PET 18F dengan flutemetamol untuk diagnosis awal dementia penyakit Alzheimer dan dementia lain dalam kalangan orang dengan ketakmampuan kognitif ringan (MCI)

Soalan ulasan: Dalam kalangan orang dengan ketakmampuan kognitif ringan (MCI), adakah menggunakan imbasan PET 18F dengan flutemetamol meramalkan progressi kepada dementia penyakit Alzheimer (ADD) dan dementia lain?

Latar belakang
Akibat penuaan global, bilangan orang dengan dementia dijangka meningkat secara dramatik dalam beberapa dekad akan datang. Mendiagnosis dementia pada tahap awal adalah wajar, tetapi tiada persetujuan meluas mengenai pendekatan terbaik. Pelbagai ujian mudah pen dan kertas digunakan oleh profesional penjagaan kesihatan dapat menilai orang dengan memori yang lemah atau ketakmampuan kognitif. Sama ada atau tidak menggunakan imbasan PET khas yang mengesan amyloid — salah satu ciri penyakit Alzheimer —meningkatkan keupayaan kita untuk meramalkan progressi dari MCI ke ADD atau bentuk dementia lain masih tidak jelas. Oleh kerana ujian-ujian ini mahal, adalah penting ia memberi manfaat tambahan.

Matlamat

Kami ingin menilai ketepatan imbasan PET 18F-flutemetamol dalam mengenal pasti orang dengan MCI yang secara klinikal progressi ke ADD, jenis dementia lain, atau sebarang bentuk dementia untuk sesuatu tempoh masa.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2017. Kami menemui dua kajian yang menilai progressi dari MCI hingga ADD. Kajian-kajian tersebut melibatkan 252 peserta MCI yang layak, dengan 243 peserta yang telah mengikuti lawatan susulan. Daripada jumlah ini, 127 adalah wanita. Purata umur dalam satu kajian dengan dua tahun susulan ialah 72.7 + 7.09 tahun. Dalam kajian satu lagi dengan tiga tahun susulan, purata umur ialah 71.1 + 8.62 tahun. Persekitaran dalam satu kajian adalah klinik memori.

Sumber pembiayaan kajian: kedua-dua kajian dibiayai oleh pengilang ujian.

Kualiti bukti

Batasan utama ulasan ini ialah penemuan kami berdasarkan hanya dua kajian, dengan butiran yang tidak mencukupi mengenai cara orang dipilih, cara tafsiran imbasan PET dibuat dalam satu kajian, cara diagnosis klinikal dementia ditentukan dalam kajian yang satu lagi. Kajian-kajian tersebut dianggap berisiko bias tinggi kerana potensi konflik kepentingan dikesan.

Penemuan utama

Dalam ulasan ini, kami mendapati imbasan PET 18F-flutemetamol , sebagai ujian tunggal, dalam satu kajian dengan 19 peserta termasuk 2 tahun susulan, mempunyai sensitiviti 89% dan spesifisiti 80%. Ini bermakna bahawa dalam kohort dengan 100 peserta MCI dan sebahagian progressi dalam kajian ini sebanyak 47%, kami menjangkakan 42 daripada 47 peserta MCI dengan keputusan positif untuk imbasan 18F-flutemetamol progressi kepada ADD, dan 5 orang peserta adalah positif palsu. Di samping itu, kami menjangkakan 42 daripada 53 peserta yang tidak akan progressi ke ADD untuk mendapatkan keputusan negatif untuk 18F-flutemetamol, dan 11 adalah palsu negatif.

Dalam kajian lain dengan 224 peserta yang terlibat dalam analisis dengan 3 tahun susulan, sensitiviti adalah 64% dan spesifisiti adalah 69%. Ini bermakna bahawa dalam kohort dengan 100 peserta MCI dan sebahagian daripada progressi dalam kajian ini sebanyak 36%, kami menjangkan 23 daripada 36 peserta MCI dengan keputusan positif untuk 18F-flutemetamol akan progressi kepada ADD, dan 13 peserta akan menjadi positif palsu. Di samping itu, kami menjangkakan 44 daripada 64 peserta yang tidak akan progressi ke ADD untuk mendapatkan keputusan negatif untuk 18F-flutemetamol, dan 20 adalah negatif palsu.

Tiada maklumat mengenai progressi dari MCI kepada bentuk dementia lain dan kepada sebarang bentuk dementia pada lawatan susulan.

Kami menyimpulkan imbasan PET 18F-flutemetamol tidak boleh disyorkan untuk kegunaan rutin dalam amalan klinikal untuk meramalkan progressi dari MCI ke ADD berdasarkan data sedia ada masa kini. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menunjukkan dengan jelas ia berguna.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save