Rejimen rawatan yang lebih pendek untuk orang yang mempunyai tuberkulosis paru-paru

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada tempoh rawatan anti-tuberkulosis (ATT) bagi orang yang mengalami tuberkulosis pulmonari sensitif pada ubat yang baru didiagnosis dapat dikurangkan kepada kurang dari enam bulan. Penulis ulasan Cochrane mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan mendapati lima kajian yang berkaitan.

Mesej-mesej utama

Rejimen ATT yang dipendekkan mungkin menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kematian, kegagalan rawatan, atau kejadian buruk yang serius berbanding dengan rejimen ATT enam bulan, tetapi mereka mungkin meningkatkan kekambuhan tuberkulosis. Enam kajian besar sedang mengkaji soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Tuberkulosis adalah penyakit berjangkit, dan tuberkulosis yang memberi kesan kepada paru-paru (tuberkulosis pulmonari) adalah penyampaian tuberkulosis yang paling biasa pada orang dewasa. Tuberkulosis adalah masalah kesihatan awam utama di seluruh dunia, dan di kalangan penyakit berjangkit, ia adalah penyebab utama kematian.

Orang yang mempunyai tuberkulosis pulmonari kini dirawat dengan ubat gabungan enam bulan termasuk isoniazid, rifampicin, ethambutol, dan pyrazinamide selama dua bulan, diikuti oleh isoniazid dan rifampicin (dengan atau tanpa ethambutol) selama empat bulan. Ramai orang tidak menyelesaikan rawatan atau mereka mengambil ubat secara tidak teratur kerana tempoh rawatan yang panjang, atau kerana kesan sampingan ubat. Rawatan yang tidak lengkap atau tidak teratur boleh menyebabkan kegagalan rawatan dan boleh meningkatkan penyakit berulang. Rawatan tersebut juga boleh menyebabkan rintangan ubat. Jika kombinasi ubat baru yang diberikan kurang dari enam bulan didapati berkesan dan selamat kerana rejimen ATT enam bulan yang disyorkan semasa ini, lebih banyak orang mungkin berpegang teguh dan mungkin menyelesaikan rawatan. Ini dapat membantu mengurangkan kerintangan ubat dan dapat membantu menghentikan jangkitan tuberkulosis di seluruh dunia.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Lima kajian itu melibatkan 5825 orang dewasa dengan tuberkulosis pulmonari yang sensitif ubat yang baru didiagnosis dari 14 buah negara dengan jangkitan tuberkulosis yang tinggi di Asia, Afrika, dan Amerika Latin. Tiga kajian termasuk 572 orang yang HIV positif, tetapi semua mengecualikan orang yang mempunyai penyakit serius yang lain dan mereka yang mempunyai diabetes mellitus. Ini mengurangkan kebolehgunaan hasil kajian. Semua dibiayai oleh agensi kerajaan atau antarabangsa.

Empat kajian menggantikan isoniazid atau ethambutol dengan moxifloxacin atau gatifloxacin dalam rejimen ATT empat bulan. Susulan dijalankan selama 12 bulan hingga 24 bulan selepas selesai rawatan. Dalam satu kajian yang berterusan, moxifloxacin telah ditambahkan kepada ATT selama empat bulan, tetapi penulis kajian hanya memberikan hasil interim.

Ulasan ini menunjukkan yang berikut apabila rejimen ATT empat bulan dibandingkan dengan rejimen ATT enam bulan yang standard.

• Ulangan penyakit selepas rawatan yang berjaya mungkin meningkat (kepastian bukti sederhana).
• Kematian dari sebarang sebab, kegagalan rawatan, dan peristiwa buruk yang serius mungkin sedikit atau tidak berbeza (kepastian bukti sederhana).
• Kerintangan ubat tidak boleh ditingkatkan dengan rejimen empat bulan yang mengandung moxifloxacin (kepastian bukti rendah), tetapi kami tidak pasti sama ada ini terpakai kepada rejimen yang mengandungi gatifloxacin (kepastian bukti yang sangat rendah).

Adakah ulasan ini terkini?

Pengarang-pengarang ulasan telah mencari kajian yang ada sehingga 10 Julai 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information