Pengurusan bersepadu kes komuniti penyakit kanak-kanak di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai kesan pengurusan bersepadu kes komuniti (iCCM) bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Penulis ulasan mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui tujuh kajian.

Mesej utama

Apabila iCCM dibandingkan dengan perkhidmatan kemudahan yang biasa, ia mungkin meningkatkan jumlah ibu bapa yang mendapatkan rawatan daripada pekerja penjagaan kesihatan. Tetapi kami tidak tahu sama ada lebih ramai kanak-kanak mendapat rawatan yang betul, dan ia mungkin tidak berkesan terhadap bilangan kanak-kanak yang meninggal dunia.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Setiap tahun, lebih daripada lima juta kanak-kanak meninggal dunia sebelum berusia lima tahun. Sebilangan besar kanak-kanak ini tinggal di Afrika sub-Sahara atau Asia Tengah dan Selatan. Sebilangan besar kanak-kanak ini menderita penyakit berjangkit termasuk radang paru-paru dan cirit-birit; dan dari malaria dan kekurangan zat makanan. Dan ramai kanak-kanak mempunyai lebih daripada satu penyakit ini pada masa yang sama. Kanak-kanak ini tidak selalunya mendapat akses mudah untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Untuk mengatasi masalah ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan lain-lain telah menghasilkan pendekatan yang dikenali sebagai iCCM. iCCM memberi tumpuan kepada kanak-kanak berumur di bawah lima tahun yang tinggal di kawasan luar bandar dan sukar dijangkau. Mereka menerima perkhidmatan dari pekerja kesihatan awam yang berpusat di komuniti, di luar kemudahan penjagaan kesihatan.

Terdapat tiga komponen utama iCCM:

– Pekerja kesihatan awam dilatih untuk menilai kesihatan kanak-kanak, menyediakan perkhidmatan untuk penyakit kanak-kanak yang biasa dan merujuk kanak-kanak ke kemudahan penjagaan kesihatan jika perlu. (Pekerja kesihatan awam adalah orang awam yang telah menerima beberapa latihan untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan tetapi bukan profesional kesihatan.)

– Sistem disediakan untuk memastikan bahawa pekerja kesihatan awam memiliki akses yang baik untuk mendapatkan bekalan, mendapatkan pengawasan berkala dan dapat dengan mudah merujuk kanak-kanak ke kemudahan penjagaan kesihatan.

– Keluarga dan masyarakat menerima komunikasi dan maklumat mengenai amalan baik untuk kesihatan dan pemakanan.

Apa hasil utama ulasan ini?

Penulis ulasan menemui tujuh kajian yang relevan. Enam dari Afrika sub-Sahara dan satu dari Asia Selatan. Beberapa kajian membandingkan tetapan yang mempunyai iCCM dengan tetapan yang hanya mempunyai kemudahan penjagaan kesihatan yang biasa. Beberapa kajian lain membandingkan tetapan yang mempunyai iCCM dengan tetapan yang mempunyai kemudahan penjagaan kesihatan yang biasa dan juga pengurusan malaria berasaskan komuniti.

Apabila iCCM dibandingkan dengan perkhidmatan kemudahan yang biasa:

– Ia mungkin meningkatkan bilangan ibu bapa yang mendapatkan rawatan dari pekerja penjagaan kesihatan ketika anak mereka mempunyai penyakit kanak-kanak yang biasa.

– Kami tidak tahu sama ada lebih ramai kanak-kanak mendapatkan rawatan yang betul untuk penyakit kanak-kanak kerana kepastian bukti yang sangat rendah.

– Mungkin tidak ada kesan pada jumlah kematian bagi bayi yang baru lahir.

– Kami tidak tahu apa kesannya terhadap bilangan kematian bagi bayi dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

– Kami tidak tahu apa kesannya terhadap kualiti rawatan, kesan sampingan atau jumlah kanak-kanak yang hadir ke kemudahan penjagaan kesihatan kerana kajian-kajian ini tidak mengukurnya.

Apabila iCCM dibandingkan dengan perkhidmatan kemudahan yang biasa ditambah pengurusan malaria berasaskan komuniti:

– Ia mungkin tidak berkesan terhadap bilangan ibu bapa yang mendapatkan rawatan daripada pekerja penjagaan kesihatan ketika anak mereka mempunyai penyakit kanak-kanak yang biasa.

– Kami tidak tahu sama ada lebih ramai kanak-kanak mendapatkan rawatan yang betul untuk penyakit kanak-kanak kerana kepastian bukti yang sangat rendah.

– Kami tidak tahu apa kesannya terhadap bilangan kanak-kanak yang mati.

– Kami tidak tahu apa kesannya terhadap kualiti rawatan, kesan sampingan atau jumlah kanak-kanak yang hadir ke kemudahan penjagaan kesihatan kerana kajian-kajian ini tidak mengukurnya.

Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan hingga 7 November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information