Apakah manfaat dan risiko menggunakan turnikuet dalam pembedahan penggantian lutut?

Mengapakah soalan ini penting?

Penggantian lutut adalah pembedahan biasa yang melibatkan penggantian lutut yang rosak, haus, atau berpenyakit dengan sendi buatan yang diperbuat daripada logam dan plastik.

Kebanyakan pakar bedah gemar melakukan pembedahan penggantian lutut dengan bantuan turnikuet - tali kuat yang diletakkan sekeliling peha yang menyekat aliran darah ke lutut.

Potensi manfaat menggunakan turnikuet termasuk mengehadkan kehilangan darah semasa pembedahan dan menjadikannya lebih mudah untuk menjalankan pembedahan. Walau bagaimanapun, turnikuet mungkin meningkatkan risiko kesakitan dan komplikasi untuk pesakit selepas pembedahan. Kami mengulas bukti dari kajian penyelidikan untuk mengetahui mengenai manfaat dan risiko menggunakan turnikuet dalam pembedahan penggantian lutut.

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertamanya, kami mencari kajian yang relevan dan mantap dalam penulis perubatan. Kami kemudian membandingkan keputusan-keputusannya dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian tentang bukti. Untuk melakukannya, kami mempertimbang faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana, atau sangat tinggi.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 41 kajian melibatkan 2819 orang (944 lelaki dan 1777 wanita) yang dibahagikan secara rawak kepada pembedahan dengan turnikuet, atau pembedahan tanpa turnikuet. Kajian jenis ini, dikenali sebagai kajian rawak terkawal, memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan.

Kajian-kajian dijalankan di hospital-hospital di Australia, Asia, Eropah, dan AS. Setiap kajian melibatkan antara 20 dan 166 orang berumur antara 58 dan 84 tahun. Mereka diikuti selama antara satu hari dan dua tahun selepas pembedahan.

Lima kajian dibiayai awam, dan satu kajian menerima dana dari syarikat pembuatan peralatan perubatan. 35 kajian yang lain tidak menerima pembiayaan khusus atau tidak menyatakan siapa yang membiayai mereka.

Kajian-kajian itu memberikan bukti rendah ke sederhana bahawa:

- kesakitan pada hari pertama selepas pembedahan mungkin lebih teruk dengan turnikuet. Secara purata, pada skala 0 hingga 10 (skor lebih tinggi = kesakitan lebih teruk), orang yang dibedah dengan turnikuet menilai kesakitan mereka sebagai 5.81. Orang yang dibedah tanpa turnikuet menilai kesakitan mereka sebagai 4.56 (perbezaan purata: 1.25 mata);

- fungsi lutut setahun selepas pembedahan mungkin serupa dengan atau tanpa turnikuet. Secara purata, pada skala 0 hingga 100 (skor lebih tinggi = fungsi lebih baik), orang yang dibedah dengan turnikuet menilai fungsi lutut mereka sebagai 89.74. Orang yang dibedah tanpa turnikuet menilai fungsi lutut mereka sebagai 90.03 (perbezaan purata: 0.29 mata);

- kepuasan dengan rawatan mungkin serupa dengan atau tanpa turnikuet. Enam bulan selepas pembedahan, 94% orang yang dibedah dengan atau tanpa turnikuet adalah ‘amat’ atau ‘sangat’ berpuas hati dengan rawatan mereka;

- mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan dengan atau tanpa turnikuet. Secara purata, pada skala 0 hingga 100 (skor lebih tinggi = kualiti hidup lebih baik), orang yang dibedah dengan turnikuet menilai kualiti hidup mereka sebagai 54.64. Orang yang menjalani pembedahan tanpa turnikuet menilai kualiti hidup mereka sebagai 56.17 (perbezaan purata: 1.53 mata); dan

- peristiwa buruk yang serius seperti darah beku dalam kaki atau paru-paru, jangkitan, atau pembedahan semula selain daripada untuk mengganti sendi buatan adalah berkemungkinan lebih besar untuk berlaku dengan turnikuet. Lima peratus orang yang dibedah dengan turnikuet melaporkan peristiwa buruk yang serius berbanding 2.9% orang yang dibedah tanpa turnikuet.

Kami tidak tahu jika penggunaan turnikuet menjejaskan peluang memerlukan pembedahan kedua untuk mengganti sendi buatan kerana bukti tersedia adalah berkepastian sangat rendah.

Tiada kajian menyiasat kesan pembedahan dengan turnikuet terhadap kemampuan orang memproses pemikiran (fungsi kognitif).

Apakah maksudnya?

Penggantian lutut dengan turnikuet mungkin sedikit kurang bermanfaat, dan dikaitkan dengan risiko yang lebih besar, daripada pembedahan tanpa turnikuet.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd,edu,my

Tools
Information
Share/Save