Kaedah untuk penggalak tidur pada kanak-kanak dan orang muda di hospital tanpa menggunakan ubat-ubatan (bukan ubatan)

Mesej utama

Pengulas tidak pasti keberkesanan kaedah penggalak tidur bukan ubatan untuk kanak-kanak dan orang muda di hospital.

Kajian yang menggunakan kaedah penyelidikan yang mapan dan boleh dipercayai diperlukan untuk menyiasat penggalak tidur bukan ubatan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda yang dimasukkan ke hospital, untuk mengenal pasti kaedah yang berkesan.

Mengapa tidur penting untuk kanak-kanak di hospital?

Tidur adalah bahagian penting dalam perkembangan kanak-kanak yang sihat dan membantu mengekalkan kesihatan kanak-kanak. Corak tidur berubah sepanjang zaman kanak-kanak, apabila otak kanak-kanak berkembang. Apabila kanak-kanak sakit dan dirawat di hospital, tidur mereka mungkin tidak berkualiti, atau terganggu oleh bunyi bising dan cahaya yang berterusan, rawatan perubatan, pemantauan oleh jururawat, stres dan kesakitan.

Walaupun ubat-ubatan boleh digunakan untuk cuba memperbaiki tidur pada kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital, kajian menunjukkan ia tidak berfungsi dengan baik, dan boleh memburukkan kualiti tidur. Sebaliknya, cara bukan ubatan untuk menggalakkan tidur boleh digunakan. Cara ini boleh termasuk perubahan pada persekitaran hospital, muzik, urutan atau kaedah lain.

Apakah yang pengulas ingin tahu?

Pengulas ingin mengetahui sama ada cara bukan ubatan untuk cuba memperbaiki tidur berfungsi lebih baik daripada penjagaan biasa atau kaedah lain dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital.

Pengulas ingin melihat sejauh mana kaedah berbeza ini berfungsi:

- kualiti dan kuantiti tidur kanak-kanak;

- kepuasan kanak-kanak dan ibu bapa;

- tempoh masa yang pernafasan dibantu oleh ventilator (sokongan ventilator);

- delirium;

- keberkesanan kos;

- tempoh penginapan hospital;

- kematian;

Pengulas juga ingin mengetahui sama ada kaedah bukan ubatan dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah pengulas lakukan?

Pengulas mencari kajian yang membandingkan kaedah bukan ubatan untuk memperbaiki tidur dengan penjagaan biasa, atau kaedah lain pada kanak-kanak di hospital.

Pengulas telah membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan mereka terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah pengulas temui?

Pengulas menemui 10 kajian dari tiga negara, yang melibatkan 528 kanak-kanak dan orang muda (berumur dari 4 hingga 22 tahun). Lapan kajian dibiayai oleh pertubuhan tidak berasaskan keuntungan atau sumber kerajaan.

Semua kanak-kanak dan orang muda telah tinggal di hospital selama lebih daripada 48 jam di wad biasa, atau di unit rawatan rapi kanak-kanak. Kaedah yang digunakan untuk cuba memperbaiki tidur termasuk intervensi tingkah laku (relaksasi, termasuk muzik, membaca, dan masa tenang; terapi sentuhan dan urutan), dan intervensi aktiviti fizikal.

Terdapat banyak perbezaan antara kajian dari segi peserta, kaedah yang digunakan untuk mengukur kuantiti dan kualiti tidur, dan cara keputusan dianalisis. Akibatnya, pengulas tidak dapat menggabungkan penemuan kajian yang menyiasat kaedah yang serupa; sebaliknya, pengulas menyediakan ringkasan deskriptif.

Intervensi tingkah laku

Kajian yang menggabungkan kaedah relaksasi mendapati bahawa ini mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan pada jumlah atau kualiti tidur berbanding penjagaan biasa.

Terapi sentuhan boleh meningkatkan jumlah masa tidur dan kualiti tidur pada kanak-kanak yang melecur. Urutan dan bercerita sebelum tidur juga boleh meningkatkan tidur. Walau bagaimanapun, pengulas hanya mempunyai sedikit keyakinan terhadap keputusan ini, kerana perbezaan dalam populasi kajian dan kaedah pengukuran yang mereka gunakan.

Kanak-kanak dan ibu bapa mungkin berpuas hati dengan kaedah urutan dan relaksasi berbilang komponen untuk memperbaiki tidur. Walau bagaimanapun, pengulas tidak yakin tentang keputusan ini, kerana peserta dalam kajian mengetahui kaedah penambahbaikan tidur yang mereka terima, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk pengulas memastikan keputusan mereka.

Pengulas tidak mengenal pasti sebarang kajian yang melaporkan tempoh sokongan ventilator,delirium, keberkesanan kos, tempoh tinggal di hospital atau kematian.

Intervensi aktiviti fizikal

Satu kajian menunjukkan bahawa penggunaan basikal pegun (bersenam) untuk memperbaiki tidur mungkin tidak meningkatkan jumlah masa tidur atau kualiti tidur berbanding penjagaan biasa. Satu lagi kajian menyiasat sama ada permainan yang teratur meningkatkan tidur; kajian ini mendapati keputusan yang tidak konsisten untuk lelaki dan perempuan, dan untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur yang berbeza. Tiada kajian menilai kepuasan kanak-kanak atau ibu bapa, keberkesanan kos, delirium, tempoh sokongan ventilator, tempoh tinggal di hospital atau kematian.

Apakah batasan bukti yang disertakan?

Pengulas tidak dapat mengenal pasti sebarang kajian yang melaporkan kesan intervensi pelengkap, seperti aromaterapi, akupresur atau akupunktur.

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian untuk sebarang intervensi yang melaporkan tempoh sokongan ventilator, kecelaruan, keberkesanan kos, tempoh tinggal di hospital atau kematian.

Pengulas tidak yakin dengan mana-mana keputusan ini; ada kemungkinan keputusan ini akan berubah jika pengulas mempunyai lebih banyak bukti.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information