Nifedipine untuk dismenorea primer (sakit haid)

Soalan ulasan

Adakah nifedipine selamat dan berkesan untuk melegakan kesakitan yang berkaitan dengan dismenorea primer (juga dikenali sebagai sakit haid atau senggugut)?

Latar belakang

Dismenorea primer ialah sakit yang berkaitan dengan menstruasi (haid) akibat kekejangan rahim. Ia adalah keadaan biasa pada wanita dalam usia reproduktif, dan boleh memberi kesan yang ketara kepada aktiviti biasa. Nifedipine adalah ubat yang berkesan untuk memperlahankan pengecutan rahim pada wanita hamil dengan kelahiran pramatang. Ulasan ini membincangkan sama ada nifedipine juga membantu melegakan pengecutan rahim semasa haid.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai tiga kajian rawak terkawal (eksperimen yang mana setiap orang mempunyai peluang yang sama dipilih untuk menerima rawatan atau pembanding). Mereka membandingkan penggunaan nifedipine dengan plasebo (pil dummy) untuk dismenorea primer. Seramai 106 wanita dirangkumkan ke dalam kajian tersebut; namun hanya maklumat daripada dua kajian yang mengandungi sejumlah 66 wanita boleh dimasukkan untuk dianalisis. Dalam salah satu kajian ini, rawak sangat tidak seimbang antara kumpulan: hanya lima wanita menerima plasebo manakala 19 menerima nifedipine. Pencarian kajian kami telah dilakukan pada 31 Januari 2019, dan diulang pada 5 Jun 2020 dan 25 November 2021. Satu kajian dikenal pasti melalui perbincangan dengan rakan sekerja.

Hasil utama

Secara keseluruhan kami tidak pasti keberkesanan nifedipine untuk melegakan kesakitan dalam dismenorea primer. Nifedipine mungkin berkesan untuk melegakan kesakitan secara keseluruhan, dan untuk mendapatkan subset untuk melegakan kesakitan “baik” atau “cemerlang”. Perhatian diperlukan dalam membuat kesimpulan kerana analisis adalah berdasarkan jumlah peserta yang sangat rendah. Dalam kajian di mana soalan itu ditanya, wanita yang menerima nifedipine lebih suka untuk meneruskan pengambilan ubat untuk kitaran masa depan daripada wanita yang mengambil plasebo (12/19 wanita mengambil nifedipine, berbanding 0/5 wanita mengambil plasebo). Dalam satu kajian, peserta yang mengambil nifedipine yang biasanya dipengaruhi teruk oleh haid mempunyai peningkatan yang ketara dalam menjalankan aktiviti harian berbanding dengan mereka yang diberikan plasebo. Dalam kedua-dua percubaan di mana kesan buruk dinilai, terdapat kadar simptom fizikal buruk yang tinggi dan serupa yang dikaitkan dengan haid pada wanita yang mengambil nifedipine dan mereka yang mengambil plasebo.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah. Secara umumnya terdapat pelaporan kaedah kajian yang tidak mencukupi, dan satu kajian tidak melaporkan keputusan dalam cara yang boleh dianalisis. Keputusan untuk analisis diambil daripada dua kajian sahaja, yang merangkumi sejumlah 66 wanita, salah satu daripadanya mempunyai rawak yang tidak seimbang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information