihatan nasihat dan sokongan melalui teknologi mudah alih yang membolehkan pekerja penjagaan kesihatan mendapatkan bantuan dari rakan sekerja yang tidak berada di tempat yang sama. Contohnya, pekerja penjagaan kesihatan boleh menghubungi pakar atau rakan sekerja yang lebih berpengalaman melalui telefon atau Internet. Pekerja penjagaan kesihatan juga boleh mengguna telefon bimbit mereka atau peranti mudah alih lain seperti tablet. Oleh kerana lebih ramai pekerja penjagaan kesihatan menggunakan telefon bimbit dan peranti lain sebagai sebahagian daripada pekerjaan mereka, ini boleh memudahkan mereka menggunakan perkhidmatan mHealth.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 19 kajian yang relevan, yang menyertakan lebih 5766 orang yang memerlukan penjagaan kesihatan. Enam belas kajian adalah dari negara berpendapatan tinggi. Dua kajian melaporkan masalah teknikal, melaporkan beberapa kesukaran.

Apabila pekerja penjagaan kesihatan primer mengguna teknologi mudah alih untuk berunding dengan pakar hospital, mereka:

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan sama ada garis panduan diikuti untuk orang dengan penyakit buah pinggang kronik, atau kepada status kesihatan atau kualiti hidup orang dengan psoriasis.

- mungkin meningkatkan kecenderungan untuk saringan retinopati bagi orang dengan diabetes, atau menerima ultrasound jika dirujuk dengan simptom, dan mungkin mengurangkan rujukan atau lawatan ke klinik untuk orang dengan keadaan kulit atau dirujuk untuk susulan klinik bagi masalah kesihatan yang berbeza.

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kepuasan pekerja penjagaan kesihatan atau pesakit, atau kepada kos untuk menyampaikan penjagaan kesihatan.

Apabila doktor kecemasan menggunakan teknologi mudah alih untuk berunding dengan pakar hospital:

- pesakit mungkin diurus lebih cepat sedikit.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat kesan teknologi mudah alih terhadap doktor kecemasan mengikuti garis panduan, kesihatan dan kesejahteraan pesakit, kepuasan pekerja penjagaan kesihatan atau pesakit, atau kos.

Apabila pekerja kesihatan komuniti atau pekerja penjagaan di rumah menggunakan teknologi mudah alih untuk berunding dengan kakitangan klinik, mereka:

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada berapa kali orang dengan ulser kaki berkaitan diabetes baru perlu berjumpa dengan jururawat, atau orang tua yang menggunakan tiub pemakanan perlu berjumpa jururawat atau pergi ke hospital.

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang hidup dengan HIV atau diabetes yang mati; dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada status kesihatan atau kualiti hidup orang dengan artritis reumatoid.

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kepuasan orang dengan diabetes atau artritis reumatoid.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat kesan teknologi mudah alih terhadap sama ada pekerja kesihatan komuniti mengikuti garis panduan, berapa cepat orang menerima rawatan, kepuasan pekerja penjagaan kesihatan, kos, atau kesukaran teknikal.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian sehingga 22 Julai 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save