Ubat antikoagulan untuk pencegahan keguguran berulang pada wanita dengan antibodi antifosfolipid

Kami bertujuan menentukan ubat antitrombotik yang mana dapat meningkatkan hasil kehamilan bagi wanita dengan tahap antibodi antifosfolipid yang berterusan yang mengalami sejumlah keguguran.

Apakah isunya?

Molekul fosfolipid membantu membentuk membran sel dan sangat penting bagi kemampuan sel untuk berfungsi. Sistem imun dapat mengembangkan antibodi yang diarahkan terhadap protein yang melekat pada fosfolipid. Terdapat pelbagai jenis antibodi antifosfolipid. Kehadiran antibodi ini boleh menyebabkan perkembangan pembekuan darah di urat atau arteri, tetapi juga kehilangan kehamilan berulang.

Kenapa ini penting?

Antibodi antifosfolipid dikaitkan dengan risiko komplikasi kehamilan yang lebih tinggi, termasuk risiko kehilangan kehamilan. Penggunaan ubat antitrombotik semasa kehamilan dapat membantu mencegah kehilangan kehamilan bagi wanita yang mengalami keguguran berulang. Aspirin adalah ubat anti-radang yang mengurangkan agregasi platelet dan pembekuan darah. Heparin adalah antikoagulan kuat yang menghalang pembentukan gumpalan darah. Aspirin dan heparin boleh mengurangkan risiko keguguran yang berkaitan dengan antibodi antifosfolipid. Heparin dengan berat molekul rendah lebih senang digunakan dan menyebabkan kesan sampingan yang lebih rendah kepada ibu berbanding heparin yang tidak dibahagikan atau tiada pecahan.

Apakah bukti yang ditemui?

Kami mencari bahan bukti perubatan dari kajian terkawal secara rawak hingga Jun 2019. Kami mengenal pasti 11 kajian yang melibatkan 1672 wanita yang sebelumnya mengalami sekurang-kurangnya dua kehilangan kehamilan dan mempunyai antibodi antifosfolipid berterusan dalam darah mereka. Kebanyakkan kajian memulakan wanita yang memenuhi syarat aspirin sebelum mengandung dengan wanita yang secara rawak diagihkan untuk menerima heparin tambahan, atau tidak, setelah kehamilan disahkan. Dos dan jenis heparin bervariasi antara kajian, seperti juga dengan masa ketika rawatan dimulakan dan jangka masa wanita dirawat.

Kepastian bukti yang kami kenal pasti adalah rendah kerana bilangan kecil wanita dalam kajian dan risiko berat sebelah dalam kajian.

Berbanding dengan plasebo, kami sangat tidak pasti jika aspirin mempunyai kesan terhadap kelahiran hidup, pra-eklampsia, kehilangan kehamilan, kelahiran bayi pramatang, sekatan pertumbuhan intrauterin atau kejadian buruk pada anak atau ibu. Tromboembolisme vena dan tromboembolisme arteri tidak dilaporkan dalam kajian yang menyelidiki aspirin berbanding dengan plasebo.

Heparin dengan aspirin dapat meningkatkan jumlah kelahiran hidup dan dapat mengurangkan risiko kehilangan kehamilan.

Berbanding dengan aspirin sahaja, kami tidak pasti sama ada heparin dengan aspirin mempunyai kesan terhadap risiko pra-eklampsia, kelahiran bayi pramatang, sekatan pertumbuhan intrauterin, atau pendarahan pada ibu.

Tidak ada wanita dalam kumpulan heparin dengan aspirin atau kumpulan aspirin sahaja yang mempunyai trombositopenia yang disebabkan oleh heparin, tindak balas alahan, atau tromboembolisme vena atau arteri. Begitu juga, tidak ada bayi yang mengalami kecacatan kongenital.

Apakah maksudnya?

Gabungan heparin dengan aspirin waktu kehamilan bagi wanita dengan antibodi antifosfolipid yang berterusan boleh menyebabkan jumlah kelahiran hidup lebih tinggi daripada rawatan dengan aspirin sahaja. Kami tidak pasti mengenai keselamatan heparin dan aspirin untuk ibu dan bayi kerana kekurangan laporan kejadian buruk. Kajian masa depan harus merekrut sejumlah wanita yang mencukupi dan untuk menilai sepenuhnya risiko dan faedah strategi rawatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information