Pemanis tanpa nutrien untuk kencing manis

Soalan ulasan

Adakah pemanis tanpa nutrien bermanfaat atau merbahaya bagi pesakit yang mengalami penyakit kencing manis?

Latar belakang

Pemanis tanpa nutrien adalah agen pemanis yang mempunyai intensiti pemanis yang lebih tinggi dan kandungan kalori yang lebih rendah per gram berbanding dengan pemanis kalori seperti sukrosa atau sirap jagung. Orang umum dan pesakit diabetes menggunakan pemanis tanpa nutrien sebagai pengganti pemanis kalori untuk mengawal pengambilan karbohidrat dan tenaga mereka. Sebilangan besar pemanis tanpa nutrien yang diluluskan untuk penggunaan manusia adalah sintetik (pemanis buatan); namun, semakin banyak pemanis semula jadi tanpa kalori wujud untuk penggunaan manusia. Produk dengan pemanis tanpa nutrien wujud secara meleluasa di pasaran: minuman diet, yogurt diet dan gula-gula getah adalah produk yang paling biasa mengandungi pemanis tanpa nutrien. Pemanis tanpa nutrien juga boleh didapati sebagai pemanis yang diletak di atas meja untuk penggunaan seisi rumah tangga sebagai agen pemanis minuman dan waktu memasak makanan.

Hanya sedikit maklumat wujud mengenai kesihatan di kalangan orang yang menghidap kencing manis melalui penggunaan pemanis tanpa nutrien yang semakin meningkat. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan pemanis tanpa nutrien bagi orang yang menghidap kencing manis mempunyai kesan purata jangka panjang bagi tahap gula darah (hemoglobin glikosilasi A1c- HbA1c), berat badan, kesan sampingan, komplikasi diabetes (seperti serangan jantung, penyakit mata atau penyakit buah pinggang), dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui sembilan kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditugaskan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan dengan menggunakan kaedah rawak) yang memperuntukkan penghidap diabetes kepada kumpulan yang menerima pemanis tanpa nutrien atau kumpulan pembanding. Pembanding adalah diet biasa dengan gula tambahan dalam tiga kajian; plasebo (pil ‘dummy’) dalam lima kajian; dan tagatose (pemanis berkalori rendah berkhasiat) dalam satu kajian. Kajian merangkumi sejumlah 979 peserta; kebanyakan kajian adalah kecil, kurang daripada 100 peserta. Tempoh kajian berbeza dari 4 sehingga 10 bulan.

Bukti ini adalah terkini sehingga Mei 2019.

Keputusan utama

Data mengenai kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, komplikasi diabetes, kematian akibat sebarang sebab, dan kesan sosioekonomi (seperti ketiadaan kerja, lawatan ke pengamal perubatan am, pengambilan ubat) adalah kurang, dan data secara umumnya jarang untuk semua perbandingan. Data yang ada tidak menunjukkan perbezaan yang jelas antara pemanis tanpa nutrisi dan gula, plasebo, atau pemanis nutrisi kalori rendah tagatosa untuk HbA1c, berat badan, dan kesan sampingan.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian keseluruhan bukti sebagai sangat rendah, terutamanya disebabkan oleh sebilangan kecil kajian yang terlibat dan peserta dan metodologi kajian yang disertakan dalam kajian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information